Ahad, 11 Disember 2011

CUTI-CUTI BELAJAR SMK SULTAN YUSSUF [ TG 6RK1, 6RK3 & 6RK4 ] 2011

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 5

Mengapakah gerakan penentangan terhadap Malayan Union lebih berjaya berbanding dengan Gerakan Anti Penyerahan di Sarawak


Pengenalan

Malayan Union (MU) diisytiharkan secara rasmi pada 1 April 1946 yang bertujuan untuk menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu sistem pemerintahan berpusat yang diketuai oleh Gabenor. Gerakan anti penyerahan di Sawarak pula timbul apabila Charles Vyner Brooke mengambil keputusan menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British selepas Sarawak mengalami kemusnahan akibat pendudukan Jepun. Kedua-dua dasar ini telah menimbulkan tentangan daripada penduduk tempatan. Penentangan terhadap Malayan Union berjaya mencapai matlamatnya apabila MU diganti dengan Persekutuan 1948. Penentangan Gerakan Anti Penyerahan di Sarawak gagal mencapai matlamatnya apabila Sarawak secara rasminya diserahkan kepada kerajaan British pada 15 Julai 1946.

Isi

i. Kepimpinan

Ø Kejayaan MU banyak dipengaruhi oleh faktor kepimpinan. Kepimpinan Dato Onn berjaya menggerakkan penyatuan orang Melayu dan mengorganisasikan penentangan terhadap gagasan MU secara berkesan. Dato’ Onn berjaya menyatukan semua orang Melayu atau pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh negara yang sebelum ini bersifat kenegerian.

Ø Di Sarawak tidak ada pemimpin yang berwibawa untuk menggerakkan penentangan yang berkesan terhadap penyerahan Sarawak. Keadaan ini berlaku selepas kematian Datu Patinggi Abang Hj Abdillah.

ii. Sokongan Penduduk

Ø Penentangan terhadap MU mendapat sokongan menyeluruh daripada penduduk di Tanah Melayu. Hampir seluruh bandar utama di Tanah Melayu mengadakan tunjuk perasaan membantah MU.

Ø Di Sarawak tidak wujud sokongan yang meluas daripada penduduk Sarawak. Golongan yang menyokong Gerakan Anti Penyerahan terdiri daripada golongan terpelajar yang berada di kawasan bandar. Penduduk yang berada di luar bandar tidak bangkit menentang kerana mereka tidak mempunyai kesedaran politik.

iii. Pertubuhan Politik

Ø Di Tanah Melayu diwujudkan sebuah pertubuhan Melayu hasil Kongres Melayu. Pertubuhan yang ditubuhkan di istana Johor iaitu UMNO berjaya menyatukan orang Melayu dan menjadi wadah kepada orang Melayu untuk menentang MU.

Ø Di Sarawak wujud beberapa pertubuhan yang menentang Gerakan Anti Penyerahan seperti Persatuan Melayu Sarawak, Pesatuan Dayak Sarawak dan lain-lain namun mereka gagal membentuk sebuah pertubuhan politik yang lebih besar seperti UMNO.

iv. Sokongan luar

Ø Penentangan terhadap MU mendapat sokongan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Cecil Clementi Smith, Frank Swettenham, George Maxwell, Richard Winstedt, Ronald Bradell. Mereka ini membantah pelaksanaan MU di Tanah Melayu dan mengkritik dasar British itu melalui akhbar ‘The Times’ di London. Peranan bekas pegawai British ini juga penting dalam mempengaruhi dasar British itu di Tanah Melayu.

Ø Di Sarawak tidak wujud sokongan seperti itu dalam penentangan penduduk tempatan terhadap gerakan penentangan terhadap British.

v. Peranan Akhbar

Ø Peranan akhbar cukup penting dalam menjayakan penentangan terhadap MU. Antara akhbar yang memainkan peranan penting ialah Majlis di Kuala Lumpur, Warta Negara di Pulau Pinang dan Utusan Melayu di Singapura. Akhbar-akhbar ini berjaya memainkan peranan membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang bahaya MU dan nasib yang akan menimpa orang Melayu jika MU dilaksanakan.

Ø Keadaan seperti ini tidak wujud di Sarawak.

vi. Tindakan British.

Ø Tindakan British di Sarawak berjaya melemahkan Gerakan Anti Penyerahan. Antara tindakan-tindakan British ialah melaga-lagakan sesama kaum pribumi iaitu antara orang Melayu dengan Iban. British juga mengeluarkan Pekeliling No.9 yang menghalang kakitangan kerajan daripada terlibat dengan gerakan anti penyerahan dan menukarkan tempat kerja pemimpin Gerakan Anti Penyerahan. Tindakan-tindakan British ini telah berjaya melemahkan Gerakan Anti Penyerahan. British juga mengambil tindakan yang keras ke atas Ahli Rukun 13 yang melancarkan penentangan yang agresif terhadap British.

Ø Keadaan seperti di Sarawak tidak berlaku di Tanah Melayu

Kesimpulan

Kejayaan penentangan terhadap MU terbukti apabila kerajaan British mengumumkan Persekutuan 1948 bagi menggantikan MU. Kejayaan menggantikan MU dengan Persekutuan dianggap satu kemenangan kepada orang Melayu. Sebaliknya Sarawak terus diserahkan kepada British dan ditadbir oleh British sehinggalah kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Sarawak apabila Sarawak bersetuju menyertai Malaysia pada tahun 1963.