Ahad, 10 November 2013

SEJARAH ISLAM [ 500-1918 ]

LATIH TUBI STPM 2013 ( U2 )

1.  Bincangkan lima ciri kepemimpinan Nabi Muhammad S.A.W.
2.  Bincangkan kaedah pemilihan khalifah pada zaman Khalifah al-Rasyidin
3.  Menilai sumbangan Khalifah Abu Bakar
4.  Menilai sumbangan Khalifah Umar al-Khattab
5.  Menilai sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz
6.  Menilai sumbangan Khalifah Harun al-Rashid
7.  Etika & strategi peperangan zaman Nabi Muhammad 
8.  Menilai kepimpinan dan sumbangan  Salehuddin al-Ayyubi
9.  Menilai kepimpinan dan sumbangan Muhammad al-Fatih
10. Bincangkan peranan institusi zakat dan pelaksanaannya pada zaman Khulafa Rasyidin.
11. Menilai sumbangan al-Khwarizmi dlm perkembangan intelektual
12. Menilai sumbangan al-Ghazali dlm perkembangan intelektual
13. Menilai sumbangan Ibn Khaldun dlm perkembangan intelektual
14. Terangkan perkembangan ilmu naqli pada zaman Umaiyyah di Andalusia
15. Menilai sumbangan al-Mas'udi dlm penerokaan
16. Menilai sumbangan Ibn Majid dlm penerokaan
17. Menilai sumbangan Ibn Battutah dlm penerokaan
18. Reaki masyarakat di Mesir thdp penjajahan Barat
19. Reaksi masyarakat di Algeria thdp penjajahan Barat
20. Faktor-faktor kemunculan nasionalisme  di Mesir
21. Faktor perluasan kuasa Barat thdp Turki Uthmaniyah
22. Penglibatan Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama
23. Faktor-faktor pembentukan negara Mesir

Isnin, 28 Oktober 2013

SEJARAH DUNIA
(1500-1955)
KERTAS 1 [940/1]


PRA-PEPERIKSAAN STPM 2013
( Dua Jam )

Jawab empat soalan sahaja. 
[ 80 marlah ]


1.  Bincangkan ciri-ciri masyarakat maritim  di Portugal pada abad ke16 dan 17.
                                                           
2.  Huraikan peranan Maharaja China dalam pemerintahan pada zaman  Dinasti Ching.

3.  Sejauh manakah sistem pemerintahan Amerika Syarikat pada abad  ke-18 dan 19
     berbentuk persekutuan..

4.  Nilaikan idea dan sumbangan Charles Louis Montesquieu  pada abad ke-18 dan 19.

5.  Huraikan tranformasi  sosial dan ekonomi yang berlaku di India pada abad ke-19 hingga
     abad ke-20 akibat campur tangan Barat. 

6.  Bincangkan peranan United Kingdom dalam Komanwel pada abad ke-20.  



 SEJARAH MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA 
(1800-2000)
KERTAS 3 [940/3]


PRA-PEPERIKSAAN STPM 2013
( Dua Jam )

Jawab empat soalan sahaja.  Dua soalan daripada Bahagian A dan dua soalan daripada bahagian B.

 Bahagian A ( Sejarah Malaysia )
[ 40 markah ]

1.  Jelaskan peranan raja sebelum campur tangan British di Tanah Melayu pada abad
     ke-19.

2.  Bincangkan faktor-faktor perluasan kuasa asing  di Tanah Melayu pada pertengahan   
     abad  ke-19.

3.  Analisiskan usaha-usaha pembangunan ekonomi luar bandar di Tanah Melayu antara
     tahun 1956 hingga tahun 1960.
    


 Bahagian B ( Sejarah Asia Tenggara )
[ 40 markah ]

4.  Jelaskan  konsep dan susun lapis masyarakat di Vietnam pada abad ke-19.

5.  Terangkan matlamat penubuhan Sarekat Islam di Indonesia pada awal abad ke-20

6.  Nilaikan sumbangan Phibun Songkram terhadap Thailand pada abad ke-20.
     pada abad ke-20.






SEJARAH STPM PENGGAL 3 (940/3)

SEJARAH 940/3: MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA ( 1800-2000):
CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

Pengenalan:

1.  Terangkan pelaksanaan Adat Perpatih  dan Adat Temenggung di Tanah Melayu pada abad ke-19.

Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dan diamalkan di Negeri Sembilan, Naning serta sempadan Melaka. Adat Temenggung pula diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan,juga berasal dari Sumatera. Di Tanah Melayu adat ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Naning.  Pelaksanaan kedua-dua adat ini oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19 telah membawa kesan yang besar terhadap sistem adat dan undang-undang di Tanah Melayu.


2.  Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

1. Sistem feudal telah diamalkan di Asia Tenggara termasuk di Vietnam dan Thailand sebelum kedatangan Barat di kedua-dua negara tersebut ].   2. [ Sistem feudal merupakan satu bentuk susun lapis masyarakat atau hierarki yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah] .   3. Hubungan dua kumpulan ini adalah bersifat timbal balik iaitu golongan memerintah memberi perlindungan kepada golongan yang diperintah manakala golongan yang diperintah pula memberi perkhidmatan dan taat setia kepada golongan yang memerintah.

