Ahad, 22 November 2009

KULIAH 1 SEJARAH 940/2 : TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 1 [23 November 2009]:
PERLUASAN KUASA BROOKE DI SARAWAK DARI TAHUN 1841-1910

DISEDIAKAN OLEH:
AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:

1. Jayaudin Mahaudin, Sejarah Malaysia STPM, Eastwiew, Seri Kembangan, 1999. Muka surat: 63-73
2. Kementerian Pelajaran Malaysia, Sejarah Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998. Muka surat: 49-51.



Pengenalan
Perluasan kuasa Brooke di Sarawak dilakukan oleh James Brooke dan Charles Brooke dengan mengambil wilayah-wilayah milik Kesultanan Brunei. Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin telah melantik Pangeran Mahkota sebagai wakil pemerintahan Brunei di Sarawak. Tempoh antara 1837-1839, telah berlaku penentangan terhadap pentadbiran Brunei di Sarawak yang mana penentangan ini diketuai oleh Datu Patinggi Ali. Sultan Brunei telah menghantar Pangeran Muda Hashim untuk memulihkan keamanan di Sarawak tetapi gagal dan beliau telah meminta bantuan James Brooke dengan janji menjadikan James Brooke sebagai Rajah Sarawak jika Berjaya memulihkan keamanan Sarawak.

Pada 24 Julai 1841, Pangeran Muda Hashim telah mengisytiharkan James Brooke sebagai Rajah Sarawak bertaraf gabenor tetapi kawasannya terhad di antara Tanjung Datu sehingga ke Sungai Sadong. Akibat tekanan daripada James Brooke, pada 1842 Sultan Brunei telah mengiktiraf James Brooke sebagai pemerintah Sarawak yang sah..

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak
Sepanjang abad ke-19, berlaku beberapa peringkat perluasan kuasa keluarga Brooke di Sarawak yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Brooke telah mendesak Sultan Brunei supaya melepaskan beberapa wilayah yang masih dimiliki baginda. Selepas selesai proses pengambilan wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1905, wujudlah negeri Sarawak seperti yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1846, James Brooke hanya berkuasa di wilayah Sarawak yang meliputi kawasan dari Tanjung Datu sehingga ke kawasan yang terletak di antara Sungai Samarahan dan Sungai Sadong. Wilayah-wilayah lain masih berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei.

James Brooke berusaha untuk memperluaskan lagi kawasannya di Sarawak. Pada Ogos 1853 Sultan Abdul Mu’min telah membuat perjanjian dengan James Brooke dan telah menyerahkan kawasan-kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas, Sungai Kerian dan Kalaka. Melalui perjanjian ini James Brooke bersetuju membayar $1,500 setahun kepada Sultan Brunei.

Perluasan kuasa Brooke berterusan di Sarawak apabila pada Ogos 1861, Sultan Abdul Mu’min yang didesak oleh Brooke terpaksa menyerahkan beberapa lagi kawasan. Sultan Brunei tersebut bersetuju menyerahkan kawasan-kawasan pinggir pantai di antara Sungai Rajang dengan Tanjung Kidurong. Dengan itu Brooke turut menguasai Mukah dan mendirikan kubu-kubu di Kanowit dan Sarikei.

Selepas kamatian James Brooke pada tahun 1868, pentadbiran Sarawak telah diambilalih oleh Charles Brooke. Beliau telah meneruskan usaha-usaha untuk memperluaskan wilayah Sarawak. Pada 1883, beliau telah mengambil wilayah dari Tanjung Kidurong hingga ke Baram. Penyerahan wilayah ini berlaku akibat kegagalan Sultan Brunei mengawal pemberontakan Orang Kayan. Dengan pemgambilan ini, kawasan-kawasan di bahagian pantai dari Tanjung Kidurong hingga ke Sungai Baram termasuk Similajau, Suai, Niah dan Sibuti jatuh ke bawah kekuasaan kerajaan Brooke.

Setelah penyerahan kawasan Sungai Baram kepada Sarawak, pergaduhan telah berlaku di di kawasan Sungai Trusan. Akibatnya Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min telah menyerahkan daerah Sungai Trusan kepada Brooke.

Penduduk Limbang di sempadan Brunei-Sarawak telah melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Brunei sejak 1884. Pemberontakan ini berpunca daripada kezaliman pembesar-pembesar Brunei yang memerintah daerah tersebut. Pada Mac 1890, ketua penduduk-penduduk di Limbang telah mengibarkan bendera kerajaan Sarawak untuk mendapatkan perlindungan. Pada Mac 1890, Charles Brooke telah mengambil daerah Limbang untuk membantu para penduduk yang tertindas. Tindakan tersebut mendapat kebenaran pemerintah Kesultanan Brunei iaitu Sultan Hashim.

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak bertambah luas apabila berlakunya masalah sempadan di antara Sarawak dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ). Charles Brooke telah membeli daerah Lawas daripada SBBUpada 1905. Dengan pembelian Lawas, wujudlah negeri Sarawak seperti mana yang ada sekarang.

Kesimpulan
Proses perluasan kuasa dan wilayah Sarawak telah dimulakan oleh James Brooke pada tahun 1841
dan telah dilenggapkan oleh anak saudaranya Charles Brooke pada 1905 melalui pembelian Lawas.
Sarawak di bawah pentadbiran keluarga Brooke telah berkembang pesat dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.


Latihan: Esei

Soalan:

1. Bincangkan tahap-tahap perluasan kuasa Brooke di Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1905.

2. Charles Brooke telah melengkapkan pembentukanan negeri Sarawak pada1905. Bincangkan.