Jumaat, 11 Disember 2009

KULIAH 5 SEJARAH 940/2: TG6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 5 [11 Disember 2009]:
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEMUNCULAN GERAKAN NASIONALISME MELAYU DARI TAHUN 1900 HINGGA PERANG DUNIA KEDUA.

DISEDIAKAN OLEH:
AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:
1. Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Shah Alam, 2006. Muka surat: 389-426
2. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 164-172
3. Kementerian Pelajaran Malaysia, Sejarah Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998. Muka surat: 67-80. Dll
4. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800-1963), Pelangi, Bangi, 2005. Muka surat: 126-136.
5. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 227-238.
6. K. Ratnam, Teks Suplemen Sejarah 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Pustaka Sarjana, Subang Jaya, 2006. Muka surat: 148-152
7. Skema jawapan Peperiksaan Percubaan Sejarah 2 STPM 2009 negeri Terengganu dan Perlis.


Pengenalan
Nasionalisme ataupun kesedaran kebangsaan telah berkembang di Tanah Melayu secara beransur-ansur melalui tiga tahap iaitu tahap agama, sosioekonomi dan politik. Kemunculan gerakan ini pada awal dan pertengahan abad ke-20 akibat daripada beberapa faktor. Faktor-faktor ini pula boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan faktor luaran. Gerakan nasioalisme awal di Tanah Melayu dipengaruhi oleh Gerakan Reformasi Islam yang giat berlaku pada penghujung abad ke-19 di Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Turki.

FAKTOR-FAKTOR LUAR NEGERI:
Pengaruh Gerakan Reformasi Islam di Timur Tengah

Gerakan ini dipelopori oleh Syeikh Mohd Abduh dan Syed Jamaluddin bermatlamat memperjuangkan konsep Pan¬Islamisme iaitu membebaskan umat Islam daripada kepercayaan karut dan kolot serta memulihkan Islam mengikut ajaran Islam yang terkandung dalam AI-Quran dan Hadis, mencapai kemajuan dalam ekonomi dan membebaskan orang Islam daripada penjajahan Barat.

Perang Rusia-Jepun 1904-05
Kemenangan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1904-05 telah memberi ilham dan galakan kepada orang Asia termasuk orang Melayu untuk mencabar kuasa penjajah Barat. Kemunculan Jepun yang telah meniru teknologi Barat membuktikan bahawa orang Asia juga bijak dan berkebolehan.

Pengaruh dari Indonesia
Perjuangan nasionalisme Indonesia menentang penjajahan Belanda 1920-an dan 1930-an turut mempengaruhi perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu. Hubungan yang sangat rapat antara penduduk Indonesia dan Tanah Melayu dapat dilihat dari aspek persamaan bahasa, budaya, adat dan pertalian darah. Kejayaan PNI membebaskan Indonesia daripada cengkaman Belanda telah mempengaruhi pejuang-pejuang di Tanah Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British.

Revolusi China 1911
Kejayaan Dr. Sun Yat Sen dalam melancarkan Revolusi tahun 1911 untuk menjatuhkan Dinasti Manchu dan mengembalikan kedaulatan China dengan menamatkan hak konsesi yang diperolehi oleh negara-negara Barat dari negara China turut mempengaruhi perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu.

Perkembangan nasionalisme di India dan Filipina
Perkembangan nasionalisme di India dan Filipina turut mempengaruhi kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Perjuangan nasionalisme di India yang dipelopori oleh Mahatma Gandhi dan Jose Rizal di Filipina pula telah menyedarkan golongan nasionais di Tanah Melayu . Kegigihan mereka menentang penjajah iaitu British di India dan Sepanyol di Flipina untuk mencapai kemerdekaan menjadi inspirasi kepada nasionalis Melayu untuk menamatkan penjajahan British di Tanah Melayu.


FAKTOR-FAKTOR DALAM NEGERI:
Agama

Menuntut masyarakat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar berdasarkan Al Quran dan hadis.Di antara mereka yang giat ialah Syed Sheikh Al-Hadi,Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abas bin Mohd Taha. Kaum Muda mendakwa kemunduran orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial adalah kerana tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.Mereka berpendapat orang Melayu telah mencampuradukkan agama Islam dengan adat resam dan kepercayaan lama sehingga bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka menggesa orang Melayu kembali kepada ajaran Islam sebenar dan membebaskan bangsa dan negara dari belenggu penjajahan.Pandangan dan pendapat Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua

Bahasa dan Kesusasteraan
Bahasa dan kesusasteraan menjadi penghubung kepada masyarakat.Tulisan yang dimuatkan dalam akhbar,majalah,dan novel memberi semangat kesedaran dalam bidang sosial dan politik.Tulisan dimuatkan dalam akhbar al-Imam, al-Ikhwan, Seruan Azhar, Saudara, Lidah Benar, Suara Benar, Panduan, Semangat Islam, Idaran Zaman, Neracha, dan Utusan Melayu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Novel Hikayat Faridah Hanum menggesa memberi kebebasan dan pendidikan kepada kaum wanita.Iakah Salmah oleh Abdul Rashid Talu pula menyuarakan tentang emansipasi wanita.Cerpen Pergaulan Hidup di dunia oleh Shamsuddin Salleh mengkritik sistem pemerintahan Inggeris yang menjadikan raja-raja Melayu sebagai boneka dan menyeru agar maruah bangsa dikembalikan. Puisi-puisi oleh Harun Aminurrashid seperti Mesti Ingat, Semenanjung Tenaga Kaumku, Seloka Harapan, Rayuan Bangsaku dan Perwira Melayu cuba menyedarkan orang Melayu supaya bangun dan berusaha mengejar kemajuan dan kekayaan ekonomi dan bersatu padu mencapai kejayaan.

Kewartawanan
Mereka yang menulis dalam pelbagai penerbitan memberi kesedaran sama ada sosial dan politik kepada masyarakat pembaca atau yang menerima maklumat.Penerbitan akhbar dan majalah membuka minda orang Melayu agar memperjuangkan hak-hak mereka dalam pelbagai bidang. Antara akhbar dan majalah yang membincangkan politik orang Melayu Majlis, Saudara, Warta Malaya, Idaran Zaman, Lembaga Malaya, Utusan Melayu, Majalah Guru dan Warta Negara. Majlis merupakan akhbar kebangsaan pertama memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran dan mendesak orang Melayu agar bergiat cergas dalam pergerakan politik. Abdul Rahim Kajai seorang wartawan Melayu yang terkenal pernah menjadi Ketua Pengarang Majlis yang pertama. Golongan wartawan telah memberi pendapat,menyebarkan idea-idea nasionalisme dan menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan mengukuhkan semangat nasionalisma masing-masing.Antara tokoh-tokoh wartawan yang aktif termasuklah Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Pendidikan
Penubuhan sekolah telah menyebabkan ramai yang boleh membaca dan merasai kegelisahan yang disuarakan oleh akhbar.pada tahun 1920 terdapat kira-kira 757 buah sekolah Melayu di Tanah Melayu dan ada sekolah Inggeris,Arab dan pondok. Pada tahun 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan di Tanjung Malim,Perak. Kemudian lahir golongan rakyat yang menjadi pemimpin,mengambil alih beberapa peranan yang sebelum ini dipegang oleh golongan bangsawan. Muncul lepasan sekolah Melayu, Arab dan Inggeris yang mana ramai di antara mereka menjadi pendidik.Kegiatan mereka ini melahirkan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor, Persatuan Guru-guru Melayu Melaka dan Persatuan Guru-guru Melayu Negeri Sembilan.Seterusnya lahir Majalah Guru yang kandungannya banyak menanam semangat mencapai kemajuan ekonomi dan sosial di kalangan masyarakat Melayu.

Golongan Intelektual
Perkembangan pendidikan melahirkan golongan intelektual yang seterusnya bergiat dalam penulisan dan pertubuhan menanam semangat kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu.Misalnya Kaum Tua dan Kaum Muda,masing-masing berperanan memberi pengetahuan kepada masyarakat. Juga peranan yang dimainkan oleh Kadir Adabi di Kelantan yang membawa kepada penubuhan Kelab Putera ( 1929 ) dan Setiawan Belia ( 1931 ).Tengku Ahmad,Persatuan Melayu Pahang,Tengku Ismail,Persatuan Melayu Selangor.Golongan intelektual Melayu menonjolkan isu tentang kesedaran orang Melayu untuk memperbaiki taraf hidup mereka setanding dengan bangsa lain.

Kesimpulan:
Gabungan pelbagai faktor telah menimbulkan kesedaran sosial dan politik yang membuktikan menjelang Perang Dunia Kedua telah wujud kesedaran kebangsaan di kalangan orang-orang Melayu. Melalui pendidikan, penduduk terdedah kepada idea dan pandangan baru. Pengaruh kebangkitan Islam di Timur Tengah dan negara-negara Asia lain turut menyumbang kepada kesedaran sosial di kalangan masyarakat tempatan dan seterusnya lahirlah nasionalisme Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Latihan
Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi gerakan nasionalisme Melayu sehingga Perang Dunia Kedua.