* Sila ambil perhatian, ketika menjawab soalan, calon-calon dilarang menulis dalam bentuk nota atau bernombor kecuali menulis syarat-syarat perjanjian.  "Nombor" di atas hanyalah untuk menunjukan ketika menulis pendahuluan, tiga ayat sudah memadai. [ Sekadar pendapat pemilik blog 'Lepaksejarah'.]


Huraian Isi:

1.  Bincangkan faktor-faktor perluasan kuasa asing  di Tanah Melayu pada pertengahan  abad  ke-19.

Faktor utama yang membawa kepada  perluasan kuasa asing  di Tanah Melayu pada pertengahan  abad  ke-19 adalah faktor ekonomi.   Revolusi Perusahaan pada pertengahan abad yang ke-19 menyebabkan Britain memerlukan bahan-bahan mentah bagi kilang-kilangnya dan pasaran-pasaran baru bagi barang-barang perkilangannya.  Perkembangan perusahaan mengetin pada pertengahan abad yang kesembilan belas, membawa kepada keperluan bijih timah yang tinggi di Eropah.

Negeri-negeri Melayu terutamanya Perak dan Selangor amat kaya dengan bijih timah. Amat menguntungkan bagi Britain sekiranya ia campur tangan dan menguasai negeri-negeri tersebut.  Ramai pedagang dan syarikat-syarikat British telah menanam modal di Semenanjung Tanah Melayu dalam kegiatan perlombongan bijih timah di Larut, Sungai Ujong dan Lukut.  Pelabur British  iaitu Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar $30,000 kepada Dato Kelana pada tahun 1872 bagi konsesi perlombongan.

Namun begitu keadaan anarki di negeri-negeri Melayu telah mengancam pelaburan dan perdagangan British. Pada bulan Mac 1873 seramai 248 pedagang Cina menandatangani sepucuk surat rayuan yang meminta British campur tangan dalam hal-ehwal negeri-negeri Melayu. Surat rayuan ini telah diterima oleh Lord Kimberley, Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan pada  Ogos 1873.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor ekonomi merupakan salah satu faktor penting yang mempengaruhi British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada pertengahan abad ke-19. 
[ Perkara ini jelas kelihatan dalam arahan yang diberi oleh Lord Kimberley kepada Sir Andrew Clarke pada 1873.  Sir Andrew  Clarke telah diarah untuk melaporkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan British untuk melindungi kepentingan pelaburan dan perdagangan di negeri-negeri Melayu ].


2.  Jelaskan sebab-sebab penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896

 Antara faktor yang mendorong pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) 1896 ialah masalah kewangan Pahang.  Menurut Prof  Khoo Kay Kim dan K.G.Tregonning, masalah kewangan Pahang merupakan sebab utama yang membawa kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang Januari 1892, Pahang berhutang dari Negeri-negeri Selat sebanyak $ 610,000. Untuk tahun tersebut Pahang  perlu meminjam lagi sebanyak  $175,000. Pahang mempunyai sumber hasil yang terhad. Pendapatn Pahang tidak mampu menampong kos mentadbir. Pemberontakan Pahang (1891 – 1895) memburukkan lagi kedudukan kewangan Pahang. Kerajaan Negeri-negeri Selat enggan memberi pinjaman kepada Pahang  kerana mereka juga menghadapi masalah kewangan. Jelaslah bahawa masalah kawangan Pahang merupakan antara faktor yang membawa kepada penubuhan Negeri-Negeri Melayu bersekutu 1896.


Kesimpulan:
1.  Analisiskan usaha-usaha pembangunan ekonomi luar bandar di Tanah Melayu antara     tahun 1956 hingga tahun 1960.

Berdasarkan analisis di atas dapatlah dirumuskan bahawa pihak kerajaan telah berusaha untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan luar Bandar di Tanah Melayu.  Namun begitu pembangunan tersebut yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaya Pertama kurang berjaya akibat ancaman komunis semasa zaman darurat. Oleh itu tumpuan kerajaan lebih kepada masalah keselamatan negara. Keadaan diburukkan lagi dengan kemerosotan harga komoditi getah dan bijih timah di pasaran dunia.

2.  Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

Kesimpulannya, huraian di atas menunjukkan perluasan kuasa Barat di Vietnam dan Thailand telah membawa kesan negatif terhadap struktur masyarakat feudal di kedua-dua buah negara.  Perancis yang berjaya menguasai Vietnam telah menghapuskan sistem feudal.  Di Thailand pula akibat desakan dan tekanan British, sistem feudal telah mengalami pengubahsuaian atau perubahan yang pesat selaras dengan proses pemodenan Thailand.




