Selasa, 27 Oktober 2009

SEJARAH 2 STPM: CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

Pengenalan:

1. Huraikan perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19.

Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Diasaskan oleh Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang. Adat ini diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan sempadan Melaka. Adat Temenggung pula diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan,juga berasal dari Sumatera. Di Tanah Melayu adat ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan. Kedua-dua adat ini diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19. Namun begitu terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua adat ini.

2. Bandingkan pemodenan Siam semasa pemerintahan Raja Chulalongkorn
(1868 – 1910) dengan pemodenan Jepun semasa pemerintahan Maharaja Meiji (1868 – 1912).


Raja Chulalongkorn menaiki takhta kerajaan Siam pada tahun 1869 menggantikan ayahandanya Raja Mongkut dan meninggal dunia pada tahun 1910. Manakala Maharaja Meiji menaiki takhta kerajaan Jepun pada tahun 1867 ketika berusia 15 tahun dan memerintah Jepun sehingga tahun 1912. Kedua-dua pemerintahan ini telah berjaya melaksanakan proses pemodenan di negara mereka dalam pelbagai aspek dan mencapai kejayaan yang hebat.

3. Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

1. [ Pengkelasan masyarakat atau system feudal telah diamalkan di Vietnam dan Thailand sebelum kedatangan Barat di kedua-dua negara tersebut ]. 2. [ Sistem feudal merupakan satu bentuk susun lapis masyarakat atau hierarki yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah] . 3. [ Namun begitu perluasan kuasa Barat telah memberikan impak yang besar terhadap struktur masyarakat feudal di Vietnam mahupun di Thailand ].

4. Bincangkan sebab-sebab kejatuhan harga getah di Tanah melayu dan langkah-langkah mengatasinya sehingga pertengahan abad ke-20.

Terdapat pelbagai sebab yang membawa kepada kejatuhan harga getah dunia termasuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Getah mula ditanam di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan berkembang pesat pada awal abad ke-20. Kejatuhan harga getah berpunca daripada pengeluaran yang berlebihan dan kesan kemelesetan ekonomi dunia. Bagi mengatasi kejatuhan harga getah, beberapa langkah telah diambil termasuklah melaksanakan sekatan pengeluaran.



Huraian Isi:

1. Jelaskan sebab-sebab penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896

Antara faktor yang mendorong pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) 1896 ialah masalah kewangan Pahang. Menurut Prof Khoo Kay Kim dan K.G.Tregonning, masalah kewangan Pahang merupakan sebab utama yang membawa kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang Januari 1892, Pahang berhutang dari Negeri-negeri Selat sebanyak $ 610,000. Untuk tahun tersebut Pahang perlu meminjam lagi sebanyak $175,000. Pahang mempunyai sumber hasil yang terhad. Pendapatn Pahang tidak mampu menampong kos mentadbir. Pemberontakan Pahang (1891 – 1895) memburukkan lagi kedudukan kewangan Pahang. Kerajaan Negeri-negeri Selat enggan memberi pinjaman kepada Pahang kerana mereka juga menghadapi masalah kewangan. [ STPM 2002: NO. 3 ]

2. Huraikan kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China sebelum kedatangan Barat

Penanaman padi merupakan kegiatan penting di India kerana padi merupakan makanan utama. Terdapat dua bentuk penanaman padi di India iaitu padi sawah dan padi huma.
Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya terutama sekali di lembah Sungai Ganga, Indus dan Mahanadi. Aktiviti ini bergantung kepada air hujan.
Wilayah Benggal di timur laut India menjadi kawasan utama penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Ganga, Sungai Damodar Sungai Yamona dan Sungai Indus. Penanaman padi sawah juga ditanam di seluruh benua India. Kawasan-kawasan lain termasuklah di lembah Sungai Godavari dan Sg. Krishna di bahagian tengan India.
Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan dan berbukit terutamanya di kawasan pedalaman India.

Begitu juga di China, kegiatan inipenting kerana padi merupakan makanan utama penduduk China. Dua bentuk penanaman padi yang dijalankan di China ialah padi sawah dan padi huma. Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya serta dataran subur terutama sekali di lembah-lembah sungai . Kawasan penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Hwang He di China Utara, Sungai Chang Jiang di China Tengah dan Sungai Xi Jiang di China Selatan. Penanaman padi sawah juga dilakukan hampir di seluruh benua China. Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan pedalaman dan berbukit terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman China.


Kesimpulan:

1. Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

Kesimpulannya, perluasan kuasa Barat di Vietnam dan Thailand telah membawa kesan negatif terhadap struktur masyarakat feudal di kedua-dua buah negara. Perancis yang berjaya menguasai Vietnam telah menghapuskan sistem feudal. Di Thailand pula akibat desakan dan tekanan British, sistem feudal telah mengalami pengubahsuaian atau perubahan yang pesat selaras dengan proses pemodenan Thailand.

2. Bandingkan peranan Jose Rizal di Filipina (1872-1896) dan Sukarno di Indonesia (1927-1945) dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing.

Sebagai rumusan, ternyata Jose Rizal dan Sukarno merupakan tokoh-tokoh penting dalam gerakan nasionalisme di Filipina dan Indonesia. Sukarno telah berjaya dalam perjuangannya apabila berjaya memerdekakan Indonesia. Namun begitu, perjuangan Jose Rizal tidak kesampaian apabila beliau telah dihukum mati oleh pihak Sepanyol di Filipina.

3. Huraikan kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China sebelum kedatangan Barat

Dapatlah dirumuskan bahawa kegiatan ekonomi tradisional atau sara diri merupakan kegiatan yang penting di India dan China sebelum kedatangan Barat. Kedatangan Barat telah merubah keadaan di India dn China yang mana terdapat beberapa sektor ekonomi tradisional telah berkembang menjadi ekonomi komersil. Namun begitu faedah yang dinikmati oleh penduduk India dan China hasil perubahan tersebut sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial amat terhad. Pihak Barat mendapat keuntungan yang besar tetapi petani-petani di India dan China kekal dalam kemiskinan.


Disediakan oleh
AZMI B. AHMAD
SMK Sultan Yussuf
Batu Gajah