Sabtu, 31 Oktober 2009

SEJARAH 2 STPM: SOALAN PERCUBAAN NEGERI KELANTAN 2009

Bahagian A

1. Bincangkan peranan golongan pemerintah dalam institusi pemerintahan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British

2. Huraikan tindak balas masyarakat Melayu terhadap pentadiran British di Perak dan Pahang pada akhir abad ke-19

3. Jelaskan tahap-tahap perluasan kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara antara tahun 1897 hingga 1909

4.Bincangkan sistem pentadbiran yang dijalankan oleh Dinasti Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di sabah sebelum Perang Dunia ke-2

5. Bincangkan peranan kesusasteraan dan kewartawanan dalam kebangkitan nasionalisme orang-orang Melayu sehingga tahun 1941

6. Huraikan faktor-faktor penubuhan Malaysia 1963 dan reaksi kerajaan Indonesia dan Filipina terhadap penubuhan gagasan ini.

Bahagaian B

7. Bincangkan hieraki dan peranan pembesar di Siam dan Myanmar sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat

8. Bincangkan sistem kepercayaan dan agama masyarakat tempatan di Cina dan Jepun sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat

9.Huraikan dasar pengilhakan British di India dan Peranchis di Vietnam pada abad ke-19

10. Golongan intelektual memainkan peranan penting dalam mencetuskan Revolusi China 1911 dan Reolusi Siam 1932. Bincangkan.

11. Bincangkan peranan golongan pelajar dalam peristiwa Gerakan 4 Mei 1919 di China dan golongan Thakin di Myanmar 1936 hingga 1948.

12. Jelaskan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di negara Jepun antara tahun 1945 hingga 1952.

Selasa, 27 Oktober 2009

SEJARAH 2 STPM: SOALAN PERCUBAAN NEGERI PAHANG 2009

BAHAGIAN A

1. Agama Islam telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu di Malaysia
sebelum campurtangan British. Bincangkan

2. Sejauhmanakah perasaan tidak puas hati pembesar menyebabkan berlaku penentangan di Perak dan Pahang pada abad ke 19

3. Jelaskan implikasi penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1896 sepanjang abad ke 19

4. Bincangkan peranan dan sumbangan bidang kewartawanan di Tanah Melayu dalam membangkitkan gerakan nasionalisme Melayu sebelum Perang Dunia Kedua

5. Huraikan perubahan-perubahan pentadbiran yang berlaku di Tanah Melayu dari tahun 1946-1957

6. Bincangkan faktor-faktor yang menentukan penggubalan dasar luar Persekutuan Tanah Melayu antara tahun 1957 hingga tahun 1963




BAHAGIAN B



7. Jelaskan peranan institusi pembesar di Myanmar (Burma) dan Thailand (Siam) pada awal abad ke 19

8. Bincangkan dasar tutup pintu yang dijalankan oleh China dan Jepun pada awal abad ke 19

9. Huraikan faktor-faktor yang mencetuskan peperangan di China dan Myanmar pada awal abad ke 19

10. Bincangkan kesan-kesan Perjanjian Kanagawa di Jepun dan Perjanjian Bowring di Thailand terhadap kedua-dua negara

11. Bandingkan peranan dan sumbangan Jose Rizal dan Sukarno dalam gerakan nasionalisme di Filipina dan Indonesia

12. Sejauhmanakah peranan yang dimainkan oleh golongan intelektual menjadi faktor utama dalam Revolusi 1911 di China dan Revolusi 1932 di Thailand

PERSATUAN SEJARAH SMK SULTAN YUSSUF

JAMUAN TAHUNAN DAN
MAJLIS PERPISAHAN
PERSATUAN SEJARAH
SMK SULTAN YUSSUF,
BATU GAJAH, PERAK.

TEMPAT:
HOTEL HILLCITY, IPOH

TARIKH / HARI:
31 OKT 2009 / SABTU

MASA:
3.00 – 6.00 PTG



PEMBERITAHUAN:

1. Ahli-ahli yang telah mendaftar untuk majlis tersebut sila menaikki bas sekolah pada pukul 2.00 petang di tempat parker bas.
2. Pakaian – Tradisional ( Baju kurung, Baju Kebaya, Batik , Baju Melayu dan lain-lain ).
3. Sila kembalikan Borang Kebenaran Ibu Bapa selewat-lewatnya pada hari Jumaat 30 OKT 2009 sebelum tamat sesi persekolahan.
4. Sebarang pertanyaan sila hubungi Guru Penasihat, En. Azmi Ahmad di talian 016-5130616.

SEJARAH 2 STPM: SOALAN PERBINCANGAN

BENGKEL SEJARAH 2 STPM 2009
SMK SULTAN YUSSUF BATU GAJAH, PERAK.

TARIKH: 26 OKT 2009
MASA: 8.00 – 9.30 PAGI
TEMPAT: KELAS 6AK1


SOALAN PERBINCANGAN


1. Islam menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sebelum campur tangan British. Bincangkan. [Kem Sejarah 08]

2. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. [ Kem Sejarah 08 ]

3. Sejauhmanakah sistem ekonomi masyarakat Melayu sebelum campur tangan British pada 1874 bersifat sara diri. [ Bengkel Galus 08]

4. Huraikan adat yang diamalkan di India dan Thailand sebelum perluasan kuasa Barat pada abad ke-19. [Percubaan PRK 08]

5. Bandingkan dasar luar Filipina dan India dari tahun 1945 hingga tahun 1963. [ Percubaan PRK 2008 ]

SEJARAH 2 STPM: CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

CONTOH-CONTOH PENGENALAN, HURAIAN ISI DAN KESIMPULAN

Pengenalan:

1. Huraikan perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19.

Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Diasaskan oleh Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang. Adat ini diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan sempadan Melaka. Adat Temenggung pula diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan,juga berasal dari Sumatera. Di Tanah Melayu adat ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan. Kedua-dua adat ini diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19. Namun begitu terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua adat ini.

2. Bandingkan pemodenan Siam semasa pemerintahan Raja Chulalongkorn
(1868 – 1910) dengan pemodenan Jepun semasa pemerintahan Maharaja Meiji (1868 – 1912).


Raja Chulalongkorn menaiki takhta kerajaan Siam pada tahun 1869 menggantikan ayahandanya Raja Mongkut dan meninggal dunia pada tahun 1910. Manakala Maharaja Meiji menaiki takhta kerajaan Jepun pada tahun 1867 ketika berusia 15 tahun dan memerintah Jepun sehingga tahun 1912. Kedua-dua pemerintahan ini telah berjaya melaksanakan proses pemodenan di negara mereka dalam pelbagai aspek dan mencapai kejayaan yang hebat.

3. Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

1. [ Pengkelasan masyarakat atau system feudal telah diamalkan di Vietnam dan Thailand sebelum kedatangan Barat di kedua-dua negara tersebut ]. 2. [ Sistem feudal merupakan satu bentuk susun lapis masyarakat atau hierarki yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah] . 3. [ Namun begitu perluasan kuasa Barat telah memberikan impak yang besar terhadap struktur masyarakat feudal di Vietnam mahupun di Thailand ].

4. Bincangkan sebab-sebab kejatuhan harga getah di Tanah melayu dan langkah-langkah mengatasinya sehingga pertengahan abad ke-20.

Terdapat pelbagai sebab yang membawa kepada kejatuhan harga getah dunia termasuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Getah mula ditanam di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan berkembang pesat pada awal abad ke-20. Kejatuhan harga getah berpunca daripada pengeluaran yang berlebihan dan kesan kemelesetan ekonomi dunia. Bagi mengatasi kejatuhan harga getah, beberapa langkah telah diambil termasuklah melaksanakan sekatan pengeluaran.



Huraian Isi:

1. Jelaskan sebab-sebab penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896

Antara faktor yang mendorong pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) 1896 ialah masalah kewangan Pahang. Menurut Prof Khoo Kay Kim dan K.G.Tregonning, masalah kewangan Pahang merupakan sebab utama yang membawa kepada pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang Januari 1892, Pahang berhutang dari Negeri-negeri Selat sebanyak $ 610,000. Untuk tahun tersebut Pahang perlu meminjam lagi sebanyak $175,000. Pahang mempunyai sumber hasil yang terhad. Pendapatn Pahang tidak mampu menampong kos mentadbir. Pemberontakan Pahang (1891 – 1895) memburukkan lagi kedudukan kewangan Pahang. Kerajaan Negeri-negeri Selat enggan memberi pinjaman kepada Pahang kerana mereka juga menghadapi masalah kewangan. [ STPM 2002: NO. 3 ]

2. Huraikan kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China sebelum kedatangan Barat

Penanaman padi merupakan kegiatan penting di India kerana padi merupakan makanan utama. Terdapat dua bentuk penanaman padi di India iaitu padi sawah dan padi huma.
Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya terutama sekali di lembah Sungai Ganga, Indus dan Mahanadi. Aktiviti ini bergantung kepada air hujan.
Wilayah Benggal di timur laut India menjadi kawasan utama penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Ganga, Sungai Damodar Sungai Yamona dan Sungai Indus. Penanaman padi sawah juga ditanam di seluruh benua India. Kawasan-kawasan lain termasuklah di lembah Sungai Godavari dan Sg. Krishna di bahagian tengan India.
Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan dan berbukit terutamanya di kawasan pedalaman India.

Begitu juga di China, kegiatan inipenting kerana padi merupakan makanan utama penduduk China. Dua bentuk penanaman padi yang dijalankan di China ialah padi sawah dan padi huma. Padi sawah di tanam di kawasan lembangan sungai dan berpaya serta dataran subur terutama sekali di lembah-lembah sungai . Kawasan penanaman padi meliputi beberapa lembangan seperti Sungai Hwang He di China Utara, Sungai Chang Jiang di China Tengah dan Sungai Xi Jiang di China Selatan. Penanaman padi sawah juga dilakukan hampir di seluruh benua China. Penanaman padi huma atau padi bukit dijalankan di kawasan pedalaman dan berbukit terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman China.


Kesimpulan:

1. Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat dikedua-dua negara.

Kesimpulannya, perluasan kuasa Barat di Vietnam dan Thailand telah membawa kesan negatif terhadap struktur masyarakat feudal di kedua-dua buah negara. Perancis yang berjaya menguasai Vietnam telah menghapuskan sistem feudal. Di Thailand pula akibat desakan dan tekanan British, sistem feudal telah mengalami pengubahsuaian atau perubahan yang pesat selaras dengan proses pemodenan Thailand.

2. Bandingkan peranan Jose Rizal di Filipina (1872-1896) dan Sukarno di Indonesia (1927-1945) dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing.

Sebagai rumusan, ternyata Jose Rizal dan Sukarno merupakan tokoh-tokoh penting dalam gerakan nasionalisme di Filipina dan Indonesia. Sukarno telah berjaya dalam perjuangannya apabila berjaya memerdekakan Indonesia. Namun begitu, perjuangan Jose Rizal tidak kesampaian apabila beliau telah dihukum mati oleh pihak Sepanyol di Filipina.

3. Huraikan kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China sebelum kedatangan Barat

Dapatlah dirumuskan bahawa kegiatan ekonomi tradisional atau sara diri merupakan kegiatan yang penting di India dan China sebelum kedatangan Barat. Kedatangan Barat telah merubah keadaan di India dn China yang mana terdapat beberapa sektor ekonomi tradisional telah berkembang menjadi ekonomi komersil. Namun begitu faedah yang dinikmati oleh penduduk India dan China hasil perubahan tersebut sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial amat terhad. Pihak Barat mendapat keuntungan yang besar tetapi petani-petani di India dan China kekal dalam kemiskinan.


Disediakan oleh
AZMI B. AHMAD
SMK Sultan Yussuf
Batu Gajah

Sabtu, 20 Jun 2009

Sistem Pemerintahan Beraja di Myanmar dan Thailand Sebelum Kedatangan Barat.

Disediakan oleh :
Azmi Bin Ahmad
SMK Sultan Yussuf,
Batu Gajah,Perak.

Pengenalan:
1. Sistem beraja merupakan satu bentuk pentadbiran yang diamalkan di kebanyakan Negara Asia termasuklah Thailand dan Myanmar.
2. Sistem ini berasaskan campuran sistem tempatan dengan pengaruh agama Hindu dan Buddha melalui proses Keindiaan.
3. Di kedua-dua negara, raja merupakan ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam semua aspek kehidupan meliputi politik, ekonomi dan sosial.
4. Thailand ditadbir oleh Dinasti Chakri bermula pada tahun 1782 dan berjaya mengekalkan kemerdekaan negara tersebut terutama hasil pentadbiran / pembaharuan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn.
5. Myanmar pula ditadbir oleh Dinasti Konbaung (1752 – 1886) tetapi gagal mempertahankan kedaulatannya apabila jatuh ke tangan British pada 1886.

Isi:

Konsep Raja
1. Di Myanmar raja menduduki hierarki tertinggi dalam sistem feudal. Kanun India Manu meletakkan raja Myanmar bersifat separuh ketuhanan.
2. Rakyat tidak boleh mempersoalkan hak dan kehidupan raja. Raja-raja Myanmar juga terikat dengan konsep ‘dharma’ yang menjadi ikatan antara raja dengan rakyat.
3. Rakyat juga percaya raja mereka adalah jelmaan dewa melalui konsep ‘devaraja’.
4. Keadaan yang sama juga berlaku di Thailand yang mana raja-raja Thai juga terikat dengan konsep ‘dharma’ dan ‘devaraja’
5. Rakyat tidak boleh melihat raja dan apabila mengadap raja rakyat perlu meniarap, sujud dan menyembah tetapi keadaan ini telah dimansuhkan oleh Raja Mongkut.
6. Kedudukan dan ketinggian raja-raja di kedua-dua buah negara disokong oleh unsur kebendaan terutamanya gajah putih yang menjadi simbul kedaulatan dan kegagahan sesebuah kerajaan serta pengiktirafan bahawa raja mempunyai kuasa luar biasa.

Peranan Raja:
Pentadbiran
1. Raja memainkan peranan utama dalam sistem pentadbiran dikedua-dua buah negara. Kuasa raja bersifat mutlak dan menyeluruh dalam pelbagai aspek termasuklah politik, ekonomi dan social.
2. Segala tindakan yang dilakukan oleh raja di kedua-dua negara tidak boleh dipertikaikan oleh rakyat malah di Thailand sesiapa yang mempertikaikan raja akan dihukum sebat 30 kali.
3. Dalam bidang pentadbiran, raja bagi kedua-dua buah negara dibantu oleh pembesar sama ada di peringkat pusat mahupun wilayah. Pada kebiasaanya raja bertanggungjawab melantik para pembesar. Di Myanmar terdapat pembesar seperti Wungyi, Wundsuk dan Atinwun (Atwinwon) manakala di Thailand pula para pembesarnya terdiri daripada Chao.

Perundangan
1. Raja bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara masing-masing dengan nasihat daripada pembesar dan Brahmin dan bertindak sebagai pemutus dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang.
2. Raja dikedua-dua negara berperanan sebagai Ketua Hakim dan sebarang hukuman yang dijatuhkan adalah muktamat termasuklah hukuman mati.
3. Di Myanmar, Raja dianggap sebagai penggubal undang-undang Wagaru Dhammathal (ringkasan undang-undang Manu India) dan Brahmin adalah penasihat utama raja dalam bidang perundangan.
4. Raja-raja Thailand menggunakan Kod Undang-undang Tiga Tera yang dipengaruhi oleh unsur Hindu dan Buddha. Raja dianggap sebagai hakim dan boleh menjatuhkan hukuman mati.
5. Kod Undang-undang Tiga Tera menjelaskan raja adalah pemilik tanah, wakil tuhan dan berkuasa mutlak malah soal hidup-mati seseorang rakyat bergantung kepada raja.
6. Walau bagaimanapun kuasa mutlak raja dikedua-dua negara telah diseimbangkan oleh agama Hindu-Buddha agar raja tidak bertindak sewenang-wenangnya.

Melantik Pembesar
1. Di Myanmar dan Thailand, pembesar merupakan tulang belakang dalam pentadbiran. Pembesar merupakan pembantu kepada raja dalam menjalan pentadbiran sama ada di peringkat pusat, wilayah mahupun daerah. Kebanyakkan pembesar adalah kaum kerabat raja.
2. Pembesar-pembesar di Myanmar terdiri daripada Atwinwun (raja muda), wungyi (ketua menteri), wundauk (menteri muda), atinwun (pegawai istana), myowun (gabenor daerah) dan myotungyi (ketua Bandar).
3. Pembesar-pembesat di Thailand pula terdiri daripada Chao ( kerabat diraja yang menjadi menteri kanan).

Ekonomi
1. Raja-raja Myanmar dan Thailand berkuasa ke atas semua tanah kerajaan dan dianugerahkan kepada para pembesar untuk ditadbir dan diusahakan.
2. Raja-raja kedua-dua Negara menguasai hasil negara terutamanya pungutan cukai, hasil pertanian, perdagangan dan lain-lain. Pembesar menjadi perantara antara raja dan rakyat dalam kegiatan ekonomi raja.
3. Walau bagaimanapun terdapat beberapa komoditi ekonomi yang menjadi monopoli diraja. Di Myanmar perlombongan permata, kayu jati, petroleum dan kapas manakala di Thailand, beras merupakan monopoli diraja hinggalah ditamatkan oleh oleh Rama III.

Ketua Agama
1. Pemerintah Myanmar dan Thailand dikaitkan dengan unsur Buddha terutama Buddha Theravada yang menerapkan konsep kosmologi dan keselarian antara Tuhan dan manusia. Kerajaan dianggap lambang kepada konsep kosmos dengan istana dianggap sebagai pusat kawalan cakerawala. Golongan Brahmin adalah panasihat raja dalam hal keagamaan
2. Di Myanmar raja adalah penaung segala upacara keagamaan malah bertanggungjawab terhadap pembinaan kuil / pagoda malah bertanggungjawab terhadap kesuciannya. Raja Mindon pernah menjadi Sami Buddha malah berusaha mengembalikan kegemilangan Buddha termasuklah mebina Pagoda Besar di Bandar Mandalay.
3. Di Thailand juga keadaannya hampir sama yang mana raja merupakan penaung kepada ucapara keagaamaan malah Raja Mongkut sendiri pernah menjadi sami Buddha dan terlibat termasuklah dalam usaha membina kuil / wat.

Perpaduan dan kesejahteraan rakyat
1. Di Myanmar raja bertanggungjawab terhadap kewujudan perpaduan dan kesejahteraan rakyat dan merupakan pelindung kepada rakyat daripada sebarang bentuk ketidakadilan mahupun pencerobohan luar. Keadaan ini akan membawa kepada kesetiaan yang tidak berbelah bahagi rakyat terhadap raja.
2. Di Thailand raja berperanan melindungi rakyat daripada penindasan dan pencerohan luar malah bertanggungjab untuk mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat.
3. Raja juga berperanan untuk mengekalkan adat resam tempatan kerana ia juga merupakan faktor penyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan rakyat dikedua-dua negara.

Kesimpulan
1. Sebagai kesimpulan, kita dapati bahawa sistem pemerintahan beraja yang diamalkan di Myanmar dan Thailand mula mengalami perubahan setelah kemasukan kuasa-kuasa Barat di negara mereka.
2. Di Thailand, peranan raja-raja tidak mengalami perubahan dari segi politik, ekonomi dan sosial tetapi perubahan dilakukan oleh raja-rajanya seperti Mongkut dan Chulalongkorn agar pentadbirannya setanding dengan Barat.
3. Berlainan pula di Myanmar yang mana mulai 1826 kuasa politik raja-rajanya mula berkurangan hinggalah seluruh kuasa tersebut jatuh ke tangan British apabila Myanmar tewas dalam Perang Inggeris-Myanmar III pada 1886.


Rujukan:

1. Mahdi Shuid dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Asia, 2005, Petaling Jaya, Pearson.
2. Ranjit Singh Malhi, Sejarah Kertas 2 STPM, 1989. Kuala Lumpur, Federal.
3. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2, 2005, Bangi, Penerbitan Pelangi.
4. Norizan Yusof, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963, 2003, Petaling Jaya, Federal.
5. Rahman Mustar dan Raihanulazmi Muhamad, Lembaran Praktis Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963, 2005, Puchong, Local Pub.

11 Mac 2008

Jumaat, 15 Mei 2009

STRATEGI BELAJAR SEJARAH MENGGUNAKAN BUKU TEKS SEJARAH TINGKATAN III

Membaca untuk memahami dan mengingati isi kandungan dan fakta buku teks Sejarah Tingkatan III merupakan cabaran utama kepada guru dan calon PMR. Guru dan calon PMR perlu memahami
tiga perkara berikut sebelum membuat pembacaan dan mengulangkaji pelajaran iaitu:

1.1. Objektif terpilih bagi setiap bab (bagi membolehkan guru menggunakan buku teks secara maksimum)
1.2. Struktur buku teks yang dibahagikan kepada (pengenalan, pembahagian bab, objektif pembelajaran bab, peta konsep, teks teras, Pustaka Ilmu, takrif kata, grafik, klik net, uji minda dan ujian dan penilaian)
1.3. Strategi penggunaan buku teks Tingkatan III (guru sewajarnya menggunakan Buku Panduan Guru yang disediakan agar pengajaran lebih berkesan.

Di samping itu guru perlu memahami ilmu Bantu dalam Sejarah seperti Kemahiran Pemikiran Sejarah, aplikasi ICT dalam pendidikan dan teknik ‘belajar cara belajar’ bagi membantu calon PMR menguasai kandungan buku teks). Bagi membantu calon PMR menggunakan buku teks ini pula, penulis berusaha menghidangkan kaedah yang sudah dikaji dan diuji berkesan kepada calon.

Kaedah yang digunakan ialah kaedah

SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.
Kaedah SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.

Tinjau

Prinsip pertama tinjau adalah langkah untuk calon mendapat gambaran keseluruhan apa yang hendak dikaji dengan terperinci. Tinjauan buku boleh dibuat dengan cara:

a) membaca mukadimah (preface) buku teks. Dengan membaca ‘preface’ atau pengenalan calon akan tahu susunan buku, tujuan buku ditulis dan calon tahu persediaan yang diperlukan
untuk mengulangkaji buku inib) calon kemudian mengkahi jadual isi kandungan buku teks ini secara kasar. Ulangi kajian ini dari masa ke semasa kerana tajuk-tajuk itu sangat bermakna dalam peperiksaanc) baca tajuk-tajuk kecil dan rumusan dalam bab itu