SEJARAH STPM PENGGAL 3 (940/3): SOALAN LATIH TUBI

BAHAGIAN B: ASIA TENGGARA [1800-2000]

TEMA 1: MASYARAKAT
1.  Bincangkan konsep dan peranan raja dalam institusi pemerintahan di Thailand pada abad ke-19.
2.  Bincangkan konsep dan peranan maharaja dalam institusi pemerintahan di Vietnam pada abad ke-19.
3.  Jelaskan hierarki dan peranan pembesar dalam institusi pemerintahan di Thailand pada abad ke-19.
4.  Jelaskan hierarki dan peranan pembesar dalam institusi pemerintahan di Vietnam pada abad ke-19.
5.  Terangkan konsep dan susun lapis masyarakat di  Vietnam dan Indonesia  abad ke-19.
6.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi tradisional yang diamalkan di Vietnam pada abad ke-19.
7.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi tradisional yang diamalkan di Indonesia pada abad ke-19.
8.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi komersial yang diamalkan di Vietnam pada abad ke-19.
9.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi komersial yang diamalkan di Indonesia pada abad ke-19.
  
TEMA 2: TRANSFORMASI MASYARAKAT
1.  Bincangkan faktor-faktor perluasan kuasa asing di Indonesia dan Myanmar pada abad ke-19.
2.  Bincangkan cara-cara perluasan kuasa asing di Indonesia dan Myanmar pada abad ke-19.
3.  Analisiskan sebab-sebab penentangan masyarakat tempatan di Indonesia terhadap Belanda pada 
     abad ke-19.
4.  Analisiskan sebab-sebab penentangan masyarakat tempatan di Myanmar terhadap British pada 
     abad ke-19.
5.  Nilaikan peranan Deponegoro dalam penentangan terhadap Belanda di Indonesia pada awal abad ke-19.
6.  Nilaikan peranan Thibaw dalam penentangan terhadap British di Myanmar pada abad ke-19.
7.  Huraikan kesan-kesan penjajahan Barat terhadap pentadbiran tempatan di Indonesia pada abad ke-19.
8.  Huraikan kesan-kesan penjajahan Barat terhadap pentadbiran tempatan di Myanmar pada abad ke-19.
9.  Bincangkan perkembangan ekonomi Indonesia di bawah pentadbiran Belanda pada abad ke-19.
10.  Bincangkan perkembangan ekonomi Myanmar semasa pentadbiran British pada abad ke-19.
10.  Bincangkan perkembangan pendidikan di  Myanmar semasa pentadbiran British pada abad ke-19.
11.  Bincangkan perkembangan pendidikan di Indonesia semasa pentadbiran Belanda pada abad ke-19.


TEMA 3: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
1.  Analisiskan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan nasionalisme di Indonesia pada abad 
      ke-19.
2.  Analisiskan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan nasionalisme di Myanmar pada abad 
     ke-19.
3.  Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat Sarekat Islam dalam mendukung gerakan
      nasionalisme Indonesia pada abad ke-20.
4.  Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat Partai Nasional Indonesia dalam mendukung 
     gerakan nasionalisme pada abad ke-20.
5.  Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat YMBA dalam mendukung gerakan nasionalisme     
     Myanmar pada abad ke-20.
6.  Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat Poor Man’s Party dalam gerakan nasionalisme
     Myanmar pada abad ke-20.
7.  Huraikan dasar dan kesan  pendudukan Jepun ke atas perjuangan kemerdekaan Myanmar pada 
     abad ke-20.
8.  Huraikan dasar dan kesan  pendudukan Jepun ke atas perjuangan kemerdekaan Indonesia pada 
     abad ke-20.
9.  Nilaikan penentangan rakyat Myanmar terhadap penjajah secara berperlembagaan pada abad ke-20.
10.  Galurkan penentangan rakyat Indonesia secara bersenjata terhadap Belanda pada abad  ke-20.
11. Huraikan langkah-langkah mencapai kemerdekaan Myanmar pada abad ke-20.
12. Huraikan langkah-langkah mencapai kemerdekaan Indonesia pada abad ke-20.

TEMA 4: PENGISIAN KEMERDEKAAN
1.  Huraikan bentuk pemerintahan republik di Filipina pada abad ke-20.
2.  Huraikan bentuk pemerintahan raja berperlembagaan di Thailand pada abad ke-20.
3.  Huraikan bentuk pemerintahan demokrasi berparlimen di Filipina dan Thailand pada abad ke-20.
4.  Jelaskan dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan di Filipina pada abad ke-20.
5.  Jelaskan dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan di Thailand pada abad ke-20.
6.  Terangkan sistem pentadbiran ketenteraan yang dilaksanakan di Thailand pada abad ke -20.
7.  Nilaikan sumbangan Macapagal dalam pembinaan negara Filipina pada abad ke-20.
8.  Nilaikan sumbangan Phibun Songkram dalam pembinaan negara Thailand pada abad ke-20.
9.  Bincangkan penglibatan Filipina dan Thailand dalam PBB pada bad ke-20.
10. Bincangkan penglibatan Filipina dan Thailand dalam South East Asia Treaty Organisation (SEATO) 
      pada abad ke-20.

