Isnin, 29 November 2010

PECUTAN AKHIR SEJARAH 2 STPM 2010

Tajuk-tajuk yang perlu diberikan perhatian atau fokus utama:

1. Pemerintahan beraja
2. Susun lapis masyarakat Melayu
3. Ekonomi sara diri Tanah Melayu
4. Getah
5. Penentangan terhadap Barat di Sabah dan Sarawak
6. NNMB / Persekutuan 1896
7. Gagasan Malaysia [ sebab, reaksi dan proses ]
8. Sistem pemerintahan Malaysia
9. Hubungan luar Malaysia
10. Hubungan Malaysia, serantau dan dunia
11. Pemerintaha beraja/maharaja di Asia
12. Adat di Asia
13. Kegiatan ekonomi sebelum campur tangan Barat
14. Perjanjian

Tajuk-tajuk di atas hanyalah sebagai fokus untuk ulangkaji saat-saat akhir menjelang peperiksaan kertas Sejarah 2 STPM pada 2 Disember 2010. Namun begitu para pelajar diingatkan agar tidak mengabaikan tajuk-tajuk lain. Kepada para pelajar saya, sila rujuk modul-modul yang telah dibekalkan seperti Modul Pertengahan Tahun, Modul Percubaan, Modul Gempur, Modul Sabah dan Sarawak serta Modul HALUS. Selamat menduduki peperiksaan dan saya doakan agar anda semua beroleh kejayaan yang cemerlang. Insya-Allah. Aminnn.




Khamis, 11 November 2010

MODUL TAMBAHAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.

Modul Tambahan: Sabah dan Sarawak

Jika diperhatikan kebelakangan ini, hampir setiap tahun terdapat soalan-soalan berkenaan Sabah dan Sarawak yang ditanya dalam peperiksaan kertas 2 Sejarah STPM. Calon-calon hendaklah mengambil kesempatan dengan menguasai tajuk-tajuk tersebut kerana mampu membantu calon-calon mencatatkan keputusan cemerlang dalam kertas Sejarah 2. Berikut adalah antara tajuk-tajuk berkaitan dengan Sabah dan Sarawak yang boleh diberikan perhatian, walau bagaimanapun janganlah diabaikan tajuk-tajuk lain.



1. Bincangkan kegiatan ekonomi di Sarawak dan Sabah sebelum campur tangan British. [ PP JOHOR 2010: NO 2 ]


2. Bincangkan kegiatan ekonomi komersil di Sarawak dan Sabah sebelum campur tangan British. [ PP JOHOR 2010: NO 2 ]


3. Bincangkan perluasan kuasa Barat di Sabah dari tahun 1865 hingga 1888 dan di Sarawak dari tahun 1840 hingga 1910. [ PP SMKSY 2010: NO 4 ]


4. Bincangkan Perubahan Pentadbiran Kompeni Berpiagam Borneo Utara di Sabah sehingga 1963. [ GEMPUR PERAK 2010: NO 10 ]


5. Bincangkan penentangan penduduk tempatan terhadap Pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) di Sabah dan pentadbiran Dinasti Brooke di Sarawak pada abad ke- 19. [ PP KELATAN 2010: NO 3 ]


6. Penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946 telah menimbulkan tentangan daripada penduduk tempatan. Jelaskan. [ PP PERAK 2006 NO 4 ]


7. Sabah dan Sarawak telah diserahkan kepada kerajaan British pada tahun 1946. Bandingkan reaksi penduduk Sabah dan Sarawak terhadap penyerahan tersebut.
[ PP PERAK 2005 NO 4 ]


8. Jelaskan faktor-faktor yang membawa kepada penyertaan Sabah dan
Sarawak dalam Persekutuan Malaysia 1963. [ PP PERLIS 2010 NO 6 ]


9. Jelaskan mengapa pada peringkat awal Sabah dan Sarawak menolak Gagasan Malaysia.
[ PP N. SEMBILAN 2009 NO 5 ]

Ahad, 24 Oktober 2010

PROGRAM 'HALUS' SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BT. GAJAH, 2010

MODUL ‘HALUS’ 2010:
BERTUJUAN MEMBANTU CALON-CALON SEJARAH 2 STPM YANG BERPRESTASI RENDAH [ GAGAL ] ATAU BERPOTENSI LULUS KE ARAH MENINGKATKAN PENCAPAIAN / PRESTASI MEREKA AGAR MENCAPAI KEPUTUSAN ‘LULUS PENUH’.


1. Huraikan sistem politik masyarakat Melayu sebelum campur tangan British di Tanah Melayu.


2. Jelaskan perubahan peranan raja atau sultan sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.


3. Bincangkan peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.


4. Bincangkan struktur sosial masyarakat Melayu sebelum campur tangan British di Tanah Melayu.


5. Bincangkan sistem ekonomi masyarakat Melayu sebelum campur tangan
British pada tahun 1874 .


6. Jelaskan kegiatan ekonomi komersil yang dijalankan di Malaysia sebelum campur tangan British.


7. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.


9. Huraikan sistem pemerintahan Malaysia dari tahun 1957 hingga tahun 1963.


10. Bincangkan faktor-faktor yang menentukan penggubalan dasar luar Persekutuan Tanah Melayu antara tahun 1957 hingga tahun 1963


11. Bincangkan penglibatan Malaysia dalam pertubuhan serantau dan antara bangsa dari tahun 1957 hingga tahun 1963.

SOALAN NO 12: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BT. GAJAH 2010

Bincangkan sistem pemerintahan di Vietnam dan Filipina selepas Perang Dunia Kedua.

Pendahuluan
Selepas Perang Dunia Kedua hampir semua negara di Asia Tenggara telah mencapai kemerdekaan daripada pihak penjajah. Oleh yang demikian, sistem pemerintahan yang diamalkan di negera-negara yang baru mencapai kemerdekaan ini berbeza dari segi strukturnya kerana telah diperintah oleh bangsa sendiri. Filipina telah mencapai kemerdekaan daripada Amerika Syarikat pada 4 Julai 1946 dengan Manual Roxas sebagai Presiden pertama.Vietnam pula telah mencapai kemerdekaan pada 2 September 1945 daripada Perancis dengan pembentukan Kerajaan Republik Demokratik Vietnam tetapi tidak diiktiraf oleh Perancis dan golongan Parti Komunis.


A. Sistem pemerintahan di Filipina

a) Selepas merdeka, sebuah pemerintahan ala Amerika telah dibentuk di Filipina. Filipina telah memulakan pemerintahan bercorak Republik Demokrasi. Walau bagaimanapun, kuasa sebenar masih lagi dipegang oleh Presiden. Presiden memegang kuasa eksekutif, mengawasi kerajaan tempatan, merupakan ketua tertinggi angkatan tentera, melantik ketua jabatan, biro dan pegawai kerajaan. Di samping itu, presiden juga mempunyai kuasa veto dalam kongres. Walau bagaimanapun, dengan undi dua per tiga kongres berhak membatalkan kuasa veto Presiden.

b) Badan perundangan Filipina diletakkan di bawah kuasa kongres. Kongres dibantu oleh Senat yang terdiri daripada 24 orang Senator dan Dewan Perwakilan yang mengandungi tidak lebih daripada 120 orang perwakilan. Senator dipilih oleh rakyat untuk tempoh enam tahun sepenggal. Kongres mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan mengisytiharkan perang.

c) Keseluruhan pentadbiran Filipina dibahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil iaitu pentadbiran wilayah, perbandaran dan bandar raya. Filipina dibahagikan kepada 56 wilayah dan setiap wilayah diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor pula akan dibantu oleh naib gabenor dan dua orang ahli lembaga wilayah yang dipilih untuk tempoh empat tahun.

d) Di peringkat wilayah, kongres telah membentuk sebuah badan pentadbir awam dan dikawal oleh undang-undang perbandaran. Pegawai-pegawai yang bertugas di peringkat ini terdiri daripada Datuk Bandar, Naib Datuk Bandar dan empat hingga lapan orang ahli majlis.

d) Pentadbiran Filipina telah berjaya membentuk 39 buah bandar raya berpiagam. Bandar raya berpiagam ini diberikan kuasa mengenakan cukai, membuat ordinan, menyediakan perlaksanaan kerja-kerja awam dan berfungsi menguruskan pasukan keselamatan.

B. Sistem pemerintahan di Vietnam

a) Setelah mencapai kemerdekaan daripada Perancis, pemerintahan Vietnam telah terbahagi dua, iaitu Vietnam Utara yang berfahaman komunis dan Vietnam Selatan yang mengamalkan demokrasi. Perbezaan ideologi politik turut mewujudkan struktur pentadbiran yang berbeza. Bagi Vietnam Utara yang terletak di bawah rejim komunis diketuai oleh seorang Presiden yang dipilih oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan. Seorang presiden mempunyai kuasa memerintah selama empat tahun . Presiden mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri dan anggota kabinet kerajaan. Selain itu presiden mempunyai tugas seperti mengumumkan undang-undang, menganugerahkan pingat kebesaran , memberi pengampunan dan mengadakan pehubungan dengan negara luar. Seorang Naib Preseden dilantik untuk membantu tugas-tugas Presiden.

b) Pada 1 Januari 1960 sebuah perlembagaan baru diisytiharkan Di Vietnam Utara. Di bawah perlembagaan ini kerajaan Vietnam Utara diletakkan di bawah kekuasaan Regim Presiden. Seiringan dengan itu Dewan Perhimpunan Kebangsaan ditubuhkan. Ia merupakan dewan tertinggi bagi Vietnam Utara dan dipilih oleh penduduk tempatan yang berusia 18 tahun ke atas untuk tempoh 4 tahun. Dewan ini akan bersidang 2 kali setahun dan boleh dipanggil untuk sesi-sesi tertentu. Ketika dewan ini tidak bersidang Jawatankuasa Tetap akan mengambil alih peranannya. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan beberapa ahli yang lain.

c) Vietnam Utara di bahagikan kepada tiga wilayah yang ditiru daripada pembahagian wilayah komunis di China. Bahagian yang paling luas dikenali sebagai wilayah. Ini diikuti dengan wilayah autonomi dan bandar raya di bawah kawalan kerajaan pusat seperti Hanoi dan Haipong. Bagi memudahkan pentadbiran, setiap wilayah akan dibahagikan kepada unit seperti daerah, bandar raya dan sesebuah daerah pula di bahagikan kepada kampung dan bandar. Di peringkat wilayah kerajaan tempatan dibentuk dan dipilih secara langsung oleh rakyat untuk tempoh 3 tahun.

d) Vietnam Selatan pula, mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ketua negara pentadbir ialah Presiden. Vietnam Selatan lebih mencerminkan sebuah negara Republik Demokratik, seperti Filipina dan Indoesia. Pada 26 Oktober 1956 sebuah perlembagaan diumumkan bagi menentang fahaman Komunis. Perlembagaan ini juga menjelaskan pembahagian kuasa kepada Badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Badan Eksekutif mempunyai kuasa yang lebih besar atau lebih khusus yang dirujuk kepada Presiden. Presiden merupakan kuasa tertinggi dalam pemerintahan Vietnam Selatan . Oleh yang demikian, Presiden menguasai semua aspek pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Dengan kata lain, Presiden mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima mana-mana perkara yang dirasakan perlu. Ia juga merupakan ketua negera dan ahli Badan Eksekutif. Jawatan Presiden dan Naib Presiden dipertandingkan lima tahun sekali melalui pilihan raya. Jawatan Presiden boleh dilanjutkan tempohnya untuk 3 penggal. Presiden bertindak sebagai ketua kerajaan, melantik ahli kabinet dan Ketua Angkatan Tertinggi Tentera Vietnam Selatan.

e) Badan perundangan Vietnam Selatan ialah Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang dianggotai oleh rakyat melalui pilihan raya. Seramai 123 orang ahli Dewan Perhimpunan Kebangsaan. Dewan ini bersidang 2 kali setahun dan berfungsi untuk menggubal dan meluluskan undang-undang serta menentukan dasar pemerintahan negara , tetapi boleh diveto oleh Presiden. Ahli Dewan boleh membatalkan veto ini menerusi ¾ undi daripada ahli dewan . Pentadbiran tempatan Vietnam Selatan di bahagikan kepada 40 wilayah (tinh). Setiap wilayah diperintah oleh ketua menteri yang dilantik dan bertanggungjawab ke atas Presiden. Manakala wilayah pula dibahagikan kepada daerah. Daerah di bahagikan pula kepada daerah-daerah tertentu (huyen), kampung , bandar dan bandar raya. Di peringkat bandar-bandar besar diwujudkan Majlis Perbandaran yang diketuai oleh datuk Bandar

Kesimpulan
Kesimpulannya, jelaslah menunjukkan bahawa Filipina telah mencapai kemerdekaan daripada Amerika Syarikat dan sistem pemerintahannya adalah berdasarkan kepada sistem pemerintahan bercorak Amerika Syarikat. Di Vietnam pula, sistem pemerintahannya terbahagi kepada dua iaitu Vietnam Utara sistem pemerintahannya bercorak komunis dan Vietnam Selatan bercorak demokrasi. Walaubagaimanapun, akhirnya Vietnam telah disatukan di bawah satu sistem pemerintahan komunis apabila Vietnam Utara yang berfahaman komunis dapat mengalahkan Vietnam Selatan dalam perang saudara.

