Rabu, 16 Disember 2009

KULIAH 7 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 7 [16 Disember 2009]:
KESAN-KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU
(Dipetik daripada Skema Jawapan Pecutan Bestari A Sejarah 2 STPM, JPN Perak, SET A 2009)

DIHANTAR OLEH:
AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:
1. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 194-198.
2. K. Ratnam, Teks Suplemen STPM Sejarah Kertas 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Pustaka Sarjana, Subang Jaya, 2006. Muka surat 175-178.
3. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 279-287.


Pendahuluan

Jepun telah menawan seluruh Tanah Melayu pada 15 Febuari 1942. Kemusnahan dua buah kapal perang British iaitu H.M.S Repulse dan Prince Of Wales dengan penggunaan tentera ‘Kamikaze’ ( Berani Mati ), telah melemahkan semangat tentera British. Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah secara rasmi kepada Jepun. Maka bermulalah zaman pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Walaupun tempoh masa pendudukan Jepun singkat sahaja iaitu tiga tahun lapan bulan, namun pendudukan Jepun meninggalkan kesan yang sangat penting kepada penduduk tempatan baik dari aspek politik, sosial dan ekonomi.

Isi:
Kesan-kesan sosial

Pihak Jepun telah menjalankan dasar layanan yang berbeza terhadap kaum-kaum di Tanah Melayu. Semua kaum Melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran dan ketakutan . Orang Cina menderita akibat kezaliman tentera-tentera Jepun. Ramai orang Cina telah melarikan diri ke pinggir-pinggir hutan untuk mengelakkan penyeksaan askar-askar Jepun. Mereka menanam makanan dan menternak ayam itik. Ini telah mewujudkan masyarakat setinggan di Tanah Melayu.

Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai di antara mereka juga dihantar ke Siam untuk membina Jalan Keretapi Maut. Akibatnya ramai orang Melayu, India dan Cina telah terkorban dalam pembinaan tersebut akibat seksaan dan wabak penyakit. Merosotnya taraf kesihatan telah menyababkan merebaknya penyakit-penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria. Ubat-ubat yang dibawa oleh Jepun hanya dikhaskan untuk askar-askar Jepun sahaja.

Perbezaan layanan kaum ini telah mewujudkan permusuhan kaum khususnya di antara Melayu dan Cina. Contohnya pihak Jepun telah menggunakan orang Melayu yang menyertai pasukan tentera dan polis Jepun untuk mengesan orang Cina yang anti-Jepun. Ini menimbulkan rasa curiga dan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina setelah Jepun menyerah kalah.

Sistem pendidikan Inggeris juga turut ditukar kepada sistem pendidikan Jepun. Bahasa Jepun iaitu ‘Nippon-go’ diwajibkan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah dan juga sebagai lingua franca di seluruh negara. Sistem pendidikan Jepun menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin, taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun. Kebudayaan Jepun disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar adat istiadat dan lagu kebangsaan Jepun, iaitu ‘Kamigayo’.


Kesan-kesan politik:
Nasionalisme orang Melayu

Pendudukan Jepun telah menamatkan tradisi kepercayaan bahawa kuasa-kuasa Barat merupakan kuasa yang tidak boleh dikalahkan. Ini telah menyemarakkan lagi kebangkitan dan kesedaran kebangsaan di kalangan penduduk Tanah Melayu.

Langkah pertama pendudukan Jepun yang membangkitkan perasaan nasionalisme di kalangan orang Melayu ialah dengan membebaskan ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah dipenjarakan oleh Inggeris dan memulihkan kembali KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob.

KMM kemudiannya telah diharamkan oleh Jepun pada tahun 1942 apabila disyaki mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA. Jepun telah menubuhkan PETA ( Pembela Tanah Air ) bagi menarik perhatian orang-orang Melayu. Anggotanya terdiri daripada bekas pegawai KMM. Ibrahim Yaacob dilantik sebagai Leftenan Kolonel. PETA juga telah mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA dan tentera Wataniah.

Di saat-saat Jepun menyedari kekalahannya, Jepun menolong kaum Melayu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Bulan Julai 1945. KRIS dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Walaupun orang Melayu tidak berjaya mencapai kemerdekaan di bawah Jepun, namun semangat nasionalisme telah berjaya menarik orang Melayu untuk bersatu terutamanya dalam menentang Malayan Union.

Nasionalisme orang India
Perhatian kaum India telah dialihkan kepada pembebasan India dari penindasan penjajahan Inggeris. Orang India telah menubuhkan Liga Pembebasan India di bawah pimpinan Subhas Chandra Bose. Beliau juga telah menubuhkan Tentera Nasional India (INA) untuk membantu Liga Pembebasan India. Kedua-dua pertubuhan ini telah menguasai keadaan politik orang India di Tanah Melayu. Orang-orang India telah dikerah menyertai Tentera Nasional India.