11. Bincangkan penglibatan Filipina dan Thailand dalam ASEAN pada abad ke-20.

SEJARAH STPM PENGGAL 3 (940/3) : SOALAN LATIH TUBI

BAHAGIAN A:  MALAYSIA [ 1800-2000]

TEMA 1: MASYARAKAT
1.  Jelaskan peranan raja sebelum dan selepas campur tangan British di tanah Melayu pada abad ke-19.
2.  Jelaskan konsep dan hierarki pembesar sebelum campur tangan British di Tanah Melayu.
3.  Jelaskan peranan pembesar sebelum dan selepas campur tangan British di tanah Melayu pada abad 
     ke-19.
4.  Terangkan bentuk dan pelaksanaan Adat Perpatih di Tanah Melayu pada abad ke-19.
5.  Terangkan bentuk dan pelaksanaan Adat Temenggung di Tanah Melayu pada abad ke-19.
6.  Huraikan prinsip-prinsip umum Undang-Undang 99 Perak dan Undang-Undang Tubuh Johor.
7.  Terangkan konsep dan susun lapis masyarakat di  Tanah Melayu pada abad ke-19.
8.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi tradisional yang diamalkan di Tanah Melayu pada abad ke-19.
9.  Jelaskan ciri-ciri ekonomi komersial yang diamalkan di Tanah Melayu pada abad ke-19.

TEMA 2: TRANSFORMASI MASYARAKAT
1.  Bincangkan faktor-faktor perluasan kuasa asing di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada 
     abad ke-19 dan awal abad ke-20.
2.  Bincangkan cara-cara perluasan kuasa asing di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada abad 
     ke-19 dan awal abad ke-20.
3.  Nilaikan sebab-sebab penentangan terhadap kuasa asing di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak  pada 
     abad ke-19 dan awal abad ke-20.
4.  Terangkan perubahan-perubahan pentadbiran di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada abad 
     ke-19 danl abad ke-20.
5.  Huraikan perubahan perkembangan ekonomi di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada abad 
     ke-19 dan abad ke-20.
6.  Jelaskan perubahan sistem pendidikan di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada abad ke-19 
     dan abad ke-20.
7.  Huraikan perkembangan masyarakat pelbagai kaum di Negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada
     abad ke-19 dan abad ke-20.

TEMA 3: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
1.  Bincangkan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di Tanah Melayu 
     pada abad ke-20.
2.  Bincangkan sebab penubuhan dan matlamat Gerakan Islah di Tanah Melayu
3.  Bincangkan sebab penubuhan dan matlamat Kesatuan Melayu Muda di Tanah Melayu
4.  Huraikan dasar-dasar pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada abad ke-20.
5.  Huraikan kesan-kesan pendudukan Jepun ke atas gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu  pada abad 
     ke-20.
6.  Nilaikan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946.
7.  Jelaskan Gerakan Anti-Penyerahan di Sarawak pada tahun 1946.
8.  Bincangkan proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
9.  Galurkan perkembangan perlembagaan di Sabah dan Sarawak pada pertengahan abad     ke-20.
10. Huraikan langkah-langkah mengatasi ancaman Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu.

TEMA 4: PENGISIAN KEMERDEKAAN
1.  Huraikan bentuk pemerintahan persekutuan di Malaysia.
2.  Huraikan bentuk pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
3.  Huraikan bentuk pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia.
4.  Jelaskan usaha-usaha ke arah pembangunan sosial di Malaysia melalui Bahasa Kebangsaan.
5.  Jelaskan usaha-usaha ke arah pembangunan sosial di Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan.
6.  Jelaskan usaha-usaha ke arah pembangunan sosial di Malaysia melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
7.  Jelaskan usaha-usaha ke arah pembangunan sosial di Malaysia melalui Rukun Negara.
8.  Analisiskan usaha-usaha pembangunan ekonomi luar bandar antara tahun 1956 hingga tahun 1970.
9.  Nilaikan usaha-usaha pembangunan negara melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) antara tahun 1971 
     hingga 1990.
10.  Analisiskan usaha-usaha kerajaan Malaysia ke arah pembangunan ekonomi di bawah Dasar 
       Pembangunan Nasional.
11.  Analisiskan usah-usahaa kerajaan ke arah pembangunan negara melalui Dasar Perindustrian Nasional.
12.  Analisiskan usaah-usaha kerajaan ke arah pembangunan ekonomi melalui Dasar Pertanian Negara.
13.  Nilaikan sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam pembangunan ekonomi negara.
14.  Nilaikan sumbangan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
15.  Nilaikan sumbangan Tun Hussein Onn dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
16.  Nilaikan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
17.  Terangkan cabaran-cabaran dan hala tuju negara Malaysia yang terdapat  dalam Wawasan 2020.
18.  Huraikan asas-asas yang membentuk dasar luar Malaysia.
19.  Bincangkan penglibatan Malaysia dalam Komanwel.
20.  Bincangkan penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
21.  Bincangkan penglibatan Malaysia dalam ASEAN.
22.  Bincangkan penglibatan Malaysia dalam Pergerakan Negara Berkecuali ( NAM ).

