Jumaat, 6 September 2013

Terangkan susun lapis masyarakat di Tanah Melayu pada abad ke-19.

Pendahuluan
Secara umumnya masyarakat Melayu tradisional merupakan sebuah masyarakat feudal dan bercorak hierarki yang dapat dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja atau sultan, pembesar dan ulama. Manakala golongan yang diperintah pula terdiri daripada rakyat biasa yang merdeheka dan hamba. Wujud hubungan timbal balas anatara golongan pemerintah dan golongan diperintah.
   
A.  GOLONGAN PEMERINTAH
Terdiri daripada raja, sultan atau yang dipertuan, keluarga dan kaum kerabat diraja, pembesar negeri termasuk kaum bangsawan, ulama, pendita dan penghulu.

Raja/ Sultan/ Yang dipertuan Basar
Raja atau sultan ialah pemerintah tertinggi dalam pentadbiran negeri.  Baginda dibantu oleh kaum kerabat dan para pembesar.  Baginda memiliki kuasa dan kewibawaan dalam menjalankan pentadbiran dan pemerintahannya di seluruh negeri.  Baginda adalah simbol perpaduan negeri.  Mempunyai kuasa mutlak terhadap rakyat jelata dan mesti dihormati.  Segala perintahnya mesti dipatuhi.  Rakyat yang engkar dianggap menderhaka dan akan mendapat balasan buruk atau dikenakan hukuman yang amat berat.  Konsep daulat digunakan untuk menjadikan seseorang sultan lebih mulia dan dianggap mempunyai kuasa dan kewibawaan yang mutlak. Jawatan raja/ sultan adalah diwarisi oleh anak lelaki baginda daripada permaisuri yang sah ( anak gahara).

Keluarga dan kerabat diraja
Kedudukan kedua selepas raja ialah golongan anak raja dan kerabat diraja yang terdiri daripada mereka yang berketurunan raja, bergelar raja atau tengku.  Anak raja tidak semestinya putera atau puteri raja yang memerintah kerana mereka juga boleh terdiri daripada keturunan kerabat diraja.
Bilangan anak raja tidak ramai, tetapi mereka mempunyai kuasa tertentu apabila diberi sesuatu tugas rasmi negeri.  Ada juga putera raja yang dilantik menjadi pembesar daerah.  Anak raja menikmati keistimewaan seperti yang dimiliki oleh raja tetapi tidak boleh mengatasi keistimewaan raja sebagai ketua pemerintah.

Golongan bangsawan dan pembesar
Terdiri daripada para pembesar atau kaum kerabat yang amat berpengaruh dalam pemerintahan dan pentadbiran.  Kebiasaannya mereka menjadi pentadbir iaitu membantu raja dalam pentadbiran negeri.  Mereka juga menjadi penasihat atau pembesar di daerah-daerah tertentu.  Pembesar dilantik oleh raja melalui pemberian surat tauliah.  Pemilihan pembesar ditentukan oleh zuriat keturunannya.  Kebiasaannya anak lelaki, sanak saudara sebelah bapa kepada pembesar yang terdahulu. Pembesar diberi hak mentadbir sesuatu daerah dengan kekuatan sendiri tanpa sokongan sultan.  Ia akan bertindak seperti seorang raja di dalam daerahnya sendiri.

Golongan ulama dan pendeta
Golongan ulama dan pendeta ialah golongan yang dianggap cerdik pandai pada masa itu.  Mereka menjadi sumber rujukan dalam perkara-perkara tertentu. Golongan ulama adalah golongan yang pakar dalam bidang agama.  Mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dan sangat berpengaruh dalam masyarakat.  Golongan ulama terdiri daripada mereka yang berketurunan Arab Melayu.  Mereka menggunakan gelaran seperti maulana, makhdum, dan kadi.  Mereka diberi gelaran kebesaran seperti maharaja kadi, dato’ mufti seri utama dan imam maharaja.  Golongan ulama berperanan menyebarkan agama Islam.  Mereka juga dilantik menjadi guru, ketua agama, kadi dan penasihat kepada sultan dan kerajaan dalam terutamanya tentang hukum syarak dan mengeluarkan fatwa agama.  Mereka juga menjadi imam, khatib dan juru nikah.   Golongan pendeta pula ialah orang yang menpunyai kepakaran dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja.  Mereka menjadi pakar rujuk kepada raja dan golongan istana disamping menjadi penulis dan perawi diraja.