Calon PMR dapat memahami buku ini ditulis mengikut Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR. Tingkatan III. Susunan bab dan tajuk mengikut tema 5 dan 6. Tema 5 : Perjuangan Rakyat ke Arah Kemerdekaan Tanah Air Tema 6 : Pembentukan Persekutuan MalaysiaTema 5 dan 6 ini pula dibahagikan kepada 7 bab iaitu:

Bab 1 : Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
Bab 2 : Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu
Bab 3 : Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat
Bab 4 : Kerjasama Antara kaum Ke Arah Kemerdekaan
Bab 5 : Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957
Bab 6 : Perubahan Pentadbiran ke Arah Berkerajaan Sendiri di Sarawak dan Sabah
Bab 7: Malaysia yang Berdaulat

Peta Konsep – merupakan intipati bagi setiap bab bagi memberikan gambaran yang menyeluruh

Teks Teras – setiap bab mempunyai topik dan subtopik yang mengandungi huraian bagi tajuk bab itu

Pustaka Ilmu – murid dan guru boleh merujuk maklumat tambahan untuk menambah ilmu pengetahuan

Takrif Kata – menjelaskan sesuatu konsep atau istilah yang kurang difahami oleh calonGrafik – terdapat gambar, foto, jadual, carta masa, rajah, logo, peta dan statistik untuk menjelaskan kandungan

Klik Net – ICT merujuk laman web yang memberi penerangan lanjut kepada guru dan murid untuk melayarinya secara penerokaan

Uji Minda – membantu guru dan murid mengingati fakta asas sebelum berpindah bab

Ujian dan Penilaian – membantu menilai sejauhmana guru dan murid memahami kandungan keseluruhan bab itu.

TanyaKebanyakan perkara yang paling diingati dalam dunia ini ialah jawapan daripada pertanyaan. Ramai calon lebih mengingati jawapan daripada apa yang mereka tanya daripada apa yang mereka pelajari.

Soalan menyebabkan calon berfikir. Secara amnya soalan yang perlu dikemukakan oleh calon ialah:
Apa ? = Peristiwa Sejarah
Siapa ? = Tokoh dalam Sejarah
Bila ? = Pertarikhan dalam Sejarah
Di mana ? = Lokasi atau tempat kejadian
Mengapa ? = Peyebaban dalam Sejarah
Bagaimana ? = Kronologi dalam Sejarah

Jawapan kepada siapa, apa bila dan mana memberi jawapan kepada fakta sejarah. Pertanyaan begini mesti dibiasakan semasa membaca.

Membaca
Apabila membaca, baca semuanya. Ini termasuklah graf, jadual, gambar, carta, illustrasi dan sebagainya. Semua calon mesti berusaha untuk memahaminya semasa proses membaca.

Panggil Kembali
Semasa membaca teks tersebut, calon mesti memanggil kembali secara lisan ataupun menulis fakta di atas kertas. Tujuannya ia memberitahu calon apa yang dia belum ingat dan fakta yang
sudah diingat.

Lihat Semula
Lihat semula ialah proses untuk mengetahui dan mengesahkan apa yang calon telah baca dan memahaminya. Calon perlu membaca dengan pantas dan pastikan tidak ada bahan yang tertinggal dari bacaan.

Teknik Mengenalpasti Kandungan Buku Teks Berdasarkan Kehendak Soalan PMR

Dalam rencana ini calon PMR diberi pendedahan tentang fokus soalan sejarah PMR. Membaca dan menghafal fakta sahaja tidak mencukupi untuk menguasai kemahiran Sejarah. Calon perlu
membiasakan diri dengan kehendak soalan dalam kertas Sejarah PMR.

Calon PMR perlu mengetahui jenis dan stail soalan yang sering dikemukakan dalam peperiksaan. Calon PMR perlu rajin membaca buku teks dan mengulangkaji soalan kandungan buku teks berdasarkan aspek-aspek berikut:

Fokus Kandungan Buku Teks Dalam Setiap Bab
1 Konsep / istilah sejarah
2 Sebab / faktor peristiwa sejarah / tujuan3 Kesan peristiwa sejarah
3 Kronologi / urutan peristiwa
4 Tokoh dalam sejarah
5 Perjanjian penting dalam sejarah
6 Organisasi / pertubuhan/ parti politik /institusi/tempatan, serantau dan antarabangsa
7 Ikhtibar / nilai murni peristiwa sejarah

Buku Teks Sejarah Tingkatan III memberi penekanan kepada aspek pengetahuan sejarah, kemahiran sejarah dan nilai dalam sejarah. Pengetahuan sejarah amat penting untuk menjawab soalan sejarah.