23.  Bincangkan penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam.

Jumaat, 6 September 2013

Terangkan susun lapis masyarakat di Tanah Melayu pada abad ke-19.

Pendahuluan
Secara umumnya masyarakat Melayu tradisional merupakan sebuah masyarakat feudal dan bercorak hierarki yang dapat dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja atau sultan, pembesar dan ulama. Manakala golongan yang diperintah pula terdiri daripada rakyat biasa yang merdeheka dan hamba. Wujud hubungan timbal balas anatara golongan pemerintah dan golongan diperintah.
   
A.  GOLONGAN PEMERINTAH
Terdiri daripada raja, sultan atau yang dipertuan, keluarga dan kaum kerabat diraja, pembesar negeri termasuk kaum bangsawan, ulama, pendita dan penghulu.

Raja/ Sultan/ Yang dipertuan Basar
Raja atau sultan ialah pemerintah tertinggi dalam pentadbiran negeri.  Baginda dibantu oleh kaum kerabat dan para pembesar.  Baginda memiliki kuasa dan kewibawaan dalam menjalankan pentadbiran dan pemerintahannya di seluruh negeri.  Baginda adalah simbol perpaduan negeri.  Mempunyai kuasa mutlak terhadap rakyat jelata dan mesti dihormati.  Segala perintahnya mesti dipatuhi.  Rakyat yang engkar dianggap menderhaka dan akan mendapat balasan buruk atau dikenakan hukuman yang amat berat.  Konsep daulat digunakan untuk menjadikan seseorang sultan lebih mulia dan dianggap mempunyai kuasa dan kewibawaan yang mutlak. Jawatan raja/ sultan adalah diwarisi oleh anak lelaki baginda daripada permaisuri yang sah ( anak gahara).

Keluarga dan kerabat diraja
Kedudukan kedua selepas raja ialah golongan anak raja dan kerabat diraja yang terdiri daripada mereka yang berketurunan raja, bergelar raja atau tengku.  Anak raja tidak semestinya putera atau puteri raja yang memerintah kerana mereka juga boleh terdiri daripada keturunan kerabat diraja.
Bilangan anak raja tidak ramai, tetapi mereka mempunyai kuasa tertentu apabila diberi sesuatu tugas rasmi negeri.  Ada juga putera raja yang dilantik menjadi pembesar daerah.  Anak raja menikmati keistimewaan seperti yang dimiliki oleh raja tetapi tidak boleh mengatasi keistimewaan raja sebagai ketua pemerintah.

Golongan bangsawan dan pembesar
Terdiri daripada para pembesar atau kaum kerabat yang amat berpengaruh dalam pemerintahan dan pentadbiran.  Kebiasaannya mereka menjadi pentadbir iaitu membantu raja dalam pentadbiran negeri.  Mereka juga menjadi penasihat atau pembesar di daerah-daerah tertentu.  Pembesar dilantik oleh raja melalui pemberian surat tauliah.  Pemilihan pembesar ditentukan oleh zuriat keturunannya.  Kebiasaannya anak lelaki, sanak saudara sebelah bapa kepada pembesar yang terdahulu. Pembesar diberi hak mentadbir sesuatu daerah dengan kekuatan sendiri tanpa sokongan sultan.  Ia akan bertindak seperti seorang raja di dalam daerahnya sendiri.

Golongan ulama dan pendeta
Golongan ulama dan pendeta ialah golongan yang dianggap cerdik pandai pada masa itu.  Mereka menjadi sumber rujukan dalam perkara-perkara tertentu. Golongan ulama adalah golongan yang pakar dalam bidang agama.  Mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dan sangat berpengaruh dalam masyarakat.  Golongan ulama terdiri daripada mereka yang berketurunan Arab Melayu.  Mereka menggunakan gelaran seperti maulana, makhdum, dan kadi.  Mereka diberi gelaran kebesaran seperti maharaja kadi, dato’ mufti seri utama dan imam maharaja.  Golongan ulama berperanan menyebarkan agama Islam.  Mereka juga dilantik menjadi guru, ketua agama, kadi dan penasihat kepada sultan dan kerajaan dalam terutamanya tentang hukum syarak dan mengeluarkan fatwa agama.  Mereka juga menjadi imam, khatib dan juru nikah.   Golongan pendeta pula ialah orang yang menpunyai kepakaran dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja.  Mereka menjadi pakar rujuk kepada raja dan golongan istana disamping menjadi penulis dan perawi diraja.

Penghulu
Penghulu ialah ketua pentadbir di peringkat kampung yang dilantik dari kalangan rakyat biasa.  Mereka menjadi orang perantaraan diantara rakyat biasa dengan pembesar.  Penghulu mempunyai pengaruh dan memiliki kuasa penuh ke atas anak-anak buahnya.  Antara bidang tugas penghulu ialah menyelesaikan sebarang pertikaian dikalangan anak buah, memelihara keamanan kampung dan mentadbir kampung serta menjadi lambang perpaduan kampung.  Jawatan penghulu tidak dibayar gaji tetap tetapi pendapatannya diperolehi daripada cukai perdagangan dan bayaran hasil sebahagian pendapatan yang diterima daripada anak-anak buahnya.

B.  GOLONGAN DIPERINTAH

Rakyat biasa / orang merdeka
Rakyat biasa yang bermastautin tetap dan menjadi pengikut setia kepada pembesar yang mentadbir daerah dan jajahan. Ketaatan kepada sultan ialah mutlak dan tidak berbelah bagi. Mereka rela dengan amalan sistem serah seperti bekerja di tanah pembesar tanpa mendapat upah dan sistem kerah seperti menjadi bala tentera dan mendirikan istana.  Dalam bidang ekonomi mereka menjalankan kegiatan bertani, berdagang, menangkap ikan, melombong dan menjadi tukang mahir. Tiada dorongan perubahan diri untuk bekerja keras dalam bidang ini kecuali kerja-kerja demi kepentingan raja.  Rakyat biasa sesebuah kampung sesalu mempunyai pertalian kekeluargaan dan mengamalkan tradisi hidup secara bergotong-royong, bekerjasama dan bermuafakat.    Amalan ini mewujudkan keharmonian dan membantu pembesar mentadbir sesebuah daerah atau kampung itu dengan lebih teratur dan berjaya.
  
Orang Asing
Merupakan orang bukan Melayu dan datang ke Tanah Melayu hanya untuk tujuan  tertentu. Tinggal sementara sahaja dan akan pulang ke negara asal setelah urusan mereka  selesai.  Terdiri daripada pedagang, perantau, santeri ( orang merantau kerana menuntut ilmu ) dan mubaligh.  Melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sosial seperti menjadi tentera upahan dan kebanyakan mereka berasal daripada Jawa dan Pasai.  Melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti peniaga runcit, pemborong dan pelombong.    Masyarakat Tamil Islam merupakan kumpulan yang paling ramai dan mereka hidup bebas dan bergaul dengan penduduk peribumi. Rakyat asing ini tidak diwajibkan mengamal dan mematuhi tradisi kebudayaan tempatan. Walaupun demikian mereka masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan  tempatan.  

Hamba
Golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah sekali.  Mereka menjadi hamba kepada para pembesar dan orang kaya dengan melakukan pelbagai tugas seperti mencuci perahu, memetik kelapa, mencari kayu api dan menjadi askar.  Hamba boleh dibahagi kepada tiga jenis iaitu hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi/ biasa.
  
i.  Hamba raja ( biduanda )
Mereka berasal dari golongan orang merdeka.  Dikenali juga sebagai budak raja dan bergelar biduanda.  Mereka dimiliki oleh raja dan mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding dengan hamba-hamba yang lain.  Hamba raja dan keturunannya akan menjadi hamba secara turun temurun dan hanya akan dibebaskan jika mendapat kerelaan raja.

ii.  Hamba abdi/ biasa
Hamba abdi/ biasa adalah terdiri daripada mereka yang berasal dari keturunan hamba.  Mereka diperolehi daripada pembelian atau pertukaran oleh tuannya.  Golongan hamba ini akan menjadi hamba seumur hidup secara turun temurun.  Hamba abdi boleh dibahagi kepada beberapa jenis iaitu hamba tawanan, hamba diranggah, hamba habsyi, hamba hulur, hamba serah dan anak hamba.

iii.  Hamba berhutang
Hamba berhutang  berasal daripada orang yang merdeka.  Mereka terpaksa menjadi hamba kerana gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam tempoh yang ditetapkan.  Isteri dan anak-anaknya juga dikehendaki tinggal dengan si pemiutang sebagai hamba tebusan.  Hamba berhutang akan mengerjakan segala suruhan tuannya termasuk bercucuk tanam, melombong dan membuat kerja-kerja rumah. Hamba berhutang boleh dibahagi kepada beberapa jenis iaitu orang berhutang, anak emas, hamba waris dan hamba bayar.

Kesimpulan
Struktur sosial masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa susun lapis masyarakat yang dapat digolongkan kepada golongan pemerintah dan diperintah.  Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung jawab masing-masing di dalam masyarakat.  Setelah kedatangan Barat,  struktur masyarakat Melayu telah berubah di mana peranan golongan pemerintah semakin berkurangan dan sistem hamba telah dihapuskan.


Selasa, 11 Jun 2013

Bentuk dan pelaksanaan Adat Perpatih dan Adat Temenggung di Tanah Melayu

Masyarakat Melayu tradisional amat terikat dengan adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan secara turun temurun sehingga ianya merupakan hukum yang dipatuhi oleh semua. Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat ini tidak pernah ditulis tetapi dihafal sahaja oleh Ketua Adat. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu tradisional. 

