Rabu, 2 Disember 2009

KULIAH 4 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 4 [ 2 DISEMBER 2009 ]:

BINCANGKAN SEBAB-SEBAB KEJATUHAN HARGA GETAH DAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASINYA SEHINGGA PERTENGAHAN ABAD KE-20.


BAHAN BACAAN / RUJUKAN:

1. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 147-149
2. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800-1963), Pelangi, Bangi, 2005. Muka surat: 107.
3. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 218-221.


Pendahuluan
Penanaman getah bermula di Semenanjung Tanah Melayu akibat kejatuhan harga kopi pada tahun 1809. Permintaan terhadap getah amat tinggi apabila penciptaan tayar vulkanis tahun 1885 dan tayar berangin tahun 1889 membolehkan pengeluaran basikal dan motorsikal dihasilkan secara besar-besaran. Galakan H.N Ridley, selaku Pengarah Taman Bunga Singapura membolehkan tanaman getah di Semenanjung Tanah Melayu berkembang sehingga menjadi 1 juta ekar menjelang tahun 1911. Namun demikian, harga getah mengalami kejatuhan mendadak pada tahun 1920 akibat kemelesetan ekonomi dunia . Pada tahun 1930-an harga getah turun lagi dengan mendadak kesan kemelesetan ekonomi dan kesan Perang Dunia Pertama.


Faktor-faktor kejatuhan harga getah 1920an

Permintaan getah dari Amerika Syarikat berkurangan.
Perusahaan getah mengalami kesukaran kerana permintaan ke atas komoditi ini berkait rapat dengan perusahaan membuat motokar dan kemerosotan ekonomi negara yang menghasilkan jentera berkenaan. Amerika Syarikat yang menggunakan kira-kira 77% pengeluaran getah dunia mula mengurangkan permintaan getah. Ini disebabkan Amerika Syarikat masih menumpukan perhatian terhadap pengeluaran alat-alat kelengkapan perang . Walaupun Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah tamat, tetapi kelengkapan perang masih diperlukan kerana keadaan dunia masih belum aman.

Kos pengeluaran meningkat
Pengeluaran getah di Malaysia tidak berhenti walaupun permintaan semakin berkurangan. Perkara ini disebabkan pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mula mengeluarkan hasil. Apabila peperangan tamat pengeluaran getah menjadi terlalu banyak. Harga getah menjunam jatuh dari paras $ 5.50 sepaun kepada 80 sen sepaun kerana penawaran yang terlalu banyak, sedangkan kos pengeluarannya tetap tinggi antara 40 sen hingga 50 sen sepaun.


Faktor-faktor kejatuhan harga getah tahun 1930an

Kemelesetan ekonomi dunia
Zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku lagi pada tahun 1930an. Pasaran lembab , pesanan berkurangan dan kejatuhan harga berlaku terhadap perusahaan getah.Ia berlaku kesan daripada Perang Dunia Pertama. Kemelesetan ini telah menyebabkan negara-negara pengguna telah mengurangkan permintaan. Pengeluaran getah terus bertambah dan simpanan menjadi bertimbun. Akibatnya harga getah merudum jatuh kepada 7 sen sepaun pada tahun 1932.Nilai terendah yang pernah dicatat ialah 5 sen sepaun.

Kurangnya permintaan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat mengeluarkan 90% daripada jumlah pengeluaran kereta dunia pada tahun 1930-an serta menggunakan 75% hingga 80% daripada pengeluaran getah dunia. Pengeluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit akibat kemelesetan ekonomi yang menyebabkan permintaan kereta turut merosot. Oleh itu, permintaan tayar turut menurun kepada 4 juta unit dalam tahun 1932 berbanding 77 juta unit pada tahun 1928.Keadaan ini amat membimbangkan negara-negara pengeluar khususnya kerajaan British di Tanah Melayu . Negara-negara pengeluar seperti Tanah Melayu, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-China, Sri Lanka dan India yang mengeluarkan 98.7% keluaran getah dunia pada tahun 1934 telah berusaha mengatasi masalah ini.


Langkah-langkah mengatasinya tahun 1920-an hingga tahun 1930-an

Rancangan Sekatan Stevenson 1922 hingga 1928
Pada tahun 1921 Jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan untuk mengkaji langkah-langkah bagi mengatasi kemerosotan harga getah, Hasilnya, Rancangan Sekatan Stevenson ditubuhkan. Antara rancangannya ialah mengawal harga getah dan mengehadkan pengeluarannya. Kerajaan Tanah Melayu bersetuju mengurangkan pengeluaran getah daripada 50% kepada 35%. Langkah ini berjaya meningkatkan sedikit harga getah kepada $ 2.00 sepaun pada tahun 1922. Sabah dan Sarawak juga menyertai rancangan ini atas kehendak sendiri. Mereka diberi kuota tertentu untuk mengeluarkan getah. Sabah misalnya diberi kuota pengeluaran sebanyak 60% berdasarkan pengeluaran tahun 1920. Kemudian dinaikkan kepada 75% apabila terdapat bantahan. Rancangan ini tidak begitu berjaya kerana Belanda di Indonesia enggan menyertainya. Mereka mengambil kesempatan dengan menambah pengeluarannya pada masa ini dari 25% pada tahun 1922 kepada 40% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1928. Pada tahun 1928 harga getah jatuh lagi kerana lambakan bekalan di pasaran antarabangsa. Harganya jatuh semula kepada 35 sen hingga 40 sen sepaun pada tahun 1928.


Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa tahun 1934-1943
Tujuan utama rancangan ini ialah mengurangkan pengeluaran dan mengawal harga getah. Antara langkah-langkah yang diambil ialah dengan menetapkan kuota eksport bagi setiap negara anggota. Tanah Melayu tidak terkecuali apabila kerajaan British telah mengenakan kuota penanaman kepada pengusaha ladang supaya mengeluarkan 60% sementara pekebun kecil mengeluarkan 40%. Sabah dan Sarawak pula menyertai rancangan ini secara sukarela. Kuota pengeluaran getah oleh Sarawak ditetapkan kepada 24 000 tan pada tahun 1934 dan bertambah pada tahun 1938 kepada 32 000 tan. Selain kuota pengeluaran ditentukan, bilangan hari yang dibenarkan untuk menoreh getah juga dihadkan. Sistem kupon diperkenalkan bagi mengehadkan jumlah getah yang boleh dijual oleh pekebun kecil.


Kesimpulan
Kemelesetan harga getah telah menimbulkan kesan-kesan sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Pengangguran berleluasa kerana ladang-ladang besar ditutup atau mengurangkan bilangan pekerja daripada 258 000 pada tahun 1929 menjadi 145 000 pada tahun 1942. Ramai pekerja dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Namun demikian, pihak Inggeris memperkenalkan tanaman lain bagi menggantikan tanaman getah seperti kelapa sawit. Terdapat 64 000 ekar kelapa sawit ditanam pada tahun 1933.