Penghulu
Penghulu ialah ketua pentadbir di peringkat kampung yang dilantik dari kalangan rakyat biasa.  Mereka menjadi orang perantaraan diantara rakyat biasa dengan pembesar.  Penghulu mempunyai pengaruh dan memiliki kuasa penuh ke atas anak-anak buahnya.  Antara bidang tugas penghulu ialah menyelesaikan sebarang pertikaian dikalangan anak buah, memelihara keamanan kampung dan mentadbir kampung serta menjadi lambang perpaduan kampung.  Jawatan penghulu tidak dibayar gaji tetap tetapi pendapatannya diperolehi daripada cukai perdagangan dan bayaran hasil sebahagian pendapatan yang diterima daripada anak-anak buahnya.

B.  GOLONGAN DIPERINTAH

Rakyat biasa / orang merdeka
Rakyat biasa yang bermastautin tetap dan menjadi pengikut setia kepada pembesar yang mentadbir daerah dan jajahan. Ketaatan kepada sultan ialah mutlak dan tidak berbelah bagi. Mereka rela dengan amalan sistem serah seperti bekerja di tanah pembesar tanpa mendapat upah dan sistem kerah seperti menjadi bala tentera dan mendirikan istana.  Dalam bidang ekonomi mereka menjalankan kegiatan bertani, berdagang, menangkap ikan, melombong dan menjadi tukang mahir. Tiada dorongan perubahan diri untuk bekerja keras dalam bidang ini kecuali kerja-kerja demi kepentingan raja.  Rakyat biasa sesebuah kampung sesalu mempunyai pertalian kekeluargaan dan mengamalkan tradisi hidup secara bergotong-royong, bekerjasama dan bermuafakat.    Amalan ini mewujudkan keharmonian dan membantu pembesar mentadbir sesebuah daerah atau kampung itu dengan lebih teratur dan berjaya.
  
Orang Asing
Merupakan orang bukan Melayu dan datang ke Tanah Melayu hanya untuk tujuan  tertentu. Tinggal sementara sahaja dan akan pulang ke negara asal setelah urusan mereka  selesai.  Terdiri daripada pedagang, perantau, santeri ( orang merantau kerana menuntut ilmu ) dan mubaligh.  Melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sosial seperti menjadi tentera upahan dan kebanyakan mereka berasal daripada Jawa dan Pasai.  Melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti peniaga runcit, pemborong dan pelombong.    Masyarakat Tamil Islam merupakan kumpulan yang paling ramai dan mereka hidup bebas dan bergaul dengan penduduk peribumi. Rakyat asing ini tidak diwajibkan mengamal dan mematuhi tradisi kebudayaan tempatan. Walaupun demikian mereka masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan  tempatan.  

Hamba
Golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah sekali.  Mereka menjadi hamba kepada para pembesar dan orang kaya dengan melakukan pelbagai tugas seperti mencuci perahu, memetik kelapa, mencari kayu api dan menjadi askar.  Hamba boleh dibahagi kepada tiga jenis iaitu hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi/ biasa.
  
i.  Hamba raja ( biduanda )
Mereka berasal dari golongan orang merdeka.  Dikenali juga sebagai budak raja dan bergelar biduanda.  Mereka dimiliki oleh raja dan mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding dengan hamba-hamba yang lain.  Hamba raja dan keturunannya akan menjadi hamba secara turun temurun dan hanya akan dibebaskan jika mendapat kerelaan raja.

ii.  Hamba abdi/ biasa
Hamba abdi/ biasa adalah terdiri daripada mereka yang berasal dari keturunan hamba.  Mereka diperolehi daripada pembelian atau pertukaran oleh tuannya.  Golongan hamba ini akan menjadi hamba seumur hidup secara turun temurun.  Hamba abdi boleh dibahagi kepada beberapa jenis iaitu hamba tawanan, hamba diranggah, hamba habsyi, hamba hulur, hamba serah dan anak hamba.

iii.  Hamba berhutang
Hamba berhutang  berasal daripada orang yang merdeka.  Mereka terpaksa menjadi hamba kerana gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam tempoh yang ditetapkan.  Isteri dan anak-anaknya juga dikehendaki tinggal dengan si pemiutang sebagai hamba tebusan.  Hamba berhutang akan mengerjakan segala suruhan tuannya termasuk bercucuk tanam, melombong dan membuat kerja-kerja rumah. Hamba berhutang boleh dibahagi kepada beberapa jenis iaitu orang berhutang, anak emas, hamba waris dan hamba bayar.

Kesimpulan
Struktur sosial masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa susun lapis masyarakat yang dapat digolongkan kepada golongan pemerintah dan diperintah.  Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung jawab masing-masing di dalam masyarakat.  Setelah kedatangan Barat,  struktur masyarakat Melayu telah berubah di mana peranan golongan pemerintah semakin berkurangan dan sistem hamba telah dihapuskan.