Isnin, 30 Ogos 2010

Bincangkan kesan-kesan pelaksanaan Sistem Residen ke atas Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 hingga tahun 1896.

DIPETIK DAN DIUBAH SUAI DARIPADA CONTOH JAWAPAN SEJARAH 2 UNTUK PERKAMPUNGAN SEJARAH STPM NEGERI PERAK TAHUN 2008 (PROGRAM GALUS)

Pengenalan

Campur tangan British secara rasmi bermula di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Ini diikuti dengan perluasan pengaruh dan pelantikan Residen British di Selangor (1874), Sungai Ujong (1874), Pahang (1888), dan Negeri Sembilan (1896). Pada teorinya, setiap Residen mempunyai tugas menasihati Sultan dalam urusan pentadbiran, memulihkan keamanan, memajukan ekonomi negeri, dan memperkenalkan sistem pungutan cukai. Namun pada hakikatnya, terdapat pelbagai kelemahan dan masalah dalam pelaksanaan sistem Residen. Ini kerana Residen sering melampaui bidang tugasnya.

Isi:

A. Kesan negatif atau kelemahan Sistem Residen

I. Sultan kehilangan kuasa

Residen dilantik sebagai penasihat Sultan dalam urusan pentadbiran. Sultan terpaksa akur dengan arahan Residen. Kuasa Sultan terbatas dalam hal agama Islam dan adat istiadat Melayu

II. Ketidakseragaman pentadbiran

Tidak terdapat keseragaman pentadbiran antara Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Tidak terdapat satu panduan yang jelas untuk diikuti oleh Residen dalam menjalankan tugasnya. Setiap Residen mentadbir dan sering bertindak mengikut budi bicara sendiri. Sistem Residen di Perak ditentang kerana J.W.W Birch jahil dan mencampuri adat resam Melayu. Sebaliknya sistem Residen di Selangor dianggap berjaya kerana Hugh Low dan Frank Swettenham memahami adat resam Melayu.

III. Tiada pengawasan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat

Residen sering lambat mengambil tindakan terhadap masalah pentadbiran. Tiada pemantauan terhadap tugas Residen oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Jarak kediaman Gabenor yang jauh di Singapura yang jauh memberi peluang kepada Residen berkuasa sepenuhnya.

IV Mencampuri urusan adat resam tempatan

Residen melantik Pegawai Pemungut Cukai dan Majistret. Mengambil alih kuasa memungut cukai daripada pembesar Melayu dan menimbulkan kemarahan pembesar Melayu kerana kehilangan punca pendapatan dan pengaruh. Amalan hamba abdi juga dihapuskan dan tindakan ini sukar diterima oleh pembesar. Dato’ Maharaja Lela di Perak, Dato’ Bahaman di Pahang, dan Dato’ Kelana di Sungai Ujong bangun menentang Residen

V Jurang sosioekonomi antara kaum

Tumpuan ekonomi British ialah terhadap kawasan perlombongan bijih timah dan telah
nengabaikan kemajuan di kampung yang didiami orang Melayu. Orang Melayu juga tidak mendapat peluang dalam bidang pendidikan.

VI Eksploitasi ekonomi oleh golongan pemodal Eropah dan Cina

Kawasan perlombongan bijih timah baru telah dibuka dengan pesat terutama di Lembah Kinta. Kemasukan pemodal British dan Cina akhirnya mendominasi sektor perlombongan dan hasil pengeluaran bijih timah meningkat kepaa lebih 15,000 tan pada tahun 1890.

VII Pertambahan penduduk dan pembukaan bandar baru

Perkembangan ekonomi menyebabkan British membawa masuk imigran Cina dan India bagi mengisi keperluan tenaga buruh dan sebagai golongan pemodal dan telah menyebabkan pertambahan bilangan penduduk di Tanah Melayu. Keadaan Ini diikuti dengan pembukaan bandar-bandar baru di kawasan perlombongan dan getah misalnya Taiping, Kamunting, Kuala Kangsar, dan Kuala Lumpur. British juga mengamalkan dasar pengasingan kaum di mana orang Melayu masih kekal di kawasan luar bandar atau kampung , orang Cina di bandar baru dan kawasan perlombongan manakala orang India di kawasan ladang getah.


B. Kesan positif Sistem Residen

I. mewujudkan keadaan aman

Menamatkan perebutan takhta di kalangan pewaris tahta sepeti di Perak. Begitu juga dengan perebutan kawasan dan kuasa di kalangan pembesar Melayu serta pergaduhan antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Kegiatan lanun di Selat Melaka juga dapat dikurangkan.

Keadaan turut menjadi aman melalui pelaksanaan undang-undang. Lebih banyak pasukan polis ditubuhkan, misalnya Kapten Speedy telah menambah anggota polis kepada 2,500 orang untuk mengembalikan keamanan daerah Larut. Mahkamah didirikan di Negeri-negeri Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang mengamalkan Hukum Kanun Jenayah India.


II. Memperkenalkan Majlis Mesyuarat Negeri

Majlis Melayu ditubuhkan oleh William Jervois, ditukar kepada Majlis Mesyuarat Negeri (1877) dengan dianggotai oleh Sultan (Presiden MN), residen, pembesar Melayu dan wakil pedagang Cina.

Peranan MMN termasuklah membincangkan soal pembahagian hasil dan perbelanjaan negeri, tugas-tugas perundangan dan kehakiman , sebagai Mahkamah Rayuan dan menjatuhkan hukuman mati serta melakukan pelantikan pembesar Melayu dan menguruskan hal ehwal agama Islam.

III. Perkembangan sistem pengangkutan

Landasan keretapi pertama Taiping- Port Weld (1885) telah dibina. Pembinaan landasan keretapi bertujuan menghubungkan kawasan perlombongan bijih timah dengan pelabuhan eksport. Jalan raya turut dibina bagi menghubungkan pusat perlombongan bijih timah dengan bandar-bandar baru.

IV. Peningkatan hasil pendapatan negeri

Perkembangan ekonomi meningkatkan hasil pendapatan Negeri-negeri Melayu kepada lebih $2.2 juta (1885). Hasil eksport meningkat kepada $9.6 juta (1885).


V. Penghapusan sistem hamba abdi secara menyeluruh

Residen telah menghapuskan amalan perhambaan secara beransur-ansur terutamanya di negeri Perak.


Kesimpulan

Pelaksanaan sistem Residen di Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mendatangkan banyak kesan positif dan negatif. Bagaimanapun, kehilangan kuasa Sultan dalam pentadbiran negeri dan pelbagai kelemahan lain dalam pelaksanaan sistem Residen akhirnya mendorong British untuk melakukan pemusatan pentadbiran melalui penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.