Calon PMR perlu memahami sesuatu idea sejarah dan berusaha untuk menguasainya. Bagi menguji kemahiran calon menggunakan fakta sejarah, peta, gambar rajah, rajah, peribahasa,
puisi, pernyataan, senarai, petikan, jadual, maklumat dan sebagainya turut disertakan.

( 1 ) Mengenalpasti Definisi, Makna dan Istilah
Calon PMR perlu memahami konsep dan istilah penting dalam pelajaran Sejarah. Jika calon tidak memahami istilah yang digunakan pengarang, maka calon sukar memahami isi kandungan keseluruhan bab itu. Terdapat pelbagai cara untuk mengetahui istilah sejarah dalam buku ini. Misalnya sesuatu istilah atau konsep itu dicetak secara bold atau dicondongkan.
Contohnya takrif kata ‘feudal’, ‘imperialis’ (hlm : 87), ‘kader’, ‘kegiatan PKM’ (hlm : 88), ‘Baju Hijau’, ‘Home Guard’, ‘Special Constable’ (hlm : 93), ‘Min Yuen’, ‘Rancangan Briggs’, ‘Kampung Baru’, (hlm : 94), ‘Gerakan Kelaparan’, (hlm : 95), ‘Perang Saraf’ (hlm : 98), ‘Kawasan Hitam’, ‘Kawasan Putih’, ‘Perintah Berkurung’ (hlm : 100), ‘Pertemuan Baling’, (hlm : 104), dan ‘Community Liaison Committee’ (CLC) . Rujuk takrif kata yang disediakan.

Calon lebih menguasai isi kandungan buku teks jika lebih berusaha mengenalpasti istilah atau konsep yang digunakan di dalam buku teks. Sejarah mengandungi banyak idea dan konsep yang perlu dikuasai. Konsep amat penting untuk membantu calon PMR menggambarkan peristiwa sejarah. Konsep terbentuk daripada perkataan atau idea yang perlu dijelaskan dengan contoh yang sesuai. Calon PMR perlu memahami sesuatu makna atau maksud perkataan tertentu untuk memahami sesuatu konsep Sejarah.

Fakta Sejarah mempunyai kaitan dengan konsep kerana fakta merupakan maklumat yang membantu menghuraikan sesuatu konsep. Pentafsiran yang tidak tepat terhadap fakta atau pemahaman yang terpesong terhadap sesuatu konsep sejarah menyebabkan calon memilih pilihan jawapan yang tidak tepat.

( 2 ) Mengenalpasti Sumbangan atau Peranan Tokoh
Calon PMR perlu mengulangkaji biografi tokoh penting tanahair. Terdapat banyak soalan mengenai tokoh sejarah yang dikemukakan dalam Kertas Sejarah PMR. Kajian tentang tokoh amat penting dalam Sejarah. Ini kerana manusia merupakan isu utama dalam pergolakan Sejarah.

Oleh sebab itu calon PMR perlu didedahkan dengan maklumat tokoh penting yang menceritakan tentang kepimpinan dan ketokohan mereka yang ditonjolkan dalam pelajaran Sejarah. Kajian tokoh sangat penting untuk menghargai perjuangan dan pengorbanan mereka pada masa lampau.

Misalnya Sir Harold Briggs, Sir Gerald Templer, Sir Edward Gent, Sir Henry Gurney, Dato’ Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak bin Hussein, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain.

Soalan tokoh berfokus kepada kejayaan dan sumbangan utama tokoh kepada negara kita. Jika seseorang tokoh mempunyai terlalu banyak sumbangan, lihat sumbangannya yang paling besar
kepada negara kita. Baca serba sedikit butir penting latar belakang, pendidikan dan teliti gambar foto atau illustrasi mereka (jika ada) untuk memudahkan kita membuat pengecaman.

Buat pengelompokan, pengelasan dan penzamanan setiap tokoh. Lihat persamaan dan perbezaan corak perjuangan mereka pada setiap zaman.

( 3 ) Mengenalpasti Penyebaban atau Kesan Peristiwa Sejarah Sejarah tidak boleh dipisahkan dengan sebab (penyebaban) dan akibat (kesan) sesuatu peristiwa. Sejarah merujuk kepada tanggapan umum seperti sebab yang mendorong penyebaran agama Islam dalam Kerajaan Melayu Melaka dan kesannya.

Satu cara yang mudah untuk memahami aspek ini ialah melalui peta konsep. Calon perlu memilih sesuatu tajuk pelajaran Sejarah seperti sebab, faktor, kesan dan implikasi sesuatu peristiwa Sejarah. Pemetaan konsep memberi gambaran menyeluruh dan menunjukkan
pertalian antara satu fakta dengan fakta yang lain.