Kawasan dan Pengasasan              
Kedua-dua adat ini berasal dari Utara Sumatera. Menurut Terombo atau "Lagu asal usul adat", Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera, diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, menjaga kawasan pesisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 lagi. Diamalkan oleh semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.  Adat Perpatih pula berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat ini dibawa oleh orang Minangkabau ke negeri Sembilan pada kurun ke-17.

Bentuk dan Pelaksanaan
Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali di negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu; adat ini mempunyai pengaruh agama Hindu terutama dalam Undang-undang Manu. Apabila Islam berkembang, adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mengikut mazhab Shafie. Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama yang berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenal sebagai Undang-undang Johor, di Kedah sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang, dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.  Adat Temenggung dihafal dan diingati serta dilaksana oleh Tok Sidang, Penghulu atau Penggawa.

Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak yang dipatuhi dari mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.

Kekeluargaan 
Adat Temenggung bersifat patriarchal, iaitu kaum lelaki lebih diutamakan.  Ini adalah kerana kaum lelaki dianggap melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga.  Dalam Adat Temenggung, kaum lelakilah yang menjadi ketua keluarga. Jadi, nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa.

Adat Perpatih bersifat matriarchal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat. Hanya kaum wanita yang mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Ini bermakna mereka mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Anak perempuan menjadi asas wujudnya suku.  Suku bermaksud keluarga, oleh itu hidup secara bersuku-suku bermaksud hidup secara berkeluarga dan semua ahli-ahli suku dianggap sebagai saudara .  Susunan keluarga masayarakat adat Perpatih berdasarkan 'matrilineal' yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga  sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. 

Perkahwinan               
Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja kecuali dengan orang yang mempunyai pertalian darah atau muhrim sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

Adat perpatih pula tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Oleh itu perkahwinan mestilah dengan suku yang berbeza - disebut eksogami. Perkahwinan sesama suku tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan. Apabila seseorang anak perempuan kahwin, suaminya digelar 'orang semenda'. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa suaminya tinggal  di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. 

Pemerintahan        
Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan  pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat diraja bergelar yang berhak, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu, dan pembesar wilayah atau jajahan. Di lapisan bawah ialah ketua kampung yang mentadbir kampung. Sultan merupakan ketua negara, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat. Seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung. Gelaran pengganti raja ialah Raja Muda. Jika tiada anak lelaki , hakpewarisan takhta jatuh kepada adik lelakinya pula. Jika kedua-dua tiada, barulah musyawarah dan permuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran.

Dari segi pentadbiran, Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah terletak bukan pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas. Orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih  dan melantik Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan. Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip permuafakatan. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Walaupun dari segi bidang kuasa, Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi, namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut dibuat oleh para pembesar yang berada pada hierarki yang lebih ke bawah daripada Yamtuan Besar.

Pembahagian Harta           
Mengikut Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam. Pemberian harta lebih kepada anak lelaki kerana dalam Islam, lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan perempuan. Jika berlaku perceraian, lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak, dan jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja, berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Harta asal suami atau isteri  dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Undang-undang mewarisi harta dalam Adat Perpatih diberatkan kepada kaum perempuan. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuannya. Dalam keadaan tertentu, adat Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan diwariskan kepada adik perempuannya atau anak adik-adiknya dan cucu-cucunya.

Pada umumnya harta pasangan dapat dikumpulkan kepada tiga jenis iaitu ; Harta carian - merupakan harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup, Harta dibahagi dua apabila bercerai;  Harta dapatan - harta sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin, jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri; dan Harta pembawaan - harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia berkahwin, jika bercerai bekas isteri tidak boleh tuntut harta itu.

Pelaksanaan Undang-undang      
Adat Temenggung bentuk hukumannya keras dan bertujuan menghukum dan berpegang kepada prinsip pembalasan.  Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas, bertujuan memberi iktibar kepada orang lain. Secara umumnya adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana difikirkan dapat memberi kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Hukuman yang paling berat ialah membunuh dan menderhaka kepada raja. Dari segi kuasa, kesemua pembesar termasuk sultan dan penghulu mendapat mandat dalam melaksanakan hukuman.

Dalam adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi gantirugi. Contohnya seseorang yang cedera akan diberi gantirugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya. Mangsa kecurian boleh mendapat balik barang-barangnya. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukum bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Undang atau Yamtuan Besar sahaja. Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Kesimpulannya, walaupun Adat Perpatih dan AT menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu, tetapi kedua-dua adat ini telah dapat mengawal tingkah laku masyarakat. Malangnya selepas campur tangan British adat semakin diketepikan dan tidak mustahil adat akan hanya menjadi kenangan dalam lipatan sejarah.


Peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874

Pembesar merupakan golongan yang sangat penting dan berpengaruh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu, taraf tersedia dan taraf capaian. Taraf tersedia, iaitu jawatan diperoleh secara warisan, apabila seseorang pembesar meninggal dunia maka anak akan menggantikan tempatnya.Taraf capaian, pembesar yang dilantik kerana kehebatan dan ketokohan yang dimiliki oleh seseorang

Pembesar berperanan utama dalam politik.
Mereka merupakan golongan yang memonopoli kuasa politik. Mereka juga berperanan dalam melantik raja/sultan, contoh di Negeri Sembilan, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Johol) akan melantik Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di Perak pembesar berkuasa melantik sultan dan mereka berpengaruh dalam menentukan perlantikan seseorang bakal sultan. Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak disukai, contoh Raja Yusuf gagal menjadi sultan kerana baginda gagal mendapat sokongan dan diketepikan oleh pembesar.

Membantu raja dalam pentadbiran
Pembesar berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri.
Mereka mempunyai cop mohor sendiri., contoh di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah membentuk Jemaah Menteri yang terdiri daripada 7 orang pembesar untuk memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di Johor Sultan Abu Bakar memperkenalkan satu perlembagaan berasaskan perlembagaan British. Menurut perlembagaan ini satu Jemaah Menteri yang dianggotai  oleh pembesar telah dibentuk untuk memberi nasihat kepada sultan.

Pentadbir  wilayah luar
Pembesar turut membantu sultan mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah. Kawasan ini  dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kepada pembesar kerana jasa perkhidmatan cemerlang. Contoh Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar Semantan, Tok Gajah dilantik mentadbir Puau Tawar. 

Mengutip cukai
Pembesar berperanan dalam hal memungut cukai di kawasan pentadbirannya yang dipanggil kawasan pemakanan. Biasanya barang-barang itu dikenakan cukai 10% dan dibayar dengan barangan. Sebahagian daripada hasil cukai diberi kepada pemerintah, contoh di Perak, sultan berhak mengambil $ 6.00 dari setiap bahara (400 paun) bijih timah yang diekspot. Di Negeri Sembilan, Sungai Linggi menjadi kawasan pemungutan cukai terhadap bijih timah yang dibawa keluar dari sungai berkenaan sehingga  menjadi rebutan di antara Dato’ Bandar dengan Dato’  Kelana.

Terlibat dalam kegiatan ekonomi
Pembesar juga menjalankan kegiatan ekonominya sendiri seperti perlombongan bijih timah, pertanian dan berdagang. Ini menyebabkan di tempat-tempat tertentu pembesar lebih kaya daripada sultan, contohnya di Perak, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut lebih kaya daripada sultan.  Pembesar juga terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan keizinan sultan. Mereka menjadi pengeluar  modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Bagi mempastikan urusan perdagangan berjalan lancar pembesar akan menentukan timbangan dan sukatan yang betul.

Menjaga keamanan
Pembesar berperanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, contohnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan. Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada Sultan.  Pembesar juga berperanan dalam menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi perdagang-pedagang, menjaga kebajikan pedagang asing, menyediakan tempat perniagaan dan gudang untuk menyimpang barang.

Perantara antara raja dengan rakyat
Pembesar juga berperanan sebagai penghubung antara sultan dengan rakyat.  Segala masalah rakyat akan disampaikan kepada raja/sultan melalui pembesar dan begitu juga dengan titah sultan akan disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.

Menyediakan tentera
Pembesar juga bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan ketenteraan untuk mempertahankan negara.   Sultan tidak mempunyai tentera yang mana tentera untuk sebarang kegitan akan isediakan oleh para pembesar termasuklah untuk ekspidisi memperluaskan empayar jika ada.

Menjadi hakim
Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman dan mendenda dalam kes-kes jenayah di daerahnya. Pada masa itu tidak ada badan  kehakiman bebas daripada pemerintah sebaliknya sultan dan pembesarlah yang mentadbir undang-undang. Pembesar boleh menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhkan oleh sultan.

Membekalkan tenaga kerja
Pembesar juga dikehendaki membekalkan tenaga buruh kepada raja seperti membina istana baru, membina kapal raja, membina panggung dan pentasa serta perhiasan istana untuk menyambut perayaan adat dan agama. Ini dilakukan melalui sistem kerah.  Pembesar juga mengetuai kerja-kerja sosial seperti membina surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Pembesar juga berperanan dalam menjalankan adat istiadat di istana

Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sebelum campur tangan British.Namun selepas campur tangan British peranan pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran British sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan majisterit yang mengambil alih tugas dan peranan pembesar. Tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.

Peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan  peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sultan sebagai ketua kerajaan
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah  sultan kerana  dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah
               
Peranan sultan melantik pembesar
Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.  

Sultan menentukan hubungan diplomatik
Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang  tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan

Sultan berperanan sebagai ketua tentera.
Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi.
Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang  lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Kesemua tanah adalah milik sultan dan diserahkan kepada pembesar untuk diusahakan.

Berkuasa terhadap cukai
Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Baginda melantik pembesar untuk mewakili baginda dalam urusan memungut cukai.  Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang (Raja Mahdi).   Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani.  

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem  kerah.
Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat.
Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan.  Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran  itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.  Baginda juga bertanggungjawab untuk memastikan adat istiadat dan adat resam masyarakat Melayu terus terpelihara.