Orang India digalakkan supaya memberikan bantuan kewangan dan harta untuk menyokong gerakan pembebasan India daripada penjajahan Inggeris. Subhas Chandra Bose yang dalam buangan telah mendirikan sebuah kerajaan yang bergelar ‘Azad Hind’ di Singapura. Ia telah menyahut slogan “Chalo Delhi” (Mara ke Delhi). Penggunaan slogan ini menaikkan lagi semangat nasionalisme dikalangan orang India. Bagaimanapun kekuatan INA dan Liga Pembebasan India telah merosot apabila Jepun menyerah kalah.

Nasionalisme orang Cina
Permusuhan antara orang Jepun dan Cina telah bermula sejak Jepun telah menawan China pada tahun 1937. Apabila Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada bulan Febuari 1942, ramai orang cina telah dibunuh.

Tindakan ini telah menyebabkan orang Cina merasakan pihak Jepun mengamalkan dasar diskriminasi. Keadaan ini mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu. Contohnya tindakan ini merupakan titik permulaan permusuhan antara orang Cina dan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya (PKM) telah menggunakan sentimen anti Jepun untuk memperoleh sokongan orang Cina untuk menentang Jepun di Tanah Melayu. PKM telah menubuhkan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dianggap sebagai gerakan mewakili semua bangsa di Tanah Melayu. MPAJA telah diberikan latihan oleh Sekolah Latihan Khas 101 di bawah pimpinan Kolonel Spencer Chapman serta dibekalkan senjata, ubat-ubatan, maklumat dan bahan makanan oleh tentera Berikat melalui ‘Force 136’ yang berpusat di Sri Langka.

MPAJA mengadakan hubungan sulit dengan PETA dan melancarkan perang gerila terhadap pihak Jepun. Jepun telah mengambil langkah untuk menarik minat orang Cina berfahaman sederhana yang kebanyakannya tinggal di bandar untuk bekerjasama dengan pemerintahan Jepun.

Pihak Jepun telah menubuhkan beberapa kelab seperti Epposho bagi masyarakat Cina di Pulau Pinang pada tahun 1944. Ramai orang Cina dilantik di dalam Majlis Penasihat di peringkat bandar dan negeri mulai tahun 1943.

Langkah-langkah Jepun untuk menentang golongan Cina yang anti-Jepun iaitu dengan menggunakan pasukan polis dan tentera Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Cina terhadap orang Melayu. Perasaan ini kemudiannya telah menimbulkan unsur perkauman dalam persengketaan Cina-Melayu.

Kesan-kesan ekonomi
Dasar ‘bumi hangus’ yang diamalkan oleh British sebelum berundur dari Tanah Malayu ke Singapura telah menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot kerana banyak kemudahan awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh tentera British. Begitu juga dengan perusahaan bijih timah dan getah turut merosot kerana kemusnahan alat-alat melombong seperti kapal korek dan alat-alat memproses getah.

Akibat peperangan, perdagangan Tanah Melayu dengan pasaran-pasaran luar telah terputus. Perdagangan Singapura dan Pulau Pinang telah merosot kerana Tanah Melayu tidak dapat mengeksport dan mengimport sebarang bahan.

Jepun mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan memaksa rakyat menanam tanam-tanaman makanan seperti ubi kayu, keledek dan keladi untuk mengatasi masalah kekurangan makanan.

Perusahaan-perusahaan tempatan didirikan untuk menghasilkan barang-barang gantian seperti minyak masakan, sabun, gula, tayar, kertas, tali dan benang. Perusahaan-perusahaan penting diambil alih oleh syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.

Percetakan mata wang ‘pokok pisang’ yang tidak terkawal serta kekurangan bahan-bahan pengguna menyebabkan keadaan inflasi dengan harga-harga barang melambung tinggi dan nilai matawang Jepun menjunam jatuh.

Kesimpulan
Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu detik penting dalam sejarah tanah air kerana telah banyak mendatangkan kesan positif dan negatif. Pengunduran Jepun dari Tanah Melayu pada September 1945 adalah disebabkan pengeboman dua bandar penting di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki. Selepas pendudukan Jepun, Inggeris telah memperkenalkan pentadbiran Malayan Union di Tanah Melayu tetapi telah mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu eshingga memaksa Inggeris memansuhkannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kebangkitan orang-orang Melayu menentang Malayan Union merupakan kesan daripada pendudukan Jepun di Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua sehingga melahirkan semangat nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu.