Selasa, 11 Jun 2013

Bentuk dan pelaksanaan Adat Perpatih dan Adat Temenggung di Tanah Melayu

Masyarakat Melayu tradisional amat terikat dengan adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan secara turun temurun sehingga ianya merupakan hukum yang dipatuhi oleh semua. Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat ini tidak pernah ditulis tetapi dihafal sahaja oleh Ketua Adat. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu tradisional. 

Kawasan dan Pengasasan              
Kedua-dua adat ini berasal dari Utara Sumatera. Menurut Terombo atau "Lagu asal usul adat", Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera, diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, menjaga kawasan pesisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 lagi. Diamalkan oleh semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.  Adat Perpatih pula berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat ini dibawa oleh orang Minangkabau ke negeri Sembilan pada kurun ke-17.

Bentuk dan Pelaksanaan
Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali di negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu; adat ini mempunyai pengaruh agama Hindu terutama dalam Undang-undang Manu. Apabila Islam berkembang, adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mengikut mazhab Shafie. Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama yang berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenal sebagai Undang-undang Johor, di Kedah sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang, dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.  Adat Temenggung dihafal dan diingati serta dilaksana oleh Tok Sidang, Penghulu atau Penggawa.

Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak yang dipatuhi dari mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.

Kekeluargaan 
Adat Temenggung bersifat patriarchal, iaitu kaum lelaki lebih diutamakan.  Ini adalah kerana kaum lelaki dianggap melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga.  Dalam Adat Temenggung, kaum lelakilah yang menjadi ketua keluarga. Jadi, nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa.

Adat Perpatih bersifat matriarchal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat. Hanya kaum wanita yang mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Ini bermakna mereka mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Anak perempuan menjadi asas wujudnya suku.  Suku bermaksud keluarga, oleh itu hidup secara bersuku-suku bermaksud hidup secara berkeluarga dan semua ahli-ahli suku dianggap sebagai saudara .  Susunan keluarga masayarakat adat Perpatih berdasarkan 'matrilineal' yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga  sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. 

Perkahwinan               
Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja kecuali dengan orang yang mempunyai pertalian darah atau muhrim sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

Adat perpatih pula tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Oleh itu perkahwinan mestilah dengan suku yang berbeza - disebut eksogami. Perkahwinan sesama suku tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan. Apabila seseorang anak perempuan kahwin, suaminya digelar 'orang semenda'. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa suaminya tinggal  di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. 

Pemerintahan        
Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan  pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat diraja bergelar yang berhak, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu, dan pembesar wilayah atau jajahan. Di lapisan bawah ialah ketua kampung yang mentadbir kampung. Sultan merupakan ketua negara, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat. Seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung. Gelaran pengganti raja ialah Raja Muda. Jika tiada anak lelaki , hakpewarisan takhta jatuh kepada adik lelakinya pula. Jika kedua-dua tiada, barulah musyawarah dan permuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran.

Dari segi pentadbiran, Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah terletak bukan pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas. Orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih  dan melantik Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan. Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip permuafakatan. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Walaupun dari segi bidang kuasa, Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi, namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut dibuat oleh para pembesar yang berada pada hierarki yang lebih ke bawah daripada Yamtuan Besar.

Pembahagian Harta           
Mengikut Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam. Pemberian harta lebih kepada anak lelaki kerana dalam Islam, lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan perempuan. Jika berlaku perceraian, lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak, dan jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja, berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Harta asal suami atau isteri  dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Undang-undang mewarisi harta dalam Adat Perpatih diberatkan kepada kaum perempuan. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuannya. Dalam keadaan tertentu, adat Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan diwariskan kepada adik perempuannya atau anak adik-adiknya dan cucu-cucunya.

Pada umumnya harta pasangan dapat dikumpulkan kepada tiga jenis iaitu ; Harta carian - merupakan harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup, Harta dibahagi dua apabila bercerai;  Harta dapatan - harta sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin, jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri; dan Harta pembawaan - harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia berkahwin, jika bercerai bekas isteri tidak boleh tuntut harta itu.

Pelaksanaan Undang-undang      
Adat Temenggung bentuk hukumannya keras dan bertujuan menghukum dan berpegang kepada prinsip pembalasan.  Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas, bertujuan memberi iktibar kepada orang lain. Secara umumnya adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana difikirkan dapat memberi kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Hukuman yang paling berat ialah membunuh dan menderhaka kepada raja. Dari segi kuasa, kesemua pembesar termasuk sultan dan penghulu mendapat mandat dalam melaksanakan hukuman.

Dalam adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi gantirugi. Contohnya seseorang yang cedera akan diberi gantirugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya. Mangsa kecurian boleh mendapat balik barang-barangnya. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukum bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Undang atau Yamtuan Besar sahaja. Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Kesimpulannya, walaupun Adat Perpatih dan AT menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu, tetapi kedua-dua adat ini telah dapat mengawal tingkah laku masyarakat. Malangnya selepas campur tangan British adat semakin diketepikan dan tidak mustahil adat akan hanya menjadi kenangan dalam lipatan sejarah.