Rabu, 4 Februari 2009

MELAYU DIKHIANATI

Oleh Awang Selamat

Walaupun banyak kali diperjelaskan tetapi makin ramai pemimpin bukan Melayu mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.
Kenapa perlu takut? Ketuanan atau kedaulatan Melayu lebih bersifat gagasan bagi menggerakkan pencapaian orang Melayu sebagai kaum teras. Ia bukan bermaksud hubungan antara tuan dengan hamba, seperti yang cuba dikelirukan.
Tiada sebab untuk bukan Melayu bimbang. Sejarah membuktikan Melayu adalah kaum yang paling bertolak ansur sehingga sanggup berkongsi kerakyatan dan menjadi pelindung kepada kaum lain.
Jika Melayu adalah tuan seperti yang digeruni, keadaannya mungkin sama dengan pendekatan Zimbabwe yang merampas harta golongan minoriti yang kaya. Selama ini melalui konsep tersebut, kaum Cina yang menguasai kekayaan dan ekonomi negara terus meninggalkan jauh kaum lain termasuk orang Melayu yang masih ramai lagi miskin. Siapa yang lebih tuan? Selama inipun, orang Melayu tidak pernah meminta diri mereka dipanggil dengan istilah tuan.
Semua pihak harus jujur melihat daripada perspektif yang meluas dengan mengambil kira realiti sejarah, politik dan kebudayaan. Malaysia adalah negara yang berakarkan Melayu.
Kalau di Indonesia, terasnya adalah etnik Jawa; Cina di Singapura; Buddha di Thailand; Hindu di India; Kristian di negara Barat maka orang Melayu dan Islam adalah teras di Malaysia.
Yang sedihnya ketika kaum lain semakin mengasak orang Melayu supaya menjadi liberal, bukan Melayu pula semakin bergerak ke arah ultra menuntut lebih banyak untuk kaum mereka.
Apabila Melayu bersuara mempertahankan kepentingan mereka (bukan pun menuntut yang lebih), Melayu dituduh rasis. Tetapi apabila bukan Melayu bersuara menuntut yang lebih, mereka tidak menganggapnya sebagai rasis sebaliknya mendakwa itu tanda keterbukaan.
Semua tekanan ini telah menambahkan keresahan orang Melayu. Segala pengorbanan dan tolak ansur orang Melayu termasuk berkongsi tanah air ini, kuasa politik dan kekayaan, telah dikhianati. Itulah yang makin dirasakan oleh orang Melayu.
Sepatutnya kaum lain juga perlu bertolak ansur dan mengorbankan kepentingan kaum mereka untuk kepentingan nasional. Pelbagai kaum di Singapura dan Indonesia misalnya hanya menggunakan satu bahasa pengantar dan sistem persekolahan yang sama demi perpaduan nasional.
Jika mahu orang Melayu bertolak ansur lagi, bukan Melayu juga perlu berkorban lebih. Janganlah hanya pandai meminta tetapi tidak tahu memberi.