Isnin, 28 Oktober 2013

SEJARAH STPM PENGGAL 3 (940/3)

SEJARAH 940/3: MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA ( 1800-2000):
CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

Pengenalan:

1.  Terangkan pelaksanaan Adat Perpatih  dan Adat Temenggung di Tanah Melayu pada abad ke-19.

Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dan diamalkan di Negeri Sembilan, Naning serta sempadan Melaka. Adat Temenggung pula diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan,juga berasal dari Sumatera. Di Tanah Melayu adat ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Naning.  Pelaksanaan kedua-dua adat ini oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19 telah membawa kesan yang besar terhadap sistem adat dan undang-undang di Tanah Melayu.


2.  Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

1. Sistem feudal telah diamalkan di Asia Tenggara termasuk di Vietnam dan Thailand sebelum kedatangan Barat di kedua-dua negara tersebut ].   2. [ Sistem feudal merupakan satu bentuk susun lapis masyarakat atau hierarki yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah] .   3. Hubungan dua kumpulan ini adalah bersifat timbal balik iaitu golongan memerintah memberi perlindungan kepada golongan yang diperintah manakala golongan yang diperintah pula memberi perkhidmatan dan taat setia kepada golongan yang memerintah.

* Sila ambil perhatian, ketika menjawab soalan, calon-calon dilarang menulis dalam bentuk nota atau bernombor kecuali menulis syarat-syarat perjanjian.  "Nombor" di atas hanyalah untuk menunjukan ketika menulis pendahuluan, tiga ayat sudah memadai. [ Sekadar pendapat pemilik blog 'Lepaksejarah'.]


Huraian Isi:

1.  Bincangkan faktor-faktor perluasan kuasa asing  di Tanah Melayu pada pertengahan  abad  ke-19.

Faktor utama yang membawa kepada  perluasan kuasa asing  di Tanah Melayu pada pertengahan  abad  ke-19 adalah faktor ekonomi.   Revolusi Perusahaan pada pertengahan abad yang ke-19 menyebabkan Britain memerlukan bahan-bahan mentah bagi kilang-kilangnya dan pasaran-pasaran baru bagi barang-barang perkilangannya.  Perkembangan perusahaan mengetin pada pertengahan abad yang kesembilan belas, membawa kepada keperluan bijih timah yang tinggi di Eropah.

Negeri-negeri Melayu terutamanya Perak dan Selangor amat kaya dengan bijih timah. Amat menguntungkan bagi Britain sekiranya ia campur tangan dan menguasai negeri-negeri tersebut.  Ramai pedagang dan syarikat-syarikat British telah menanam modal di Semenanjung Tanah Melayu dalam kegiatan perlombongan bijih timah di Larut, Sungai Ujong dan Lukut.  Pelabur British  iaitu Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar $30,000 kepada Dato Kelana pada tahun 1872 bagi konsesi perlombongan.

Namun begitu keadaan anarki di negeri-negeri Melayu telah mengancam pelaburan dan perdagangan British. Pada bulan Mac 1873 seramai 248 pedagang Cina menandatangani sepucuk surat rayuan yang meminta British campur tangan dalam hal-ehwal negeri-negeri Melayu. Surat rayuan ini telah diterima oleh Lord Kimberley, Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan pada  Ogos 1873.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor ekonomi merupakan salah satu faktor penting yang mempengaruhi British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada pertengahan abad ke-19. 
[ Perkara ini jelas kelihatan dalam arahan yang diberi oleh Lord Kimberley kepada Sir Andrew Clarke pada 1873.  Sir Andrew  Clarke telah diarah untuk melaporkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan British untuk melindungi kepentingan pelaburan dan perdagangan di negeri-negeri Melayu ].


2.  Jelaskan sebab-sebab penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896

 Antara faktor yang mendorong pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) 1896 ialah masalah kewangan Pahang.  Menurut Prof  Khoo Kay Kim dan K.G.Tregonning, masalah kewangan Pahang merupakan sebab utama yang membawa kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang Januari 1892, Pahang berhutang dari Negeri-negeri Selat sebanyak $ 610,000. Untuk tahun tersebut Pahang  perlu meminjam lagi sebanyak  $175,000. Pahang mempunyai sumber hasil yang terhad. Pendapatn Pahang tidak mampu menampong kos mentadbir. Pemberontakan Pahang (1891 – 1895) memburukkan lagi kedudukan kewangan Pahang. Kerajaan Negeri-negeri Selat enggan memberi pinjaman kepada Pahang  kerana mereka juga menghadapi masalah kewangan. Jelaslah bahawa masalah kawangan Pahang merupakan antara faktor yang membawa kepada penubuhan Negeri-Negeri Melayu bersekutu 1896.


Kesimpulan:
1.  Analisiskan usaha-usaha pembangunan ekonomi luar bandar di Tanah Melayu antara     tahun 1956 hingga tahun 1960.

Berdasarkan analisis di atas dapatlah dirumuskan bahawa pihak kerajaan telah berusaha untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan luar Bandar di Tanah Melayu.  Namun begitu pembangunan tersebut yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaya Pertama kurang berjaya akibat ancaman komunis semasa zaman darurat. Oleh itu tumpuan kerajaan lebih kepada masalah keselamatan negara. Keadaan diburukkan lagi dengan kemerosotan harga komoditi getah dan bijih timah di pasaran dunia.

2.  Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

Kesimpulannya, huraian di atas menunjukkan perluasan kuasa Barat di Vietnam dan Thailand telah membawa kesan negatif terhadap struktur masyarakat feudal di kedua-dua buah negara.  Perancis yang berjaya menguasai Vietnam telah menghapuskan sistem feudal.  Di Thailand pula akibat desakan dan tekanan British, sistem feudal telah mengalami pengubahsuaian atau perubahan yang pesat selaras dengan proses pemodenan Thailand.