Pembesar
merupakan golongan yang sangat penting dan berpengaruh dari segi politik,
ekonomi dan sosial. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu, taraf
tersedia dan taraf capaian. Taraf tersedia, iaitu jawatan diperoleh secara
warisan, apabila seseorang pembesar meninggal dunia maka anak akan menggantikan
tempatnya.Taraf capaian, pembesar yang dilantik kerana kehebatan dan ketokohan
yang dimiliki oleh seseorang
Pembesar berperanan
utama dalam politik.
Mereka merupakan golongan yang memonopoli kuasa politik.
Mereka juga berperanan dalam melantik raja/sultan, contoh di Negeri Sembilan,
empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan
Johol) akan melantik Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di Perak pembesar berkuasa
melantik sultan dan mereka berpengaruh dalam menentukan perlantikan seseorang
bakal sultan. Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak
disukai, contoh Raja Yusuf gagal menjadi sultan kerana baginda gagal mendapat
sokongan dan diketepikan oleh pembesar.
Membantu raja dalam pentadbiran
Pembesar
berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri.
Mereka
mempunyai cop mohor sendiri., contoh di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan
Muhamad 1, baginda telah membentuk Jemaah Menteri yang terdiri daripada 7 orang
pembesar untuk memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di Johor Sultan Abu Bakar
memperkenalkan satu perlembagaan berasaskan perlembagaan British. Menurut
perlembagaan ini satu Jemaah Menteri yang dianggotai oleh pembesar telah dibentuk untuk memberi
nasihat kepada sultan.
Pentadbir
wilayah luar
Pembesar
turut membantu sultan mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah.
Kawasan ini dipanggil “pegangan” yang
merupakan anugerah sultan kepada pembesar kerana jasa perkhidmatan cemerlang.
Contoh Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar Semantan, Tok Gajah dilantik
mentadbir Puau Tawar.
Mengutip cukai
Pembesar
berperanan dalam hal memungut cukai di kawasan pentadbirannya yang dipanggil
kawasan pemakanan. Biasanya barang-barang itu dikenakan cukai 10% dan
dibayar dengan barangan. Sebahagian daripada hasil cukai diberi kepada
pemerintah, contoh di Perak, sultan berhak mengambil $ 6.00 dari setiap bahara
(400 paun) bijih timah yang diekspot. Di Negeri Sembilan, Sungai Linggi menjadi
kawasan pemungutan cukai terhadap bijih timah yang dibawa keluar dari sungai
berkenaan sehingga menjadi rebutan di
antara Dato’ Bandar dengan Dato’ Kelana.
Terlibat dalam
kegiatan ekonomi
Pembesar juga menjalankan kegiatan ekonominya sendiri
seperti perlombongan bijih timah, pertanian dan berdagang. Ini menyebabkan di
tempat-tempat tertentu pembesar lebih kaya daripada sultan, contohnya di Perak,
Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut lebih kaya daripada
sultan. Pembesar juga
terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan keizinan sultan. Mereka menjadi
pengeluar modal. Perniagaan dan
perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Bagi mempastikan urusan
perdagangan berjalan lancar pembesar akan menentukan timbangan dan sukatan yang
betul.
Menjaga keamanan
Pembesar
berperanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, contohnya, Jemaah
Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan,
pertahanan dan keamanan. Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan
keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah
jagaannya taat setia kepada Sultan. Pembesar
juga berperanan dalam menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi
perdagang-pedagang, menjaga kebajikan pedagang asing, menyediakan tempat
perniagaan dan gudang untuk menyimpang barang.
Perantara antara raja dengan rakyat
Pembesar
juga berperanan sebagai penghubung antara sultan dengan rakyat. Segala masalah rakyat akan disampaikan kepada
raja/sultan melalui pembesar dan begitu juga dengan titah sultan akan
disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.
Menyediakan tentera
Pembesar
juga bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan ketenteraan untuk
mempertahankan negara. Sultan tidak mempunyai tentera yang mana
tentera untuk sebarang kegitan akan isediakan oleh para pembesar termasuklah
untuk ekspidisi memperluaskan empayar jika ada.
Menjadi hakim
Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman dan
mendenda dalam kes-kes jenayah di daerahnya. Pada masa itu tidak ada badan kehakiman bebas daripada pemerintah
sebaliknya sultan dan pembesarlah yang mentadbir undang-undang. Pembesar boleh
menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh
dijatuhkan oleh sultan.
Membekalkan tenaga kerja
Pembesar
juga dikehendaki membekalkan tenaga buruh kepada raja seperti membina istana
baru, membina kapal raja, membina panggung dan pentasa serta perhiasan istana
untuk menyambut perayaan adat dan agama. Ini dilakukan melalui sistem kerah. Pembesar juga mengetuai kerja-kerja sosial
seperti membina surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Pembesar
juga berperanan dalam menjalankan adat istiadat di istana
Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik,
ekonomi dan sosial sebelum campur tangan British.Namun selepas campur tangan
British peranan pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan
dalam pentadbiran British sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan
majisterit yang mengambil alih tugas dan peranan pembesar. Tindakan British ini
telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar yang akhirnya
membawa kepada penentangan terhadap British.