SOALAN NO 11: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BT. GAJAH 2010

Jelaskan sebab-sebab yang membawa kepada kejatuhan Shogun Tokugawa pada 1867 dan Dinasti Manchu pada 1911.

Pengenalan
Jepun ditadbir oleh Keshugunan Tokugawa sejak 1603 hingga 1867. Walaupun maharaja dianggap sebagai ketua ketua negara Jepun, tetapi sejak abad ke-12 kedudukan maharaja hanyalah pada nama sahaja tetapi tanpa sebarang kuasa. Namun begitu pelbagai kelemahan terhadap pentadbiran Shogun Tokugawa terutamanya pada abad ke-19 telah membawa kepada kejatuhannya dan membawa kepada pemulihan kuasa maharaja di Jepun. Di China pula sepanjang abad ke-19 dan awal abad ke-20, diperintah oleh Dinasti Manchu. Namun begitu kelemahan pentadbiran Manchu terutamanya Maharani Dowager dan perkembangan nasionalisme di China telah membawa kepada kejatuhan Dinasti Manchu pada tahun 1911.


A. SEBAB-SEBAB KEJATUHAN SHOGUN TAKOGAWA

a. Politik
i. Kelemahan pentadbiran
Pemerintahan Shogun Tokugawa berada pada tahap lemah terutamanya pada pertengahan abad ke-18 . Kemajuan dan kemakmuran Jepun mulai merosot di bawah pemerintahan Shogun. Pentadbiran Shogun mengabaikan hal ehwal pemerintahan manakala hubungannya dengan Daimyo juga longgar. Ini memberi peluang kepada Daimyo-Daimyo yang kurang setia kepada Shogun supaya menentang Shogun seperti Daimyo Tozama sering menentang Shogun.

ii. Kedatangan kuasa-kuasa Barat
Kedatangan Amerika Syarikat melemahkan turut melemahkan kekuasaan Shogun. Di bawah desakan tentera Amerika, Shogun terpaksa menandatangani Perjanjian Kanagawa pada tahun 1854. Ekoran itu, Jepun juga terpaksa menandatangani beberaa perjanjian dengan Britain, Belanda dan Perancis. Semua perjanjian ini mendedahkan kelemahan Shogun sendiri. Kegiatan anti-Barat yang dijalankan oleh suku-suku Barat memburukkan lagi keadaan. Kuasa-kuasa Barat telah menghantar wakilnya, Sir Haryy Parkes berunding dengan Maharaja Jepun. Ini dengan jelasnya menunjukkan bahawa kuasa-kuasa Barat tidak mengiktiraf pemerintahan Shogun sebagai kuasa yang sah. Pada tahun 1867, Shogun Keiki terpaksa menyerahkan kuasa kepada Maharaja Meiji.

iii. Dasar tutup pintu
Shogun tidak membenarkan pedagang Jepun mengadakan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa asing. Kelas pedagang tidak berpuas hati dengan dasar Shoun ini. Mereka menentang Shogun. Golongan pedagang di Osaka bersikap anti-Shogun dan memihak kepada golongan Daimyo Tozama yang juga bersikap anti-Jepun.

iv. Kelemahan sistem feudal
Pengamalan sistem sosial feudal di Jepun mengakibatkan pembaziran. Kelas Samurai terpaksa berhutang dengan kelas pedagang kerana tiada sokongan ekonomi. Situasi ini menyebabkan mereka kecewa dengan pemerintahan Shogun. Kelas Daimyo pula tidak berpuas hati kerana tindak tanduk mereka diawasi dan mereka dipaksa menghantar ufti tahunan kepada Shogun. Sistem Sankin Kotai pula memaksa mereka tinggal di Yedo selama empat hingga enam bulan dan mereka dipaksa meninggalkan keluarga mereka sebagai orang tebusan.

b. Sosial

Peranan golongan intelektual
Golongan terpelajar telah menyoal kesahan kuasa Shogun. Mereka mengkaji sejarah Jepun dan agama Shinto. Pengajian Shinto menyebabkan golongaan intelektual berpendapat bahawa Maharaja Jepun yang berketurunan dewi matahari patut diberi kuasa mutlak. Mereka berpendapat bahawa kejayaan kuasa-kuasa Barat mencapai kemajuan disebabkan maharaja mereka diberi kedudukan dan kuasa yang sepenuhnya. Golongan pelajar dari Maktab Koge telah melahirkan idea pembaharuan. Pemerintahan Shogun yang bercorak feudal dan konservatif tidak dapat memenuhi hasrat mereka untuk menjadikan Jepun sebgaia sebuah kuasa yang moden. Pengajian Shinto menimbulkan semangat ingin melihat Jepun meninggalkan dasar pemencilannya dan menuju ke zaman pemodenan.

c. Ekonomi

Kemorosotan ekonomi
Jepun mengalami kemelesetan ekonomi. Shogun Tokugawa tidak berupaya menyelesaikan masalah ekonomi. Kekurangan makanan mula mengancam keamanan masyarakat. Jepun dilanda masalah kemarau dan gempa bumi. Sistem Sankin Kotai menyebabkan golongan Daimyo terpaksa berbelanja tinggi. Mereka juga mengabaikan pentadbiran dan pertanian padi di wilayah mereka. Ini secara tidak langsung menjejaskan ekonomi mereka. Demi menyelesaikan masalah ekonomi ini, Shogun mengambil langkah menurunkan nilai mata wangnya. Ini menguntungkan golongan pedagang dan merugikan golongan daimyo dan samurai. Masalah ini memberi peluang kepada Daimyo untuk memberontak.

B. SEBAB-SEBAB KEJATUHAN DINASTI MANCHU

a. Politik
i. Kelemahan pentadbiran
Kuasa pentadbiran kerajaan Manchu mula merosot sejak pertengahan abad ke-19 lagi. Kerajaan Manchu tidak cekap dan mengamalkan korupsi yang agak serius. Di samping itu kerajaan Manchu tiada pemimpin yang cekap dan bijaksana untuk mempertahankan China daripada pencerobohan Barat. Orang Cina menganggap kerajaan Manchu telah kehilangan mandat dari syurga untuk memerintah sehinga berlakunya beberapa pemberontakan dalaman.

ii. Kedatangan kuasa-kuasa Barat
Britain mencerobohi kedaulatan China melalui Perang Inggeris-China 1 pada tahun 1839 – 1842. Kerajaan Manchu terpaksa menandatangani Perjanjian Nanking dengan British.
Seterusnya, China terlibat dalam peperangan dengan kuasa Barat yang lain. China juga terpaksa menandatangani Perjanjian Whampao dengan Perancis dan Perjanjian Wang-hsia dengan Amerika Syarikat. Kuasa-kuasa Barat berani menceroboh China dengan menubuhkan lingkungan pengaruh mereka dan mendesak diberi konsesi-konsesi tertentu.
Kerajaan Manchu gagal mempertahankan China daripada pencerobohan Barat. Orang Cina tidak berpuas hati dengan Dinasti Manchu alu menganjurkan Revolusi China untuk menggulingkannya. China terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa membayar gantirugi peperangan malah kehilangan maruah sebagai kerajaan Middle Kingdom.

iii. Dasar tutup pintu
Kerajaan Manchu turut mengamalkan dasar tutup pintu. Mereka menyekat dan menghalang kegiatan perdagangan asing. Perdagangan asing hanya boleh dijalankan di pelahuhan Canton sahaja dan mesti melalui Co-Hong. British sangat memerlukan barangan dari China seperti teh dan sutera. Britain kemudiannya memaksa China membuka pintunya kepada perdagangan asing. Kekalahan China dalam Perang Candu I menyebabkan, Kerajaan Manchu terpaksa membuka Negara China kepada kuasa-kuasa Barat.

iv. Kelemahan sistem feudal
Susun lapis masyarakat China menyebabkan rancangan pembaharuan kurang berkesan. Kerajaan Machu juga kurang berminat dengan pembaharuan dan pemodenan. Pemerintahan Manchu mengamalkan dasar diskriminasi. Pegawai-pegawai istana dan wilayah bertindak mementingkan diri sendiri. Kerajaan Manchu hanya menjaga kepentingan kuasa dan kaum mereka sahaja.

b. Sosial
i. Peranan golongan intelektual
Pembaharuan yang dimulakan oleh Dinasti Manchu melahirkan golongan intelektual yang sangat radikal. Pelaja-pelajar China dihantar ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Golongan intelektual memainkan perana penting dalam merintis pembaharuan dan menghidupkan keinginan bagi perubahan politik di China. Contohnya, Liang Chi-Chao dan Kang Yu Wei. Dr. Sun Yat Sen seorang tokoh nasianalis China telah memainkan peranan penting dalam pembentukan dan perkembangan gerakan menentang kerajaan Manchu. Beliau telah mempengaruhi pelajar-pelajar Cina di luar negara supaya menyokong Revolusi China. Beliau juga mendapat sokongan rakyat China yang tidak berpuas hati dengan kerajaan China. Beliau telah merancang, mengatur dan mengetuai sepuluh pemberontakan dalam usaha menggulingkan kerajaan Manchu.

c. Ekonomi
i. Kemorosotan ekonomi
Sejak pertengahan abad ke-19, China mengalami kemerosotan ekonomi. Ramai orang Cina menyokong Revolusi China 1911 kerana kesengsaraan sosial dan ekonomi. Kawasan pertanian tidak dapat mengimbangi tambahan pesat dalam jumlah penduduk. Ini mengakibatkan masalah kekurangan makanan dan kemorosotan taraf hidup rakyat Cina. Bencana alam sering berlaku di China. Beribu-ribu orang telah mati akibat banjir dan kemarau di wilyah-wilayah Anhui, Kiangsu, Shantung dan Hupeh. Kerajaan Manchu tidak menghantar bantuan malah telah menaikkan dan memperkenalkan cukai-cukai baru. Ini memburukkan lagi keaadan ekonomi dan sosial rakyat Cina.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, penjelasan di atas telah membincangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Shugun Tokugawa di Jepun dan Dinasti Manchu di China. Kejatutuhan Shogun Takugawa telah memulihkan kedudukan dan kuasa Maharaja di Jepun manakala di China kejauhan Dinasti Manchu menyebabkan pembentukan kerajaan bercorak republik.

Ahad, 3 Oktober 2010

SOALAN NO 10: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan faktor-faktor yang mencetuskan Revolusi China pada tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun 1932.


Pengenalan ( 3/2 m )
Revolusi China yang berlaku pada tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun 1932 tidak bertujuan untuk mengusir penjajahan Barat; sebaliknya merupakan peristiwa penentangan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah di negara masing-masing. Kedua-dua revolusi ini telah digerakkan oleh golongan intelektual yang merasakan pembaharan perlu dilakukan untuk membangunkan negara dan ianya mendapat sokongan luas daripada golongan massa. Revolusi China dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen dan Kang Yu Wei sementara Revolusi Siam diketuai oleh Pridi Panomyong.

Isi (20 m)

A. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi China 1911 (10m)

i. Kelemahan pemerintahan Manchu

a. Revolusi ini bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu yang dianggap oleh rakyat sebagai lemah dan telah kehilangan mandat dari tuhan untuk terus memerintah China. Kelemahan kerajaan Manchu bermula dengan kekalahan China kepada Inggeris dalam Perang China-Inggeris Pertama (Perang Candu 1) pada tahun 1839-1842, dan kalah sekali lagi dalam Perang Inggeris-China Kedua (Perang Candu 2) pada tahun 1856.

b. Kekalahan China dalam kedua-dua peperangan itu yang diikuti dengan termeterainya perjanjian-perjanjian berat sebelah menyebabkan pintu negara China dibuka secara paksa oleh kuasa-kuasa Barat, keadaan huru hara, masalah rasuah dan inflasi yang meruncing. Keadaan ini menyebabkan tercetusnya beberapa gerakan penentangan seperti Pemberontakan Taiping (1850-1864), Pemberontakan Panthay (1885), Pemberontakan Nien (1853-1868), serta munculnya gerakan kongsi-kongsi gelap seperti White Lotus Society (Kumpulan Teratai Putih) dan Tried Society (Kumpulan Bertiga Syurga). Kedaaan ini telah menelan perbelanjaan yang banyak sehingga menyebabkan masalah kewangan. Tambahan pula, Putera Kung yang dilantik sebagai pemangku raja selepas kemangkatan Maharaja Kuang-Hsu pada tahun 1908 merupakan seorang raja yang tidak berwibawa dan gagal menstabilkan keadaan politik dan ekonomi China.

ii. Kesengsaraan hidup rakyat

a. Majoriti rakyat China adalah petani yang mendiami wilayah-wilayah di selatan China terutamanya Kwangsi dan Kwantung. Bilangan penduduk China telah meningkat dengan pesat kepada lebih 400 juta orang menjelang awal abad ke-20. Ini menimbulkan masalah kekurangan tanah pertanian dan meningkatnya pengangguran. Kehidupan petani tambah menderita akibat bencana alam terutamanya banjir dan kemarau seperti yang berlaku di Ahnwei, Chiking dan Shantung yang mengurangkan hasil pertanian. Kerajaan Manchu juga banyak berhutang dengan negara barat seperti Rusia dan Peranchis bagi membayar gantirugi perang. Bagi meningkatkan pendapatan kerajaan, kadar cukai telah ditingkatkan dan ini menambahkan lagi beban rakyat. Keadaan ini meningkatkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Manchu. Rakyat menyalahkan kerajaan Manchu yang dianggap ‘penyebab’ kesengsaraan hidup rakyat.


iii. Pencerobohan kuasa Barat

a. Kemasukan orang Barat ke China telah memberi kesan negatif kepada aspek perdagangan dan keagamaan. Masyarakat China merasakan untuk menjadi maju mereka perlu menerima idea-idea daripada Barat dan disesuaikan di China. Malangnya idea ini tidak disenangi oleh pemerintah Manchu lalu melaksanakan dasar tutup pintu. Pada waktu yang sama, Jepun telah membenarkan Dr. Sun Yat Sen menubuhkan Tung Meng Hui semasa di Jepun dan memberikan penerangan serta mendorong orang Cina di seberang laut untuk menyokong gerakan revolusioner.

iv. Penguasaan ekonomi oleh kuasa asing

a. Termeterainya beberapa siri perjanjian seperti Perjanjian Nanking (1842), Perjanjian Bogue (1844) dan Perjanjian Tientsin (1858) di antara China dan Inggeris selepas kekalahan China dalam Perang Candu pertama dan kedua telah membuka ruang kepada kuasa-kuasa Barat menceroboh wilayah dan menguasai ekonomi China. Akibatnya kuasa Barat seperti British, Peranchis, Rusia dan Amerika Syarikat telah menguasai pelabuhan-pelabuhan utama di China dan bandar utama Peking. Menerusi perjanjian ini juga, China kehilangan punca kewangannya kerana terpaksa membayar pampasan perang kepada kuasa Barat dan Timur. Contohnya Perjanjian Shimonoseki yang ditandatangani bagi menamatkan Perang Jepun-China (1894-1895) memaksa China membayar gantirugi sebanyak 450 juta tael kepada Jepun.

v. Peranan golongan intelektual

a. Golongan terpelajar seperti Dr. Sun Yat Sen telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat dan meniupkan semangat nasionalisme mengenai kelemahan pemerintahan Manchu. Usaha ini telah menyumbang secara langsung kepada meletusnya Revolusi China 1911.

vi. Kemudahan sistem perhubungan

a. Kemudahan sistem perhubungan yang terdapat di China seperti rangkaian jalan keretapi, jalanraya, perkhidmatan pos, telegraf dan media cetak telah mempercepatkan lagi penyebaran sentimen anti-Manchu. Dr. Sun Yat Sen sendiri misalnya pernah menerbitkan akhbar Min Pao atau The People untuk menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dan revolusi.

vii. Isu pembinaan jalan keretapi

a. Tindakan kerajaan Peking meminjam wang dari Britain, Jerman, Amerika Syarikat dan Peranchis untuk membina jalan keretapi yang menghubungkan Hankow-Szechwan diprotes oleh pemerintah wilayah Kwantung, Hunan, Hupen dan Szechwan. Mereka bimbang dan marah kerana terpaksa menanggung beban hutang tersebut Pinjaman itu juga dilihat sebagai bertambahnya dominasi kuasa-kuasa Barat ke atas China. Akibatnya tercetus beberapa rusuhan di wilayah-wilayah terbabit yang menyebabkan sentimen anti-Manchu semakin memuncak.



B. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi Siam 1932 (10m)

i. Kelemahan pemerintahan Raja Vajiravudh (Rama VI 1910-1925)

a. Zaman pemerintahan Vajiravudh (Rama VI 1910-1925) menyaksikan pelbagai kelemahan dan masalah pentadbiran. Usaha Vajiravudh cuba memperkukuhkan semula sistem raja berkuasa mutlak dan institusi diraja dilihat sebagai satu langkah anakronis berbanding pemerintahan Mongkut dan Chulalongkorn sebelumnya. Akibatnya tercetus percubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan baginda dalam Pemberontakan R.S. 130 tetapi gagal.

b. Vajiravudh juga bersikap pilih kasih apabila baginda menubuhkan Kong Sua Pa (Pasukan Harimau Liar / Wild Tiger Corps) yang membangkitkan kemarahan angkatan tentera sedia ada. Sepanjang tempoh pemerintahannya, Vajiravudh banyak menerima kecaman terhadap pendekatan politik dan peribadinya. Rasa tidak puas hati di kalangan pegawai dan rakyat timbul kerana tidak menyukai cara baginda menggantikan pegawai-pegawai berkebolehan dan setia dengan pegawai-pegawai berpangkat rendah dan kurang berpengalaman.

c. Vajiravudh juga kurang mengambil berat tentang tugas dan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kabinetnya, sebaliknya lebih suka meluangkan masa dengan kegiatan sastera, seni dan drama. Dasar kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan oleh Vajiravudh juga mengakibatkan keadaan ekonomi yang hampir muflis. Sir Edward Cook Penasihat Kewangan Siam melaporkan bahawa ketidakcekapan Vajiravudh dalam urusan kewangan dan sikap borosnya dalam membiayai aktiviti-aktiviti kesenian dan sastera merupakan punca utama kemerosotan ekonomi Siam pada tahun 1925.

ii. Kelemahan pemerintahan Raja Prajadhipok (Rama VII 1925-1935)

a. Pada masa pemerintahan baginda, masalah ekonomi dan kewangan Siam kian meruncing antara tahun 1913-1925 dalam mana perbelanjaan negara meningkat sehingga 50% berbanding pendapatan hanya sekitar 25%. Dasar retrenchment (berjimat cermat) yang dilaksanakan Prajadhipok dengan memotong gaji pegawai dan mengurangkan jumlah kakitangan serta mengenakan cukai baru untuk memulihkan ekonomi Siam ternyata kurang disenangi oleh pegawai kerajaan dan rakyat amnya.

b. Tindakan Prajadhipok membubarkan Pasukan Harimau Liar yang telah ditubuhkan oleh Vajiravudh telah menimbulkan kemarahan di kalangan anggota tentera berkenaan yang kehilangan pekerjaan. Rasa tidak puas hati golongan tentera terbukti apabila mereka melancarkan percubaan menggulingkan Prajadhipok pada tahun 1912 dan 1917 tetapi gagal.

iii. Dasar pilih kasih Prajadhipok

a. Baginda juga dituduh bersikap diskriminasi dengan melantik golongan kerabat diraja menjawat jawatan-jawatan tinggi kerajaan sehingga mengabaikan rakyat yang berpendidikan. Baginda cenderung mempercayai golongan diraja sahaja dalam membantu pemerintahan negara melalui penubuhan kementerian. Misalnya pada tahun 1925, baginda telah menubuhkan Majlis Penasihat yang dianggotai oleh putera-putera diraja. Ini telah membangkitkan semangat penentangan terhadap institusi diraja.

iv. Peranan golongan berpendidikan Barat

a. Idea pembaharuan politik, ekonomi dan sosial Siam dicetuskan oleh Profesor Nai Pridi Panomyong yang mendapat sokongan golongan berpendidikan Barat seperti Mejar Phibul Songkram iaitu Ketua Turus Angkatan Tentara Siam. Mereka terpengaruh dengan idea demokrasi Barat dan anti kuasa mutlak raja serta sistem monarki yang dianggap telah ketinggalan zaman dan menghalang kemajuan. Golongan ini juga merasakan hak mereka untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelulusan mereka telah dinafikan kerana kebanyakan jawatan penting didominasi oleh golongan aristokrat.


v. Perselisihan antara golongan pemerintah / istana

a. Imej golongan diraja / istana di mata rakyat mula terjejas pada tahun 1931 akibat perselisihan di antara Putera Bovaradej (Menteri Pertahanan) dengan Putera Purachatra (Menteri Perdagangan). Perselisihan berkisar mengenai langkah penyelesaian masalah ekonomi Siam. Bovaradej mencadangkan kenaikan gaji untuk golongan tentera tetapi ditolak oleh Prajadhipok.

vi. Peranan Parti Rakyat

a. Pemimpin Parti Rakyat seperti Pridi Panomyong, Pya Bahul dan Phibul Songkram telah melancarkan satu cop de’tat (rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah) pada 26 Jun 1932 ketika Prajadhipok berada di luar negara. Sekembalinya baginda dua hari selepas pemberontakan, baginda telah bersetuju untuk menerima perlembagaan yang diusulkan oleh Parti Rakyat. Peristiwa ini menandakan berakhirnya sistem pemerintahan monarki atau raja berkuasa mutlak di Siam.


Kesimpulan ( 2/3 m )

Revolusi China dan Revolusi Siam merupakan dua peristiwa revolusi yang tercetus akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap sistem pemerintahan beraja yang dianggap mengongkong pembaharuan dan pembangunan politik, ekonomi dan sosial di negara masing-masing. Bezanya di China, revolusi ditujukan kepada menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu yang merupakan sebuah kerajaan asing yang berasal dari Manchuria; manakala di Siam, golongan revolusioner bertujuan menamatkan absolutisme pemerintahan beraja Dinasti Chakri khususnya Prajadhipok. Kebangkitan golongan terpelajar berpunca daripada kegelisahan terhadap kelemahan-kelemahan pentadbiran pihak pemerintah yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi diraja.

SOALAN NO 9: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan kesan-kesan perjanjian Kanagawa tahun 1854 (Jepun) dan perjanjian Bowring tahun 1855 (Siam) ke atas kedua-dua negara.

PENDAHULUAN ( 2/3 M )
Kedatangan Barat ke Asia adalah untuk meluaskan pengaruh mereka terhadap negara-negara Asia. Kuasa Barat telah melakukan campur tangan ke atas negara-negara di Asia melalui perjanjian, peperangan dan pengilhakan. Kedatangan Barat ke Thailand dan Jepun telah mengancam kedaulatan kedua-dua buah negara tersebut. Bagi menggelakkan kedaulatan dan campur tangan Barat ke atas kedua-dua buah negara ini ,kedua-dua pemerintahan negara tersebut iaitu Raja Mongkut dan Shogun telah menandatangani perjanjian dengan kuasa Barat. Raja Mongkut telah menandatangani perjanjian Bowring pada tahun 1855 dengan British. Jepun pula telah menandatangani perjanjian Kanagawa pada tahun 1854. Kedua-dua perjanjian ini sangat penting kerana perjanjian ini merupakan langkah pertama kepada perubahan dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka Siam dan Jepun bagi mengelakkan campur tangan kuasa Barat.

ISI

A. JEPUN (10 M)

 Penjanjian Kanagawa diadakan kerana Amerika Syarikat tertarik dengan
banyak potensi yang terdapat di Jepun iaitu

a. Jepun mempunyai potensi perdagangan.
b. Perusahaan menangkap ikan paus Amerika Syarikat di Lautan
Pasifik berkembang pesat dan anak kapal Amerika Syarikat sering
terkandas dipinggir laut Jepun dan sering diberi layanan buruk.
c. Perdagangan Amerika Syarikat dengan China semakin meningkat dan Amerika Syarikat memerlukan arang batu daripada Jepun.

 Pada tahun 1853 , Komodor Perry yang dilantik oleh kerajaan Amerika Syarikat menjadi wakil ke Jepun. Komodor Perry telah memaksa Jepun mengadakan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Bagi mengelakkan campur tangan Amerika Syarikat Jepun terpaksa menandatangani suatu penjanjian dengan Amerika yang dipanggil Penjanjian Kanagawa pada tahun 1854.

 Antara syarat-syarat perjanjian Kanagawa ialah

a. Pelabuhan Shimoda dan Hakodate dibuka kepada kapal Royal Amerika Syarikat bagi mendapat bekalan dan berdagang.
b. Amerika Syarikat dibenarkan melantik seorang konsul yang akan di tempatkan di Shimoda.
c. Amerika Syarikat akan dilayan sebagai negara yang paling digemari (most favoured nation )
 Perjanjian kanagawa ini merupakan perjanjian yang pertama yang ditandatangani oleh Jepun dengan kuasa Barat. Perjanjian ini memberi kesan yang sangat besar terhadap Jepun dan hubungannya dengan kuasa Barat lain



Kesan-kesan Perjanjian Kanagawa 1854.

1. Kesan Politik

a. Permulaan dasar buka pintu

 Perjanjian Kanagawa telah menamatkan dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka yang telah diamalkan oleh Shogun Tokugawa. Selepas perjanjian ini pada tahun 1854, Laksamana Sir James Stirling yang mewakili British telah menandatangani Perjanjian Nagasaki. Melalui perjanjian ini British mendapat kemudahan perdagangan di Hakodate dan Shimoda. Pada tahun 1855 Russia melalui Laksamana Putyyatin telah menandatangani Perjanjian Shimoda dengan Jepun. Antara isi penjanjian ini ialah :

a. Pulau-pulau Kuril termasuk Etorufu diserah kepada Russia.
b. Pelabuhan Nagasaki, Shimoda dan Hokadate dibuka kepada Russia.
c. Pulau Sakhalin tetap menjadi milik bersama antara Russia dengan Jepun.