Contohnya sebab pengisytiharan darurat dan kesannya. sebab pembentukan Persekutuan 1896 dan kesannya. Calon perlu mengenalpasti semua faktor tersebut.

( 4 ) Mengenalpasti Pertubuhan Politik dan Bukan Politik

Terdapat soalan mengenai organisasi setempat seperti Parti Komunis Malaya (PKM), MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) Force 136 (MPAJA), Malayan Races Liberation Army (MRLA), AWAS, PETA, PERAM, PKMM, Malayan Chinese Association (MCA), UMNO dan sebagainya. Calon perlu memahami latar belakang penubuhan, sebab penubuhan, tokoh yang terlibat, matlamat penubuhan, sumbangan dan impaknya kepada sejarah negara.

( 5 ) Mengenalpasti Perjanjian Penting Dalam Sejarah.

Terdapat banyak perjanjian penting yang memberikan kesan kepada perkembangan sejarah, politik, ekonomi dan sosial negara kita. Setiap perjanjian mempunyai sebab mengapa ia dimetrikan.

Setiap perjanjian juga mempunyai syarat yang berbeza dengan perjanjian lain. Jika perjanjian tersebut memberi kesan yang besar kepada sejarah tanahair maka lebih kerap pula disoal dalam peperiksaan. Apabila seseorang calon mengulangkaji sesuatu perjanjian, pastikan calon meneliti

a) Tahun perjanjian itu ditandatangani
b) Sebab ia ditandatangani
c) Pihak yang menandatangani perjanjian itu
d) Syarat penting atau isi penting sesuatu perjanjian dan
e) Kesan sesuatu perjanjian kepada persejarahan negara

Selain itu terdapat satu aspek lagi yang tidak kurang pentingnya untuk diberi perhatian iaitu tempoh masa atau periodasi atau penzamanan dalam Sejarah. Peristiwa dan fakta Sejarah tidak boleh dipisahkan daripada tarikh. Tanpa tarikh sesuatu peristiwa sukar dibuktikan sebagai bersejarah. Kebenarannya sudah tentu dipersoalkan sebagaimana cerita mitos dan legenda.

Memang diakui umum terdapat banyak tarikh dalam Sejarah. Tetapi perlu diingatkan bahawa, Kertas Sejarah PMR tidak pernah membebankan calon PMR dengan soalan berkaitan tarikh. Ingat tarikh bagi peristiwa penting sahaja. Jika tarikh sukar diingati, cuba ingat peristiwa tersebut sama ada berlaku di awal, pertengahan atau di akhir sesuatu kurun.

Berikut ialah beberapa contoh perjanjian yang kerap ditanya dalam soalan Sejarah PMR.

( 6 ) Mengenalpasti Unsur Patriotisme, Nilai Murni dan Ikhtibar Dalam Sejarah

Mata pelajaran Sejarah penting untuk memupuk nilai bagi membentuk warga negara yang bertanggungjawab. Nilai politik, ekonomi, sosial dan intelektual yang terdapat dalam pendidikan Sejarah mampu mencorakkan perkembangan personaliti dan karisma seseorang murid.

Soalan Sejarah PMR mengemukakan soalan nilai dan ikhtibar daripada peristiwa bersejarah. Soalan ini menggalakkan calon PMR berfikir dan membuat keputusan sendiri berdasarkan fakta Sejarah yang dipelajari.

Contohnya:
‘Penubuhan pasukan ‘Home Guard’ telah meniupkan semangat yang berkobar-kobar di kalangan rakyat untuk mempertahankan negara. Kesanggupan dan keberianian orang Melayu melawan pengganas secara berhadapan amat mengagumkan Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu.’

Tujuan penting peperiksaan ialah untuk mendapatkan maklumat pencapaian calon. Kategori soalan yang dikemukakan meliputi pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan menilai.

Meskipun ada soalan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme, calon mesti menguasai fakta sejarah di dalam buku teks kerana hampir keseluruhan soalan Kertas Sejarah PMR berpandukan buku teks. Sebagai latihan dan persediaan peperiksaan PMR 2005, calon diminta merujuk buku teks Sejarah Tingkatan Satu, Tingkatan Dua dan Buku Teks Sejarah Tingkatan Tiga.

Sila jawab Latihan Sejarah PMR berikut dan bandingkan jawapan calon dengan jawapan berdasarkan rujukan buku teks yang diberi. Akhir kata, Selamat Belajar.


NOTA:
Terima kasih kepada penulis (Tidak diketahui) artikel ini. Semoga Allah SWT memberkati hidup anda