Khamis, 24 Mei 2012

KERJA KURSUS SEJARAH PMR 2012

Contoh Elemen 3

BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA
Bagaimanakah slogan di atas dapat menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara kita?

‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ merupakan kempen yang bertujuan meningkatkan permintaan dalam negara terhadap barangan tempatan dan merangsang ekonomi negara di samping menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

      Pengguna hendaklah  mengubah sikap dan tanggapan terhadap barangan tempatan. Kita tidak boleh menafikan ramai rakyat Malaysia yang cenderung untuk membeli barangan import. Jika sikap ini berterusan, kempen yang dijalankan kerajaan tidak akan membuahkan hasil.  Pelbagai  produk tempatan telah dihasilkan malah mampu menandingi produk luar negara dan kita seharusnya berasa bangga dan bersyukur sebagai warganegara Malaysia.

      Dengan membeli barangan tempatan, kita bukan sekadar menyokong industri tempatan malah membantu mengurangkan pengaliran wang negara keluar. Membeli dan menggunakan barangan tempatan adalah tindakan awal yang perlu kita ambil untuk bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara. Masyarakat peniaga perlu memainkan peranan untuk menjayakan kempen ini. Peniaga perlu memiliki semangat cintakan bangsa dan negara dengan bertindak memperluaskan pemasaran produk tempatan.  Kesemua ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial para peniaga. 

      Media turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan kempen ini.  Media perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat untuk menyokong kempen ‘Belilah  Barangan Buatan Malaysia’. Sebagai rakyat Malaysia, kita  wajar berganding bahu membangunkan negara di samping menyahut inspirasi dan halatuju kempen ini hingga mencapai matlamat yang diharapkan.  Negara kita sudah mampu berdikari dalam usaha memenuhi keperluan dan kehendak pendudukya dan sudah tiba masanya kita tidak lagi mengagungkan barangan luar tetapi berbangga dengan produk tempatan.