 Pada tahun 1856, Belanda telah menandatangi perjanjian dengan Jepun di Nagasaki. Belanda juga diberi kebenaran berdagang di pelabuhan-pelabuhan Jepun

 Pada tahun 1858, Amerika Syarikat telah berjaya mengadakan perjanjian Jepun. Townsend Harris telah menjadi wakil kerajaan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Edo. Melalui perjanjian ini lima buah lagi pelabuhan Jepun dibuka kepada Amerika Syarikat iaitu Hyogo, Hakodate, Kanagawa, Nagasaki dan Nugata. Hak asasi bagi kes-kes civil dan jenayah hendaklah diberikan kepada semua orang Amerika. Cukai-cukai kastam hendaklah ditetapkan mengikut persetujuan bersama.

 Kejatuhan Shogun Tokugawa kerana perjanjian-perjanjian yang ditandatangani ini telah membuktikan kelemahan pemerintahan Shogun. Suku-suku Barat seperti Toza, Tozama, Chosu dan Ronin menentang pentadbiran Jepun. Shogun Keiki terpaksa menyerah kuasa kepada Maharaja Meiji pada tahun 1867. Dengan ini Maharaja Meiji telah kembali berkuasa ke atas seluruh wilayah Jepun. Apabila maharaja Jepun berjaya menguasai Jepun baginda telah melakukan permodenan terhadap Jepun bagi menggelakkan campur tangan Barat.

2. Kesan Ekonomi

 Melalui perjanjian ini Jepun menceburi bidang ekonomi komersial akibat berlakunya perdagangan dengan negara-negara barat akibat pembukaan pelabuhan-pelabuhan Jepun. Kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan lahirnya syarikat-syarikat besar dari golongan zaibatsu yang memajukan ekonomi Jepun.


3. Kesan sosial.

 Agama kristian telah dibenarkan dibawa masuk dengan bebas oleh para pedagang dan mubaligh kristian. Agama kristian semakin berkembang di Jepun.


Thailand (10 M)

Perjanjian Bowring

 Raja Mongkut telah melihat perkembangan politik yang berlaku di Asia Tenggara di mana kuasa Barat telah campur tangan di Tanah Melayu, Myanmar, Indonesia dan Vietnam. Raja Mongkut sedar jika Siam meneruskan dasar pintu tertutup ini akhirnya Siam juga akan ditakluki oleh kuasa Barat.

 Demi mengelakkan pencerobohan dan campur tangan kuasa Barat ke atas Siam Raja Mongkut telah mengadakan dasar buka pintu dan pemodenan Siam. Langkah pertama ke arah pemodenan adalah mengadakan perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan British. Perjanjian ini dikenali dengan perjanjian Bowring pada tahun 1855.

 Antara syarat-syarat perjanjian Bowring ialah

a. Cukai dikenakan ke atas barang-barang yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar British setinggi 3 % sahaja.
b. Saudagar-saudagar British dibenarkan berdagang di semua pelabuhan Siam.
c. Warganegara British dibenarkan membeli atau menyewa khasnya di sekitar empat batu dari ibu negera.
d. Konsul British hendaklah ditubuhkan di Bangkok dan diberi hak wilayah asingan ( extra-territorial rights ) Warganegara British tidak tertakluk di bawah peraturan dan undang Siam dan mereka tertakluk di bawah undang-undang British.
e. Konsul British yang hendak dilantik mendapat persetujuan dan kepercayaan Siam.
f. Pedagang-pedagang British dibenarkan mengimport candu tetapi tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ketat dan kawalan rapi.

Kesan Perjanjian Bowring.

1. Kesan Politik.

 Hubungan Siam dengan British semakin erat. Raja Mongkut telah mengamalkan diplomasi dengan menghantar satu perutusan ke Britain. Utusan ini diketuai oleh Phraya Suriwongse.

 Siam dapat mengelakkan negaranya daripada dijajah oleh kuasa Barat lain. Siam telah mengadakan perjanjian-perjanjian perdagangan dengan kuasa Barat lain seperti Perancis ( 1856 ), Amerika Syarikat ( 1856 ), Denmark ( 1858 ), Portugal ( 1859 ), Holland ( 1860 ), Prusia ( 1862 ), Belgium ( 1868 ), Italy (1868), Norway ( 1868 ), dan Sweden ( 1868 ).

 Raja Mongkut juga telah melakukan permodenan di Siam dengan mengambil pakar-pakar asing dalam menguruskan pentadbiranya.


Kesan ekonomi.

 Perjanjian Bowring telah membuka Siam kepada pedagangan antarabangsa. Bilangan kapal yang berlabuh di Siam bertambah hampir 10 kali ganda.

 Sistem ekonomi sara diri Siam telah diganti dengan sistem ekonomi komersial. Siam mengeksport kayu jati, beras dan gula. Pada tahun 1850 jumlah eksport beras Siam hanya 5% daripada jumlah pengeluarannya tetapi pada tahun 1905 jumlah eksport Siam telah meningkat sehingga 50%.

 Britain telah menguasai perdagangan asing di Siam. Pelabuhan-pelabuhan asing seperti Singapura dan Hong Kong telah menjalankan perdagangan Siam. Siam telah muncul sebagai “ satelit ekonomi” Britain.

 Penguasaan orang Cina dalam perdagangan asing telah tamat. Kerajaan Siam telah memajakkan monopoli eksais yang baru seperti loteri, candu dan minuman keras.

 Sistem kewangan Siam telah mengalami perubahan. Siam telah menyusun semula sisten kewangannya mengikut sistem kewangan Barat. Siam telah mengambil penasihat-penasihat ekonomi daripada Barat.

 Perjanjian ini juga telah menamatkan monopoli perdagangan golongan bangsawan. Sebelum ini golongan bangsawan yang memonopoli perdagangan tertentu seperti batu permata dan kayu jati .


KESIMPULAN.

Perjanjian Kanagawa dan perjanjian Bowring memberi pergertian yang sangat besar kepada Jepun dan Thailand. Melalui perjanjian ini Jepun dan Thailand telah mengubah dasar tutup pintu kepada dasar buka pintu. Melalui perjanjian ini juga Jepun dan Thailand telah melakukan permodenan terhadap negara masing-masing. Kedua-dua perjanjian ini telah berjaya menyelamatkan Jepun dan Thailand daripada dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat.

SOALAN NO 8: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Bincangkan adat dan kepercayaan yang diamalkan di India dan China pada abad ke-19.

PENGENALAN (2/3M)
Adat bermaksud peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga dianggap hukum yang harus dipatuh. Ia disampaikan secara lisan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Sepanjang abad ke-19, pelbagai adat telah diamalkan oleh penduduk China dan India malah adat-adat tersebut telah berkembang sebelum abad ke-19 lagi. Masyarakat Cina tradisional mula mengamalkan adat sejak dilahirkan hinggalah pada hari kematian mereka. Mereka dipengaruhi oleh ajaran Confucius manakala masyarakat India pula mengamalkan hukum adat yang berkaitan dengan pengaruh agama Hindu. Semua adat ini bertujuan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

ISI (20M)

A. Adat di India (10 M)

Adat pembunuhan bayi perempuan
Pembunuhan ini dilakukan semasa bayi masih kecil iaitu semasa bayi tersebut masih menyusu. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan ibu bapa daripada menanggung penderitaan seperti pemberian dowri apabila anak itu berkahwin kelak. Ia biasanya dilakukan oleh golongan miskin.

Adat Suttee
Adat yang melibatkan pembakaran balu dalam upacara pembakaran mayat suami mereka. Adat ini diamalkan oleh masyarakat India sebagai bukti kesetiaan isteri terhadap suami dengan alasan suami isteri tersebut dapat hidup bersama di syurga.

Adat Thuggee
Merupakan amalan merompak dan pembunuhan di jalan. Amalan ini dijalankan oleh kumpulan agama yang bersenjata menyamar lalu mencekik pengembara jalanan sehingga mati atas nama Dewi Kali.

Adat bertindik hidung
Amalan ini dilakukan oleh kaum wanita India dengan memakai barang kemas di hidung dikenali sebagai muukkuti. Adat ini menjadikan seseorang wanita itu lembut, mengimbangkan suhu badan dan dianggap membawa kebaikan

Adat Pottu
Adat meletakkan tanda di dahi berbentuk bulat yang juga dikenali sebagai taligam. Pottu dianggap sebagai warisan bagi kaum wanita India. Terdapat juga kaum lelaki yang memakai pottu merah atau cendana.

Amalan sistem kasta
Masyarakat di India dibahagikan mengikut golongan tertentu. Ia bertujuan untuk menjaga keturunan yang dianggap mulia dan dihormati. Sistem kasta dibahagikan mengikut empat kelas masyarakat iaitu Kysatria (perwira, aristokrat),Brahmin (sami), Vaisya (pedagang) dan Sundra ( rakyat biasa).

Adat tidak membenarkan perkahwinan semula balu
Balu-balu dilarang daripada berkahwin semula selepas kematian suami mereka. Mereka juga tidak boleh menghias diri dan hanya memakai sari putih sahaja. Mereka juga tidak boleh menghadiri perayaan keluarga dan tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarga sendiri.

Adat khas bagi wanita hamil
Wanita hamil harus menjaga dirinya agar tidak melanggar segala pantang larang kerana perbuatan ini akan mempengaruhi anak dalam kandungan. Wanita hamil tidak boleh mengumpat, bergaduh dan sebagainya untuk melindungi ibu dan anaknya daripada dipengaruhi oleh kuasa jahat.

B. Adat di China (10 M)

Adat kowtow
Adat mengadap maharaja China dengan cara meniarap atau berlutut sebanyak sembilan kali di hadapan maharaja. Maharaja dianggap suci dan perlu disembah sedemikian rupa. Adat ini mengangkat darjat raja ke tahap yang paling tinggi sebagai wakil tuhan. Adat ini dipatuhi oleh semua termasuklah duta-duta Barat sewaktu mengadap maharaja China.

Adat wanita hamil
Diamalkan sejak mula kehamilan hingga ke seratus hari selepas bersalin. Dilarang menyertai majlis perkahwinan dan pengkebumian sehingga 100 hari selepas bersalin.. Perlu berehat dan mengambil makanan yang baik dan mengelakkan makanan yang sejuk kerana dikatakan akan menyebabkan ibu tersebut ditimpa penyakit.

Adat mementingkan anak lelaki.
Anak lelaki mengekalkan nama keluarga. Anak perempuan yang berumahtangga secara langsung memutuskan hubungan dengan keluarga dan menggunakan nama keluarga suaminya. Bagi bapa yang tidak mempunyai anak lelaki tidak akan mempunyai persembahan yang diletakkan di atas meja pujaan rohnya selepas meninggal kerana dianggap gagal memenuhi tanggungjawabnya.

Adat mengikat kaki anak gadis.
Kaki anak perempuan yang berumur antara tiga ke lapan tahun diikat/bebat (dibalut dengan kain ketat) supaya kecil dan cantik. Wanita Cina berasa bangga jika mempunyai kaki yang kecil kerana melambangkan status tinggi dan kemuliaan. Saiz kaki besar melambangkan kehinaan dan kemiskinan. kerja-kerja pertanian.

Adat memuja roh nenek moyang
Nenek moyang dianggap sebagai ketua keluarga. Bapa yang tidak ada anak lelaki tidak akan disembah. Penghormatan ini akan dilakukan terutama pada hari-hari tertentu seperti menyambut Tahun Baru. Adat ini turut dipertanggungjawabkan kepada golongan tua atau majlis orang tua.

Adat berkenaan bayi atau anak kecil
Bagi masyarakat Cina , ketika bayi itu dilahirkan dia telah berusia satu tahun dan apabila dia berusia satu tahun sebenarnya dia telah pun berusia dua tahun. Masyarakat Cina amat menitikberatkan soal pendidikan sejak kanak-kanak lagi terutamanya menghormati keluarga.

Adat perkahwinan
Perkahwinan dalam masyarakat Cina diatur sejak kecil kerana ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pihak pengantin perempuan tidak dibenarkan mengadakan majlis perkahwinan kerana ini hanya dilakukan oleh pihak lelaki sahaja. Masyarakat Cina pentingkan perkahwinan kerana dianggap akan melahirkan generasi baru yang akan menggantikan generasi lama.

Adat tilikan nasib
Masyarakat Cina amat percaya pada tilikan nasib. Sial malang dalam kehidupan akan dapat disingkirkan dengan bantuan tukang tilik yang mahir. Sebelum melakukan sesuatu perkara masyarakat di Asia Timur akan mendapatkan khidmat tukang tilik untuk menentukan tarikh, hari, masa dan ketika yang sesuai memulakan sesuatu upacara.

KESIMPULAN (2/3 M)
Hukum adat di India dan China mempengaruhi corak pemerintahan dan kehidupan masyarakatnya. Terdapat beberapa amalan yang mencetuskan kontroversi akibat pertembungan antara dua budaya yang bertentangan sewaktu kedatangan Barat.
Antaranya termasuklah adat Kowtow di China manakala beberapa adat yang kontroversi turut dihapuskan oleh British di India seperti adat Suttee.


*Dipetik dan diubahsuai daripada Skema Peperiksaan Percubaan Sejarah 2 STPM Perlis 2009

SOALAN NO 7: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BT. GAJAH 2010

Huraikan sistem pemerintahan beraja di Myanmar dan Vietnam sebelum penglibatan kuasa Barat.

Pengenalan ( 2/3 M )
Sistem pemerintahan beraja merupakan satu bentuk pentadbiran yang diamalkan di kebanyakan negara Asia termasuklah Myanmar dan Vietnam. Di Myanmar sistem beraja merupakan campuran sistem tempatan dengan pengaruh agama Hindu dan Buddha melalui proses keindiaan manakala di Vietnam yang menerima naugan China turut di pengaruhi unsur Confucius. Di kedua-dua negara, raja merupakan ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam semua aspek kehidupan meliputi politik, ekonomi dan sosial. Myanmar pula ditadbir oleh dinasti Konbaung tetapi jatuh ke tangan British pada tahun 1886 manakala Vietnam yang menggunakan gelaran maharaja pula ditadbir oleh dinasti Nguyen mulai 1802 hingga 1945.

A. Myanmar ( 10 M )

Sistem beraja di Myanmar berasaskan pengaruh sistem politik di India. Sistem bercorak keindiaan ini merupakan gabungan unsur-unsur keindiaan dengan unsur-unsur tempatan tetapi unsur-unsur keindiaan mengatasi unsur-unsur tempatan. Mengikut kepercayaan Hindu-Buddha, konsep orde kosmos diumpamakan kepada satu negara iaitu negara tersebut melambangkan satu alam semesta dan pusatnya ialah ibu kota. Raja sendiri menjadi pusat alam. Raja akan membina masyarakat selaras dengan peraturan-peraturan alam semesta atau dharma. Raja juga dianggap sebagai dewaraja iaitu raja dianggap sebagai wakil tuhan di bumi atau ’god shadow on earth’, dengan itu rakyat tidak boleh mempersoalkan segala tindak-tanduk raja.

Di Myanmar, Kanun India Manu telah meletakkan taraf separa ketuhanan ke atas raja. Mengikut Cady dalam bukunya South East Asia: Its Historical Development, menjelaskan ” tiada orang Myanmar yang berani mempersoalkan hak raja bagi menguasai kehidupan, harta dan kewajibannya kecuali kalau orang itu sanggup dikatakan sebagai penderhaka”. Sifat ketuhanan ini diberi oleh sami-sami Brahmin kepada raja apabila mereka memegang payung putih yang menunjukkan simbol kedaulatan dan ketuhanan dan mengurniakan raja-raja dengan alat kebesaran yang mempunyai sifat-sifat sakti. Bilangan gajah putih yang dimiliki oleh raja merupakan satu tanda kekuasaan raja Myanmar. Istana pula menjadi satu simbol yang mewakili Gunung Meru iaitu tempat kediaman tuhan-tuhan dan pusat alam menurut kosmologi orang India. Prinsip kosmologi ini memberi kuasa yang sangat besar kepada raja dan juga menolong meninggikan anggapan diri dan kebanggaan mereka. Kegagalan raja mempertahankan ibu negeri daripada ditawan bermakna kehilangan takhta kerajaan. Bagi mempertahankan istana dan ibu negeri, raja akan membina tembok.

Raja Myanmar menpunyai kuasa mutlak dalam semua bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial. Segala tindak-tanduk raja tidak boleh dipertikaikan oleh rakyat dan kekuasaan raja tersebut hanya dibatasi oleh agama Buddha agar raja tidak bertindak zalim kepada rakyat. Dalam bidang pentadbiran, raja akan dibantu oleh para pembesar yang dilantik sama ada di peringkat pusat, wilayah mahupun kampung.

Pemerintah beraja di Myanmar turut dikaitkan dengan unsur agama Buddha terutama Buddha Theraveda.. Golongan Brahmin menjadi penasihat raja dalam hal-hal pentadbiran terutama yang berkaitan dengan keagamaan. Malah di Myanmar raja adalah penaung kepada segala upacara keagaman dan bertanggungjawab terhadap pembinaan kuil (pagoda) serta mempertahankan kesuciannya. Raja Mindon Min pernah menjadi sami Buddha dan telah berusaha untuk mengembalikan kegemilangan agama Buddha di Myanmar termasuklah membina pagoda besar di Bandar Mandalay.

Raja juga bertanggungjawab untuk melantik pembesar yang akan membantu raja dalam menjalankan pentadbiran sama ada di peringkat pusat, wilayah, daerah mahupun kampung. Antara pembesar-pembesar yang membantu raja termasuklah Einshemin ( Raja Muda ) , Wungyi (menteri-menteri diraja), Windauk ( menteri-menteri kelas dua ) Atwinwun dan Myothugyi. Kekuatan, keberkesanan dan kelancaran pentadbiran beraja di Myanmar banyak dipengaruhi oleh peranan pembesar.

Raja Myanmar turut berperanan dalam bidang kehakiman dan undang-undang termasuklah bertindak sebagai ketua hakim. Raja dianggap sebagai penggubal undang-undang dan Brahmin pula adalah penasihat utama raja dalam bidang perundangan. Sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh raja adalah muktamat termasuk hukuman mati.

Dari segi ekonomi, raja Myanmar berkuasa penuh ke atas semua tanah kerajaan dan dianugerahkn kepada para pembesar untuk ditadbir dan diusahakan. Raja juga turut menguasai hasil negara terutamanya pungutannya cukai, hasil pertanian, perdagangan dan lain-lain. Pembesar menjadi perantara antara raja dan rakyat dalam urusan pungutan cukai. Walau bagaimanapun terdapat beberapa komoditi ekonomi yang menjadi monopoli di raja termasuklah perlombongan permata, kayu jati, beras, petroleum dan kapas.

B. Vietnam ( 10 M )

Gelaran maharaja mula digunakan di Vietnam mulai tahun 1788 oleh Maharaja Quang Trung. Sistem maharaja Vietnam menerima pengaruh China kerana Vietnam berada di bawah pentadbiran langsung Kerajaan China sejak 111 sebelum Masihi. Maharaja Vietnam menghantar ufti tahunan ke China sebagai mengakui kedaulatan China. Jika berlaku pertukaran pemerintah, Vietnam akan menghantar utusan ke Peking untuk memakumkannya. Majlis pertabalan maharaja Vietnam akan dilakukan oleh wakil maharaja China dan maharaja tersebut akan dianggap sebagai maharaja yang sah dan berwibawa.

Di Vietnam, maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam semua bidang termasulah politik, ekonomi dan sosial seperti pemerintahan pusat, pemilikan tanah dan harta. Tugas maharaja Vietnam sering dipenuhi dengan upacara adat resam tradisional. Kesejahteraan rakyat dan negara bergantung kepada kebijaksanaan maharajanya. Pengabaian terhadap upacara adat resam akan menyebabkan negara ditimpa kecelakaan. Mengikut Confucius “seseorang maharaja samalah seperti angin, rakyat umpama rumput. Rumput akan tunduk mengikut arah angin bertiup. Jika maharaja tidak berlaku adil, mandat dari syurga yang dimilikinya akan lenyap. Penentangan rakyat dikatakan sangat wajar”. Maharaja perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bencara alam yang berlaku semasa pemerintahannya. Maharaja Minh Mang pernah membatalkan jamuan istana apabila mengetahui berlakunya bencana empangan pecah di utara Vietnam.

Maharaja Vietnam yang menerima pengaruh China dianggap sebagai “son of heaven” (anak tuhan). Baginda mendapat mandat dari Tuhan untuk memerintah. Kalau negara maju, rakyat menganggap maharaja mendapat mandat Tuhan dan disebaliknya, jika maharaja kehilangan mandat, rakyat boleh menggulingkannya. Di samping itu maharaja Vietnam dikehendaki mempunyai latar belakang pendidikan China serta perlu menguasai dan memahami secara mendalam ajaran dan falsafah Cofucius.

Dalam sistem feudal Vietnam, maharaja berada di puncak hierarki sosial yang terdiri daripada maharaja, golongan cendiakawan ( Quan atau Mandarin ), petani dan hamba.
Dalam menjalankan pentadbiran, maharaja dibantu oleh pembesar iaitu Mandarin atau quan dan mereka merupakan cendiakawan yang mendapat kuasa daripada raja dan berpeluang untuk mempengaruhi Maharaja dalam menjalankan pentadbiran. Dalam sastera Vietnam, dinyatakan bahawa kaum raja dan Mandarin melakukan penyeksaan: “Raja memaksa rakyat bekerja tanpa makan dan tidak dibayar gaji. Kaum ini mencuri dan merampas seberapa banyak yang dapat.”

Maharaja Gia Long ( Nguyen Anh ) menjalankan pentadbiran berpusat di Hue dengan penekanan kepada birokratik yang berasaskan hierarki Mandarin. Maharaja bertindak sebagai ketua kerajaan dan dibantu oleh enam Quan (kementerian). Maharaja turut mempengerusikan Nai-Cac ( Majlis Tertinggi ) dengan dibantu oleh enam orang menteri kanan. Majlis ini bertanggungjawab menyelesaikan perkara-perkara yang gagal diselesaikan di peringkat Quan. Wilayah Annam yang menempatkan ibu kota Vietnam terletak di bawah kekuasaan maharaja.

Maharaja Gia Long dan Minh Mang turut berusaha mengatasi amalan-amalan feudal dan penindasan terhadap rakyat yang dilakukan oleh pembesar Mandarin atau Quan kerana dikenalpasti sebagai faktor yang melemahkan Vietnam. Maharaja Gia Long juga bertindak menghapuskan keistimewaan yang dinikmati oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja seperti pemilikan tanah secara besar-besaran dan melarang pegawai kerajaan menerima cukai.

Kesimpulan ( 2/3 M )

Berdasarkan huraian di atas dapat disimpulkan bahawa sistem pemerintahan yang diamalkan di Myanmar dan Vitnam mula mengalami perubahan setelah kemasukan pengaruh barat iaitu British di Myanmar dan Perancis Vietnan. Di Myanmar mulai 1826 kuasa politik raja-rajanya mula berkurangan hinggalah seluruh kuasa tersebut jatuh ke tangan British apabila Myanmar tewas dalam Perang Inggeris- Myanmar III pada 1886 dan tamatlah sistem pemerintahan beraja di Myanmar. Di Vietnam akibat perluasan pengaruh Perancis, sistem beraja maharaja yang diamalkan selama ini semakin luntur pengaruhnya dan digantikan dengan sistem pentadbiran berteraskan birokrasi barat yang iperkenalkan oleh Perancis. Namun begitu sistem pemerintahan beraja / maharaja di Vietnam mampu bertahan sehingga 1945.

Selasa, 28 September 2010

SOALAN NO 6: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963.

Pendahuluan (3/2 m)
Pada 31 Ogos 1957 dengan rasminya Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan setelah dijajah selama hampir 450 tahun oleh penjajah Barat dan Jepun. Selepas mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Demokrasi berparlimen ialah satu sistem kerajaan yang dipilih secara bebas oleh rakyat melalui pilihan raya dan bertanggungjawab kepada rakyat. Secara amnya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga badan yang terlibat ,iaitu badan perundangan (legislative), badan eksekutif (executive) dan badan kehakiman (judicial). Pengasingan ketiga-tiga badan dalam pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu disebut sebagai ‘doktrin pengasingan kuasa’.

Isi (20 m)

A. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan

1. Badan Perundangan atau Parlimen

i) Yang Di Pertuan Agong

a. Raja Berpelembagaan merupakan Ketua Negara. Mereka dipilih secara bergilir-gilir pada setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-raja dalam kalangan 9 orang Sultan atau Raja Melayu. Dalam melaksanakan kuasa pemerintahan, Yang Di Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

b. Kuasa Yang Di Pertuan Agong :
• Melantik Perdana Menteri
• Mengisytiharkan pembubaran parlimen atau tidak memperkenankan pembubaran parlimen
• Berkuasa memanggil parlimen supaya bersidang
• Mengisytiharkan undang-undang tentera atau darurat dengan persetujuan Jemaah Menteri
• Bertanggungjawab melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak
• Mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan, kehormatan, kedudukan dan kemuliaan Raja-raja Melayu.
• Mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
• Pemerintah tertinggi angkatan tentera dan ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
• Memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

ii) Dewan Negara

a. Pada prinsipnya ia merupakan majlis tertinggi parlimen, iaitu lebih tinggi tarafnya daripada Dewan Rakyat. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat. Keahlian Dewan Negara terdiri daripada pelbagai golongan, iaitu mewakili semua negeri dalam persekutuan serta dilantik daripada kalangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

b. Anggota Dewan Negara dikenali sebagai Senator dan berkhidmat sebagai anggota dewan selama 3 tahun dan boleh dilantik semula untuk 3 tahun lagi. Sama taraf dengan ahli Dewan Rakyat dan boleh dilantik sebagai Menteri. Mempunyai 69 orang ahli.

c. Keahliannya dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu ahli yang dipilih oleh setiap Dewan Undangan Negeri dan bilangannya ialah 2 orang bagi setiap negeri. Tiga ahli yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong, iaitu 2 orang untuk mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang bagi mewakili Wilayah Persekutuan Labuan. Ahli-ahli yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dan bilangannya ialah 40 orang.

d. Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara hanya berkuasa menangguhkan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan itu daripada dikemukakan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda. Rang undang-undang kewangan hanya boleh ditangguhkan selama satu bulan, manakala rang undang-undang lain selama satu tahun.

iii) Dewan Rakyat

a. Anggota Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Dewan Rakyat pertama kali ditubuhkan selepas pilihan raya 1959. Dewan Rakyat terdiri daripada 193 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia.

b. Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang. Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun dan tamat apabila parlimen dibubarkan oleh Yang Di Pertuan Agong. Seseorang ahli boleh berhenti bila-bila masa daripada menjadi ahli Dewan Rakyat dengan mengemukakan surat perletakan jawatan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

c. Seseorang dianggap hilang kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat jika diisytiharkan sebagai seorang yang tidak sempurna akal, diisytiharkan muflis yang belum lagi dibebaskan, memegang jawatan bergaji, disabitkan dengan sesuatu kesalahan jenayah oleh mana-mana mahkamah, gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan dan memperoleh kewarganegaraan asing secara sukarela dan membuat pengakuan taat setia kepada negara asing itu.

d. Jika berlaku sebarang kekosongan dalam Dewan Rakyat yang disebabkan oleh perletakan jawatan, kematian atau hilang kelayakan, maka kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari mulai tarikh berlaku kekosongan itu di Semenanjung Malaysia atau 90 hari di Sabah dan Sarawak. Satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut. Setiap ahli Dewan Rakyat dikehendaki mengangkat sumpah taat setia kepada negara dan perlembagaan sebelum mengambil tempat dalam dewan.

2. Badan Eksekutif

i) Jemaah Menteri atau kabinet

a Badan pembuat dasar tertinggi negara yang menjalankan kuasa eksekutif. Tugas utama ialah menggubal dasar-dasar kerajaan semua perkara dan memberi arahan kepada jentera kerajaan di peringkat persekutuan melaksanakan dasar-dasar tersebut.

b. Diketuai oleh seorang Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan daripada sebahagian besar ahli-ahli dewan. Tugas utama Perdana Menteri ialah mengetuai kabinet, memimpin kerajaan, menjalankan pentadbiran dan menggubal dasar-dasar kerajaan.

c. Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha-setiausaha parlimen untuk membantu beliau dalam melicinkan urusan pentadbiran kerajaan. Tugas Timbalan Perdana Menteri ialah membantu Perdana Menteri dan menjalankan tugas-tugas itu semasa Perdana Menteri bercuti atau berada di luar negara.

d. Kementerian diketuai oleh seorang Menteri yang akan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai kementerian dan kakitangannya yang dikenali sebagai pegawai kerajaan. Kementerian lazimnya mempunyai bahagian pusat, negeri dan daerah. Selain itu, terdapat juga kementerian yang mempunyai badan tertentu misalnya Arkib Negara Malaysia dan Muzium di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan mempunyai Ketua Pengarah.

e. Perlantikan pegawai dan menjaga disiplin pegawai beberapa Suruhanjaya dilantik. Misalnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Undang-undang dan Kehakiman.

3. Badan Kehakiman

i) Mahkamah Agong/Persekutuan

a. Mahkamah Agong merupakan mahkamah yang tertinggi di Malaysia. Mengandungi Ketua Hakim Negara, kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Borneo serta tujuh orang hakim Mahkamah Agong. Biasanya Mahkamah Agong bersidang di dalam panel mengandungi tiga orang hakim yang dipilih oleh Ketua Hakim Negara.

b. Antara bidang kuasa Mahkamah Agong ialah mendengar dan menentukan rayuan-rayuan kes jenayah dan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, menentukan sah undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memutuskan pertikaian di antara kerajaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atau di antara negeri-negeri dan menasihati Yang Di Pertuan Agong dalam soal menguatkuasa mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

ii) Mahkamah Tinggi

a. Terdiri daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo. Mempunyai kuasa pengadilan asal, rayuan dan pengawasan. Mempunyai kuasa yang tidak terhad dalam menjalankan pengadilan ke atas kes jenayah asal. Biasanya kes-kes jenayah yang terletak di luar bidang kuasa pengadilan Mahkamah Rendah sahaja dibawa kepada Mahkamah Tinggi untuk pengadilan.

b. Mahkamah Tinggi mendengar rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dari Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas keputusan semua kes sivil dan jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah. Keputusan sivil dan jenayah Mahkamah Tinggi boleh dikemukakan untuk rayuan kepada Mahkamah Agong.

iii) Mahkamah Rendah

a. Terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu. Mahkamah Sesyen dipengerusikan oleh seorang pegawai yang digelar hakim. Beliau mempunyai kuasa pengadilan jenayah bagi semua kesalahan kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup.

b. Mahkamah ini mempunyai kuasa membicarakan kes-kes sivil yang melibatkan jumlah wang yang tidak dituntut tidak melebihi seratus ribu ringgit. Mahkamah Majistret pula ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil. Dipengerusikan oleh seorang majistret yang dilantik oleh Raja atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri tempat majistret itu berkhidmat.

c. Mahkamah Majistret terbahagi kepada dua peringkat iaitu Mahkamah Majistret Kelas Satu dan Mahkamah Majistret Kelas Dua. Mahkamah Majistret Kelas Satu boleh membicarakan kes sivil yang nilai harta dalam perbicaraan tidak lebih daripada RM25,000. Dalam kes jenayah, mempunyai kuasa untuk membicarakan semua kes yang hukuman maksimum bagi kesalahan itu tidak melebihi 10 tahun penjara atau dihukum denda sahaja.

d. Majistret Kelas Dua menjalankan tugas-tugas kecil seperti menyebut kes-kes dan membenarkan jaminan. Boleh mengadili kes-kes jenayah yang hukuman bagi kesalahan itu tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja. Kuasa untuk menjatuhkan hukuman juga terhad iaitu tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada RM1000 atau kedua-dua sekali.

Kesimpulan
Secara amnya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963 adalah melalui proses demokrasi. Perlembagaan digubal untuk menjaga kepentingan dan keistimewaan semua kaum yang ada. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang boleh digunakan oleh kerajaan semuanya ditentukan oleh perlembagaan. Jelasnya, doktrin pengagihan kuasa tiga badan yang telah ditentukan seharusnya dipatuhi dan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana badan tersebut.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak

SOALAN NO 5: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Huraikan faktor-faktor pembentukan Gagasan Malaysia pada tahun 1963.

Pendahuluan (3/2 m)
Konsep Persekutuan Tanah Melayu pada mulanya dicadangkan oleh Lord Brassey, iaitu Pengarah Syarikat Borneo Utara British pada tahun 1887 yang merangkumi penyatuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo. Pada tahun 1947 Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara mencadangkan idea yang sama. Konsep negara berbentuk persekutuan semakin menarik perhatian apabila Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia dalam Perhimpunan Agong UMNO 25 Disember 1955. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tunku sekali lagi mencadangkan penubuhan Malaysia, iaitu pada 27 Mei 1961. Cadangan ini telah disambut baik oleh kerajaan British kerana tujuan penubuhan Gagasan Malaysia adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang kuat dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Isi (20 m)

Faktor-faktor Pembentukan Gagasan Malaysia

1. Perkembangan politik di Singapura.

a. Ancaman komunis merupakan masalah serius kepada negara. Masalah yang sama turut berlaku di Singapura. Pengaruh komunis meluas di Singapura pada tahun-tahun 1950-an. Fahaman komunis telah merebak ke sekolah-sekolah Cina dan kesatuan-kesatuan sekerja. Fahaman komunis telah menyerap masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada masa itu. Keadaan ini memberi tekanan politik yang kuat ke atas Lee Kuan Yew. Tunku bimbang sekiranya pengaruh komunis di Singapura tidak dibendung kemungkinan besar fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Kejayaan golongan komunis menguasai sebahagian ahli PAP telah membawa kepada penubuhan Parti Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. PAP akhirnya mengalami perpecahan sehingga mengalami kekalahan kepada Parti Sosialis dalam pilihan raya 1961 di kawasan Hong Lim dan Anson. Keadaan ini menguatkan alasan Singapura untuk menyertai Gagasan Malaysia.

b. Lee Kuan Yew cuba menghapuskan golongan kiri dalam PAP dengan menyingkirkan golongan tersebut dari PAP, namun pengaruh golongan kiri semakin berkembang. Keadaan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kemungkinan fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Ketidakmampuan Lee Kuan Yew membendung pengaruh komunis bukan sahaja membimbangkan Tunku tetapi juga membimbangkan Britain dan Amerika Syarikat. Oleh itu, kedua-dua negara itu menyokong gagasan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku.


2. Perkembangan politik di Sarawak.

a. Pengaruh komunis turut berkembang di Sarawak sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Pihak komunis telah menubuhkan Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut pada tahun 1947. Namun, pertubuhan itu diharamkan setahun kemudian apabila darurat diisytiharkan. Bagi menggantikannya sebuah pertubuhan sulit ditubuhkan iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak (SAYA). Pertubuhan ini telah menghasut orang-orang Cina terutamanya dalam kalangan pelajar dan petani. Kesatuan sekerja dan sekolah-sekolah Cina di luar bandar telah digunakan untuk menentang Inggeris. Antara propaganda yang dimainkan oleh pihak komunis ialah sistem pendidikan Inggeris dikatakan mengancam pendidikan Cina.

b. Pengaruh komunis semakin kuat apabila mereka berjaya menembusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Kerajan British telah melancarkan “operasi pisang” bagi membanteras komunis dalam SUPP tetapi gagal. Semua ini telah mendorong kepada pergabungan dalam Malaysia. Selain itu, pihak British bimbang dengan ancaman komunis dari Indnesia. Parti Komunis Indonesia (PKI) telah merebak ke wilayah-wilayah Borneo dan ini telah mengancam kepentingan dan kedudukan British di Sarawak. Kebimbangan semakin memuncak apabila pengaruh PKI mula merebak ke Brunei.

3. Mempercepatkan proses kemerdekaan

a. Penubuhan Malaysia telah mendorong mempercepatkan proses kemerdekaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Ini disebabkan negeri-negeri tersebut berada dalam satu sistem pentadbiran yang sama, iaitu British. Malahan negeri-negeri ini mempunyai hubungan politik dan ekonomi dengan Tanah Melayu semasa pentadbiran British. Oleh itu, Tanah Melayu, Singapura dan negeri-negeri Borneo akan mendapat faedah keseluruhnnya semasa pemerintahan British. Jika Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura memperoleh kemerdekaan secara berasingan sebelum tahun 1963, Tunku berpendapat negeri-negeri tersebut belum bersedia dari segi politik dan sebagainya.

b. Pada masa itu Sabah dan Sarawak mempunyai Majlis Eksekutif dan legislatif yang semuanya dilantik oleh gabenor. Brunei pula diperintah oleh seorang sultan. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan ketara antara pentadbiran negeri itu dengan negeri yang wujud di tanah jajahan British yang berjiran dengannya. Di Sarawak pilihan raya kerajaan tempatan telah diadakan pada tahun 1959 dan 1963, manakala di Borneo Utara pilihanraya pertama Lembaga Bandaran dan Majlis Daerah diadakan pada Disember 1962. Di Brunei pula pilihanraya Majlis Penasihat Negeri diadakan pada Ogos 1962.

c. Kerajaan British telah mencadangkan pemerintahan sendiri bagi wilayah-wilayah Borneo atau bercantum dengan Tanah Melayu. Tunku berpendapat melalui percantuman dengan Tanah Melayu rancangan komunis akan dapat digagalkan dan kemerdekaan negeri-negeri Borneo dapat dipercepatkan. Kerajaan British telah berjanji untuk memberi kemerdekaan dalam tempoh yang terdekat sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bersedia menyertai Persekutuan Malaysia.

4. Keseimbangan Kaum.

a. Kemasukan negeri-negeri Borneo dalam Malaysia juga untuk mewujudkan keseimbangan komposisi kaum. Tunku sedar bahawa kemasukan Singapura akan menimbulkan keadaan tidak seimbang dari segi pecahan kaum di Malaysia. Ini disebabkan lebih 75% penduduk Singapura adalah kaum Cina, sedangkan di Tanah Melayu, orang Melayu hanya 49% dan selebihnya orang Cina dan India. Keadaan ini akan menggugat kedudukan orang Melayu dalam jangka panjang. Orang Melayu berkemungkinan akan hilang kedudukan istimewa dan hak mereka akan dicabar oleh kaum Cina. Tunku berpendapat adalah perlu Sabah, Sarawak dan Brunei dimasukkan ke dalam penubuhan Malaysia.


5. Kerjasama Ekonomi antara wilayah

a. Sebelum penubuhan Malaysia kemajuan ekonomi antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura adalah tidak seimbang. Tanah Melayu, Singapura dan Brunei lebih berkembang pesat akibat ramai pelabur Eropah telah melabur di negeri-negeri berkenaan sedangkan ekonomi di Sabah dan Sarawak masih mundur. Contohnya hasil ekspot bijih timah dan getah telah menyumbang sumber pendapatan terbesar Tanah Melayu. Singapura telah berkembang pesat dalam kegiatan perdagangan. Brunei pula kaya dengan hasil minyak. Oleh itu, penubuhan Persekutuan Malaysia dijangka akan mewujudkan kerjasama dan kesimbangan ekonomi yang menguntungkan kepada negeri-negeri berkenaan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, pembentukan Gagasan Malaysia telah dapat menyekat perkembangan pengaruh komunis di Tanah Melayu, Singapura , Sabah dan Sarawak. Selain itu, pembentukan Gagasan Malaysia juga mempercepatkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Di samping itu, dapat membantu perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak

SOALAN NO 4: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Bincangkan perluasan kuasa Barat di Sabah dari tahun 1865 hingga 1888 dan di Sarawak dari tahun 1840 hingga 1905.

Pengenalan ( 2/3 M )
Perluasan kuasa asing di Sabah bermula dari tahun 1865 melibat beberapa individu mahupun syarikat perdagangan dan kemudiannya pihak British berjaya menguasai Sabah menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada 1881 dan seterusnya mengukuhkan kekuasaanya pada 1888 apabila Sabah menjadi negeri naungan British. Sementara itu perluasan kuasa Barat di Sarawak antara tahun 1840 hingga 1905 dilakukan oleh keluarga Brooke. Perluasan kuasa keluarga Brooke berlaku secara berperingkat-peringkat sehinggalah kewujudan Sarawak seperti yang ada sekarang ada 1905.

Isi ( 20 M )

A. Proses perluasan kuasa Barat di Sabah ( 10 M )

Perluasan pengaruh asing di Sabah melibatkan beberapa tokoh pedagang bermula apabila pada tahun 1865 seorang warga Amerika iaitu Claude Lee Moses mendapatkan dua konsesi pajakan beberapa kawasan di Sabah daripada Sultan Abdul Mu’min (Brunei) selama sepuluh tahun dan tempoh konsesinya boleh diperbaharui. Konsesi pajakan pertama meliputi kawasan dari Sungai Sulaman di pantai barat hingga Sungai Paitan di timur laut. Manakala kensesi pajakan kedua pula meliputi kawasan Benoni, Kimanis, Paitan, Sugut, Bongaya, Babuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan dan Muning.

Namun begitu bagi mendapatkan keuntangan segera, Moses telah menjual hak pajakannya kepada pedagang Amerika di Hong Kong diketuai oleh Joseph William Torrey dan Thomes B. Haris serta seorang pedagang Cina, Wo Hang. Torrey kemudian menubuhkan The American Trading Company untuk memajukan kawasan tersebut. Pemindahan milikan pajakan tersebut telah disahkan oleh Sultan Abdul Mu’min pada 24 November 1865. Sebagaimana Moses, Joseph Torrey juga gagal untuk mengaut keuntungan terhadap pajakan tersebut lalu menjual konsesinya kepada Gustavus Baron de Overback iaitu Konsul-Jeneral Austria di Hong Kong pada tahun 1875.

Disebabkan kekurangan modal, Overback telah menjalankan usahasama dengan syarikat British yang dimiliki oleh Dent Brothers pada tahun 1877. Kerjasama ini telah mencetuskan satu perjanjian baru antara Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min dengan Syarikat Overback dan Dent. Mereka berjaya memperbaharui pajakan sebagaimana yang telah diperolehi oleh Moses tetapi kali ini tanpa had tempoh pajakan. Sultan Abdul Mu’min turut bersetuju menyerahkan semua hak pertuanan dan kedaulatan ke atas kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Sabah kepada Overback dan Dent manakala Sultan Brunei pula telah memperolehi ganjaran $12,000 setahun.

Bagi mengatasi masalah pertindihan kuasa dengan Kesultanan Sulu kerana Sultan Sulu juga dikatakan mempunyai kuasa ke atas Sabah, Overback dengan diiringi oleh Pemangku Gabenor Labuan, Willian Hood Treacher telah menemui dan mengadakan rundingan dengan Sultan Sulu. Hasil rundingan tersebut mereka telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Sulu pada 22 Januari 1878 di Meimbong, selatan Kepulauan Sulu. Menurut perjanjian tersebut, Sultan Sulu iaitu Sultan Jamal Al-Alam bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan hak pertuanan meliputi kawasan dari Sungai Sibuku hingga Sungai Padasan kepada Syarikat Overback dan Dent.

Setelah gagal mendapatkan bantuan kewangan daripada pemodal dan kerajaan Austria, pada tahun 1880, Overback pula telah menjualkan hak miliknya kepada Alfred Dent menyebabkan Dent mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Sabah. Namun begitu Dent pula berhadapan dengan masalah untuk mentadbir Sabah akibat kekurangan modal. Walau bagaimanapun menerusi bantuan beberapa orang pedagang British akhirnya Dent telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Dent telah menjual saham syarikat untuk medapatkan modal di samping memohon untuk mendapatkan piagam diraja. Piagam ini sangat penting bagi meningkatkan nilai perdagangan syarikat serta mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan British serta dapat manghalang kuasa-kuasa Barat yang lain daripada bertapak di Sabah.

Pada 1 November 1881, kerajaan British telah memberikan piagam diraja dan nama syarikat telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Alfred Dent telah dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat yang manakala Willian Hood Treacher pula telah dilantik sebagai Gabenor British yang pertama di Sabah. Melalui pemberian piagam diraja, secara tidak langsung kerajaan British telah berjaya meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Sabah. Pada Mei 1888, penguasaan British di Sabah semakin kukuh apabila Sabah telah dijadikan negeri naungan British (British protectorate state) sebagaimana negeri Sarawak dan Brunei.

B. Proses perluasan kuasa Brooke di Sarawak ( 10 M )

Sepanjang abad ke-19, berlaku beberapa peringkat perluasan kuasa keluarga Brooke di Sarawak yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Brooke telah mendesak Sultan Brunei supaya melepaskan beberapa wilayah yang masih dimiliki baginda. Selepas selesai proses pengambilan wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1905, wujudlah negeri Sarawak seperti yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1846, James Brooke hanya berkuasa di wilayah Sarawak yang meliputi kawasan dari Tanjung Datu sehingga ke kawasan yang terletak di antara Sungai Samarahan dan Sungai Sadong. Wilayah-wilayah lain masih berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei.

James Brooke berusaha untuk memperluaskan lagi kawasannya di Sarawak. Pada Ogos 1853 Sultan Abdul Mu’min telah membuat perjanjian dengan James Brooke dan telah menyerahkan kawasan-kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas, Sungai Kerian dan Kalaka. Melalui perjanjian ini James Brooke bersetuju membayar $1,500 setahun kepada Sultan Brunei.

Perluasan kuasa Brooke berterusan di Sarawak apabila pada Ogos 1861, Sultan Abdul Mu’min yang didesak oleh Brooke terpaksa menyerahkan beberapa lagi kawasan. Sultan Brunei tersebut bersetuju menyerahkan kawasan-kawasan pinggir pantai di antara Sungai Rajang dengan Tanjung Kidurong. Dengan itu Brooke turut menguasai Mukah dan mendirikan kubu-kubu di Kanowit dan Sarikei.

Selepas kamatian James Brooke pada tahun 1868, pentadbiran Sarawak telah diambilalih oleh Charles Brooke. Beliau telah meneruskan usaha-usaha untuk memperluaskan wilayah Sarawak. Pada 1883, beliau telah mengambil wilayah dari Tanjung Kidurong hingga ke Baram. Penyerahan wilayah ini berlaku akibat kegagalan Sultan Brunei mengawal pemberontakan Orang Kayan. Dengan pemgambilan ini, kawasan-kawasan di bahagian pantai dari Tanjung Kidurong hingga ke Sungai Baram termasuk Similajau, Suai, Niah dan Sibuti jatuh ke bawah kekuasaan kerajaan Brooke.

Setelah penyerahan kawasan Sungai Baram kepada Sarawak, pergaduhan telah
berlaku di di kawasan Sungai Trusan. Akibatnya Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min
telah menyerahkan daerah Sungai Trusan kepada Brooke.

Penduduk Limbang di sempadan Brunei-Sarawak telah melakukan pemberontakan
terhadap kerajaan Brunei sejak 1884. Pemberontakan ini berpunca daripada kezaliman pembesar-pembesar Brunei yang memerintah daerah tersebut. Pada Mac 1890, ketua penduduk-penduduk di Limbang telah mengibarkan bendera kerajaan Sarawak untuk mendapatkan perlindungan. Pada Mac 1890, Charles Brooke telah mengambil daerah
Limbang untuk membantu para penduduk yang tertindas. Tindakan tersebut mendapat kebenaran pemerintah Kesultanan Brunei iaitu Sultan Hashim.

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak bertambah luas apabila berlakunya masalah sempadan di antara Sarawak dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ). Charles Brooke telah membeli daerah Lawas daripada SBBU pada 1905. Dengan pembelian Lawas, wujudlah negeri Sarawak seperti mana yang ada sekarang.

Kesimpulan ( 2/3 M)
Penghujung abad ke-19, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah kehilangan hak, kepentingan dan dan ketuanan di wilayah Sabah apabila British melalui SBBU berkuasa sepenuhnya terhadap wilayah tersebut pada 1888. SBBU telah memajukan Sabah demi kepentingan mereka dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan sosial tetapi pada hakikatnya pembaharuan tersebut tidak menguntungkan penduduk tempatan. Proses perluasan kuasa dan wilayah Sarawak telah dimulakan oleh James Brooke pada tahun 1841 dan telah dilenggapkan oleh anak saudaranya Charles Brooke pada 1905 melalui pembelian Lawas. Sarawak di bawah pentadbiran keluarga Brooke telah berkembang pesat dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

Disedikan oleh Azmi Bin Ahmad

SOALAN NO 3: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pendahuluan ( 3/2 m )

Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain. Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu

Isi - ( 20 markah )

i) Usaha H. N. Ridley

a) Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley Getah atau Ridley Gila”.

b) Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas. Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun 1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930 getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

ii) Kemerosotan harga kopi.

Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000 biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.

iii) Permintaan terhadap getah yang meningkat.

a) Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B. Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan 500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

b) Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali “Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam, paip air dan lain-lain.

c) Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope), Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400 tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

iv) Tenaga buruh yang murah

a) British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

b) Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908 sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah yang lebih besar.

v) Penyelidikan getah secara saintifik

a) Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926 kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.

vi) Galakan daripada Kerajaan

a) Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10 sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.
b) Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain. Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

vii) Penglibatan pelabur Eropah

a) Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan (2/3 m)

Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2007
JPN Perak

SOALAN NO 2: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2 STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010

Gerakan penentangan terhadap campur tangan British di Pahang dan Perak pada pertengahan abad ke-19 menggambarkan perasaan tidak puas hati masyarakat tempatan di negeri- negeri berkenaan. Bincangkan.

Pendahuluan ( 3/2 m)

Pada bulan Oktober 1887, Sultan Ahmad melantik Hugh Clifford sebagai wakil British di Pahang. Beliau kemudian diganti oleh J.P Rodger pada bulan Oktober 1888 sebagai Residen British di Pahang yang pertama. Selepas campur tangan di Pahang, British mula mengadakan perubahan dalam pertadbiran negeri dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru yang secara tidak langsung telah mengancam kedudukan para pembesar dan rakyatnya. Penentangan ini berkesudahan dengan kebangkitan Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Di Perak , mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Perak diletakkan di bawah naungan British. Residen pertama British di Perak ialah JWW Birch. Beliau memulakan tugas pada bulan November 1874 . Kehadirannya tidak disenangi oleh Sultan dan pembesar Melayu. Perasaan ini terus berkembang sehingga menimbulkan pakatan menentangnya. Kemuncak penentangan ialah pembunuhan Birch pada 2 November 1875.

Isi (20 m)

A. Pahang (10 m)

1. Perasaan tidak puashati sultan akibat kehilangan kuasa politik.

a. Pengenalan Sistem Residen di Pahang menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar kehilangan kuasa. Pihak British telah memperkenalkan perubahan politik di Pahang melalui undang-undang berkaitan dengan undang-undang tanah , sistem kerah dan penghapusan hamba abdi yang diluluskan oleh Majlis Negeri pada 31 Disember 1889. Sultan tidak berpuashati kerana baginda hanya mempunyai ‘nama’ sahaja dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Semua keputusan adalah dibuat oleh Residen JP Rodger. Selain itu, sultan juga murka apabila J.P Rodger memaksa sultan melantik putera sulung baginda Tengku Mahmud sebagai Pemangku Raja, atas alasan sultan tidak taat kepada Inggeris. Oleh sebab ugutan dan tekanan, sultan terpaksa mengisytiharkan perlantikan itu pada Julai 1889.

b. Sultan Ahmad mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembesar negeri. Jika para pembesar diarah untuk tidak memberi kerjasama sudah tentu ia akan menggagalkan perjalanan Sistem Residen di Pahang. British berjaya memujuk sultan Ahmad menandatangani satu perisytiharan untuk melantik putera baginda (Tengku Mahmud) atau Tengku Besar sebagai Pemangku Raja. Melalui perisytiharan yang bertarikh 22 Julai 1889, baginda memberi kuasa penuh kepada Tengku Mahmud untuk mewakili baginda dalam urusan pentadbiran negeri serta mengadakan rundingan dengan British.

c. Tindakan sultan menyerahkan kuasa kepada Tengku Mahmud merupakan satu kesilapan besar . Kuasa baginda telah berpindah kepada Tengku Mahmud yang dilihat mudah diperalat oleh Inggeris. Hubungan Sultan Ahmad menjadi tegang. Bagi meredakan keadaan, pada bulan Disember 1889 Sultan Ahmad membuat keputusan meninggalkan Pekan dan menetap di Pulau Tawar kerana daerah itu di bawah jagaan Tok Gajah, iaitu seorang pembesar negeri yang sangat dipercayai. Sultan berpakat dengan pembesar-pembesar untuk menentang Sistem Residen di Pahang.

2. Ketidakpuasan hati pembesar-pembesar Pahang

a. Antara perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran ialah dengan membahagikan Pahang kepada 6 buah daerah. Setiap satu diletakkan di bawah pentadbiran Majistret dan Pemungut Hasil. Pekan di bawah F. Belfield, Hulu Pahang (W.C Mitchell), Kuantan ( W.H Wall), Temerloh (E.A Wise), Rompin (G.F Owen), Kuala Pahang (W.W Mitchell). Akibat pengenalan beberapa peraturan baru terutama berhubung dengan perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua setiap daerah, para pembesar tidak lagi bebas kerana kuasa mereka telah diambil alih khususnya hak memungut cukai.

b. Pendapatan pembesar terjejas teruk, misalnya elaun yang dicadangkan pihak Inggeris amat tidak berpatutan. Pembesar-pembesar seperti Tok Gajah, Temenggung, Dato’ Shahbandar, Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Chenor, Tok Gajah, Orang Kaya Temerloh, Orang Kaya Semantan dan Abdullah dari Bera hanya dibayar elaun $1200 setahun dan Dato’ Bahaman dibayar $840 setahun. Pembesar-pembesar ini menulis surat enggan bekerjasama dengan Residen dan mengancam tidak akan mematuhi segala keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Negeri. Malangnya elaun ini tidak mencukupi untuk menanggung pengikut-pengikut mereka.

c. Inggeris juga campur tangan dalam soal perhambaan dan kerah yang diluluskan oleh mereka. Setiap pemilik hamba diwajibkan mendaftarkan hamba-hambanya kepada Pemungut Cukai Daerah dengan memberi maklumat secara terperinci seperti jumlah hamba dan nama hamba, jenis pekerjaan dan jumlah hutang. Mereka yang gagal mematuhi akan kehilangan hak ke atas hamba tersebut.

d. Mengenai undang-undang kerah setiap orang yang dikenakan kerah tidak boleh lebih daripada dua bulan dalam setahun. Mereka dihadkan kerja secara kerahan kepada kerja-kerja kerajaan sahaja. Antara kerja kerahan yang dilakukan ialah membersih sungai, membuat jalan, menebang kayu, menanam padi, mengangkat barang-barang, dan menemani ketua mereka dalam perjalanan. Setiap orang diwajibkan kecuali sakit atau munasabah. Sekiranya tiada alasan mereka dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak 25 sen sehari.

e. Perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua daerah telah menyebabkan mereka tidak lagi mengadili kes-kes jenayah dan sivil serta memungut cukai di kawasan masing-masing. Dato Bahaman menentang Inggeris kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun-elaun yang setanding dengan elaun Orang Berempat, iaitu sebanyak $500. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70. Tindakan ini menyinggung perasaannya. Beliau juga marah apabila Inggeris membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan yang di bawah jagaannya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Beliau menulis surat kepada Majistret di Temerloh tetapi tidak dilayan sebaliknya diberi amaran.

f. Seorang lagi pembesar yang hilang hak ke atas cukai ialah Tok Gajah. Beliau adalah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857- 1863) beliau dianugerahkan gelaran Orang Besar Raja. Beliau marah kepada Inggeris apabila rayuannya untuk menambah elaun ditolak oleh pihak Inggeris pada bulan Januari 1890. Permintaannya supaya menangguhkan pembayaran cukai tanah juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya Mat Kilau dalam penentangannya terhadap Inggeris.

3. Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

a. Pihak Inggeris memperkenalkan undang-undang baru yang menjejaskan penghidupan seharian mereka. Antaranya cukai tanah kampung, paya, dusun dan tanaman nipah pada kadar 40 sen seekar dikenakan ke atas tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah. Sistem permit dan lesen digunakan untuk membolehkan rakyat memungut hasil hutan dan pokok nipah untuk mendirikan rumah. Dahulu diperoleh secara percuma. Rakyat juga dikehendaki bekerja selama dua bulan dalam setahun sebagai buruh paksa bagi melaksanakan projek-projek awam. Sekatan yang tidak membenarkan rakyat tempatan membawa senjata seperti keris ke mana sahaja mereka pergi. Pihak yang dibenarkan membawa senjata hanyalah pengawal peribadi dan pengikut mereka yang terdekat.

b. Peraturan yang melarang membawa senjata ternyata bercanggah dengan tradisi orang Melayu yang sangat terikat dengan nilai-nilai feudalisme kerana senjata merupakan alat mutlak yang sangat diperlukan. Keris umpamanya, bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga menjadi pakaian dan simbol keberanian seorang lelaki Melayu Pahang.

c. Kebencian rakyat juga berpunca daripada kehadiran pasukan polis kaum Sikh dan India yang jahil tentang budaya Melayu. Penubuhan pasukan polis pada tahun 1888 telah menghapuskan kuasa penguatkuasa undang-undang yang dipegang oleh Sultan dan pembesar. Pasukan polis ini terdiri daripada 200 anggota, 150 Melayu (Kelantan dan Terengganu), 50 Sikh di bawah pimpinan Mr. Syers.

B. Perak (10 m)

1. Kelemahan Perjanjian Pangkor 1874

a. Walaupun perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch hanya memulakan tugasnya sebagai Residen British di Perak pada 4 November 1874, iaitu hampir 10 bulan kemudian. Kelewatan ini membolehkan pembesar-pembesar yang tidak berpuashati dengan Sistem Residen telah menentang Raja Abdullah. Sepanjang kelewatan Birch hadir memberi peluang kepada Sultan Abdullah memerintah Perak dengan sebebas-bebasnya. Baginda dikatakan banyak menghabiskan masa dengan berjudi, menyabung ayam dan menambahkan hutang. Perjanjian Pangkor membolehkan Sultan Abdullah dilantik menjadi sultan. Namun demikian, baginda masih gagal menyelesaikan masalah tuntutan takhta oleh Raja Ismail dan Raja Yusof. Raja Ismail masih tidak menyerahkan alat-alat kebesaran negeri yang menjadi syarat kepada pertabalan sultan.

b. Birch telah melanggar syarat yang diperuntukan dalam perjanjian Pangkor. Mengikut perjanjian tersebut sempadan Dinding dan Pangkor yang diserahkan kepada pihak British mengikut perjanjian Low akan dikembalikan semula. Tindakan yang sama juga diambil ke atas sempadan di Sungai Kerian. Walaupun begitu, dalam penyelesaian sempadan ini kawasan lebih kurang 200 batu persegi termasuk sebahagian Selama yang mempunyai banyak bijih timah dimasukkan ke dalam pentadbiran British. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar Perak.

2. Kelemahan Peribadi Birch

a. Perlantikan Birch sebagai Residen tidak disenangi oleh Sultan Abdullah dan para pembesar. Birch dianggap tidak sesuai kerana beliau tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Beliau tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami budaya dan adat resam Melayu. Kekurangan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjalin hubungan dengan sultan dan pembesar Melayu. Birch juga dilihat tidak sabar dan enggan bertolak ansur apabila berurusan dengan sultan dan pembesar. Ia bertentangan dengan adat Melayu yang menjunjung tinggi sultan dan pembesar sebagai pemimpin yang dihormati.

b. Birch juga tidak peka dengan perasaan orang Melayu. Pembaharuan yang dilakukan dibuat secara tergesa-gesa tanpa berunding dengan Sultan Abdullah. Sultan Abdullah pernah mengingatkan Birch supaya memberitahu baginda dahulu sebelum pembaharuan dibuat. Birch mengarahkan sultan Abdullah berdiam diri dan menurut segala nasihat yang diberi. Tindakan ini menyebabkan Sultan Abdullah mengutus wakil baginda, Raja Idris, Laksmana dan Muhammad Arshad untuk bertemu Sir Andrew Carke tetapi tidak dilayan malah Sultan Abdullah diminta mematuhi nasihat Residen. Dalam usaha melaksanakan pembaharuan Birch telah menggunakan tekanan kepada Sultan Abdullah. Beliau pernah mengugut akan menyerahkan jawatan sultan kepada Raja Yusof sekiranya sultan enggan menandatangani perisytiharan tersebut.

3. Pembaharuan-pembaharuan Birch.

a. Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Birch seperti pungutan cukai, sistem kewangan dan perlembagaan. Birch telah membatalkan pajakan Kuala Sungai Perak yang dibuat oleh Sultan Abdullah dengan Lee Cheng Tee dengan kadar $26,000 setahun, selama 10 tahun. Birch mengarahkan saudagar tersebut memohon semula pajakan berkenaan.

b. Birch juga telah membatalkan cukai bijih timah di Batang Padang yang sebelum ini dinikmati oleh sultan, dan diganti dengan bayaran royalti $9.00 bagi setiap bahara yang dipungut di Kuala Perak. Bagi mendapatkan wang kerajaan negeri telah memusatkan pungutan cukai dengan meletakkannya di bawah pegawai Eropah. Hanya pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen, sebagai wakil sultan dibenarkan mengutip cukai. Pembesar lain tidak lagi dibenarkan memungut cukai dan mereka yang engkar akan didenda. Arahan ini bercanggah dengan nilai-nilai yang diwarisi sejak turun temurun. Pembesar-pembesar Melayu telah dianugerahkan kawasan oleh sultan dan ini memberi kuasa untuk mentadbir dan memungut cukai di kawasan masing-masing. Cukai merupakan hasil utama pembesar. Misalnya Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor mendapat hasil daripada setiap perahu yang keluar masuk.

c. Dalam melaksanakan peraturan cukai baru ini, Birch bertindak keterlaluan iaitu, dengan membakar rumah Raja Ngah di Bidor kerana memungut cukai daripada pelombong Cina di situ. Raja Ngah adalah saudara kepada Raja Ismail. Sebelum ini, baginda bersifat berkecuali tetapi tindakan Birch ini telah menimbulkan dendam terhadap beliau.
d. Birch juga campur tangan dalam soal perhambaan yang diamalkan di Perak. Sistem ini menjadi kebanggaan para pembesar Perak sejak sekian lama. Kebanyakan hamba yang lari adalah wanita yang diberi perlindungan oleh Birch di rumah kediamannya di Bandar Bahru. Hamba-hamba ini tiada dikembalikan kepada tuan punya sehingga menimbulkan syak wasangka tentang moral Birch. Beliau juga dikatakan menyeludup seorang perempuan Melayu ke Pulau Pangkor. Tuntutan Sultan Abdullah terhadap hamba-hamba ini dikembalikan tidak dilayan oleh Birch.

e. Penubuhan balai-balai polis di Kuala Kurau, Bruas, Kota Setia, Durian Sebatang, Tanjung Piandang, Bidor, Kuala Kangsar, Trong dan Lumut telah menyebabkan pegawai polis mengambilalih kuasa pentadbiran di peringkat tempatan. Jawatan penghulu yang dilantik oleh Sultan dan pembesar dengan menggunakan sistem warisan telah terjejas.

f. Birch juga telah menyusun semula cukai-cukai pajak candu, arak, judi, permit balak, cukai perahu, senjata, padi dan memotong atap. Cukai-cukai turut dikenakan ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu nelayan yang boleh membawa 3 orang di dalamnya dikenakan cukai 50 sen. Perahu dagang dan tongkang dikenakan $1.00. Sesiapa yang melanggar arahan akan didenda $25.00 dan perahu mereka akan dirampas.


Kesimpulan (2/3 m)

Perasaan tidak puas hati ini mencapai kemuncak pada Oktober 1875 apabila satu mesyuarat diadakan di Pasir Panjang yang dihadiri oleh Dato Maharaja Lela, Dato Sagor dan Syahbandar. Dalam mesyuarat itu mereka bersetuju untuk membunuh Birch. Peristiwa ini berlaku pada 2 November 1875. Peristiwa ini telah membawa kepada peristiwa Perang Perak yang belaku pada November 1875 dan berlanjutan hingga 1876. Sementara di Pahang, kebangkitan menentang British memakan masa yang panjang. Ia berlarutan dari tahun 1891 hingga 1895. Walaupun British berjaya mematahkan penentangan ini, namun ia memberi kesan terhadap pentadbiran, terutama kedudukan kewangan Pahang. Masalah kewangan menyebabkan mereka menyertai Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.

Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM 2008
JPN Perak