Rabu, 2 Disember 2009

KULIAH 4 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 4 [ 2 DISEMBER 2009 ]:

BINCANGKAN SEBAB-SEBAB KEJATUHAN HARGA GETAH DAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASINYA SEHINGGA PERTENGAHAN ABAD KE-20.


BAHAN BACAAN / RUJUKAN:

1. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 147-149
2. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800-1963), Pelangi, Bangi, 2005. Muka surat: 107.
3. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 218-221.


Pendahuluan
Penanaman getah bermula di Semenanjung Tanah Melayu akibat kejatuhan harga kopi pada tahun 1809. Permintaan terhadap getah amat tinggi apabila penciptaan tayar vulkanis tahun 1885 dan tayar berangin tahun 1889 membolehkan pengeluaran basikal dan motorsikal dihasilkan secara besar-besaran. Galakan H.N Ridley, selaku Pengarah Taman Bunga Singapura membolehkan tanaman getah di Semenanjung Tanah Melayu berkembang sehingga menjadi 1 juta ekar menjelang tahun 1911. Namun demikian, harga getah mengalami kejatuhan mendadak pada tahun 1920 akibat kemelesetan ekonomi dunia . Pada tahun 1930-an harga getah turun lagi dengan mendadak kesan kemelesetan ekonomi dan kesan Perang Dunia Pertama.


Faktor-faktor kejatuhan harga getah 1920an

Permintaan getah dari Amerika Syarikat berkurangan.
Perusahaan getah mengalami kesukaran kerana permintaan ke atas komoditi ini berkait rapat dengan perusahaan membuat motokar dan kemerosotan ekonomi negara yang menghasilkan jentera berkenaan. Amerika Syarikat yang menggunakan kira-kira 77% pengeluaran getah dunia mula mengurangkan permintaan getah. Ini disebabkan Amerika Syarikat masih menumpukan perhatian terhadap pengeluaran alat-alat kelengkapan perang . Walaupun Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah tamat, tetapi kelengkapan perang masih diperlukan kerana keadaan dunia masih belum aman.

Kos pengeluaran meningkat
Pengeluaran getah di Malaysia tidak berhenti walaupun permintaan semakin berkurangan. Perkara ini disebabkan pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mula mengeluarkan hasil. Apabila peperangan tamat pengeluaran getah menjadi terlalu banyak. Harga getah menjunam jatuh dari paras $ 5.50 sepaun kepada 80 sen sepaun kerana penawaran yang terlalu banyak, sedangkan kos pengeluarannya tetap tinggi antara 40 sen hingga 50 sen sepaun.


Faktor-faktor kejatuhan harga getah tahun 1930an

Kemelesetan ekonomi dunia
Zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku lagi pada tahun 1930an. Pasaran lembab , pesanan berkurangan dan kejatuhan harga berlaku terhadap perusahaan getah.Ia berlaku kesan daripada Perang Dunia Pertama. Kemelesetan ini telah menyebabkan negara-negara pengguna telah mengurangkan permintaan. Pengeluaran getah terus bertambah dan simpanan menjadi bertimbun. Akibatnya harga getah merudum jatuh kepada 7 sen sepaun pada tahun 1932.Nilai terendah yang pernah dicatat ialah 5 sen sepaun.

Kurangnya permintaan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat mengeluarkan 90% daripada jumlah pengeluaran kereta dunia pada tahun 1930-an serta menggunakan 75% hingga 80% daripada pengeluaran getah dunia. Pengeluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit akibat kemelesetan ekonomi yang menyebabkan permintaan kereta turut merosot. Oleh itu, permintaan tayar turut menurun kepada 4 juta unit dalam tahun 1932 berbanding 77 juta unit pada tahun 1928.Keadaan ini amat membimbangkan negara-negara pengeluar khususnya kerajaan British di Tanah Melayu . Negara-negara pengeluar seperti Tanah Melayu, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-China, Sri Lanka dan India yang mengeluarkan 98.7% keluaran getah dunia pada tahun 1934 telah berusaha mengatasi masalah ini.


Langkah-langkah mengatasinya tahun 1920-an hingga tahun 1930-an

Rancangan Sekatan Stevenson 1922 hingga 1928
Pada tahun 1921 Jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan untuk mengkaji langkah-langkah bagi mengatasi kemerosotan harga getah, Hasilnya, Rancangan Sekatan Stevenson ditubuhkan. Antara rancangannya ialah mengawal harga getah dan mengehadkan pengeluarannya. Kerajaan Tanah Melayu bersetuju mengurangkan pengeluaran getah daripada 50% kepada 35%. Langkah ini berjaya meningkatkan sedikit harga getah kepada $ 2.00 sepaun pada tahun 1922. Sabah dan Sarawak juga menyertai rancangan ini atas kehendak sendiri. Mereka diberi kuota tertentu untuk mengeluarkan getah. Sabah misalnya diberi kuota pengeluaran sebanyak 60% berdasarkan pengeluaran tahun 1920. Kemudian dinaikkan kepada 75% apabila terdapat bantahan. Rancangan ini tidak begitu berjaya kerana Belanda di Indonesia enggan menyertainya. Mereka mengambil kesempatan dengan menambah pengeluarannya pada masa ini dari 25% pada tahun 1922 kepada 40% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1928. Pada tahun 1928 harga getah jatuh lagi kerana lambakan bekalan di pasaran antarabangsa. Harganya jatuh semula kepada 35 sen hingga 40 sen sepaun pada tahun 1928.


Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa tahun 1934-1943
Tujuan utama rancangan ini ialah mengurangkan pengeluaran dan mengawal harga getah. Antara langkah-langkah yang diambil ialah dengan menetapkan kuota eksport bagi setiap negara anggota. Tanah Melayu tidak terkecuali apabila kerajaan British telah mengenakan kuota penanaman kepada pengusaha ladang supaya mengeluarkan 60% sementara pekebun kecil mengeluarkan 40%. Sabah dan Sarawak pula menyertai rancangan ini secara sukarela. Kuota pengeluaran getah oleh Sarawak ditetapkan kepada 24 000 tan pada tahun 1934 dan bertambah pada tahun 1938 kepada 32 000 tan. Selain kuota pengeluaran ditentukan, bilangan hari yang dibenarkan untuk menoreh getah juga dihadkan. Sistem kupon diperkenalkan bagi mengehadkan jumlah getah yang boleh dijual oleh pekebun kecil.


Kesimpulan
Kemelesetan harga getah telah menimbulkan kesan-kesan sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Pengangguran berleluasa kerana ladang-ladang besar ditutup atau mengurangkan bilangan pekerja daripada 258 000 pada tahun 1929 menjadi 145 000 pada tahun 1942. Ramai pekerja dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Namun demikian, pihak Inggeris memperkenalkan tanaman lain bagi menggantikan tanaman getah seperti kelapa sawit. Terdapat 64 000 ekar kelapa sawit ditanam pada tahun 1933.

Jumaat, 27 November 2009

PECUTAN AKHIR SEJARAH 2 (940/20 STPM)

Assalammuaikum dan salam sejahtera

Peperiksaan Kertas Sejarah 2 (940/2) STPM akan berlangsung pada hari Isnin 30 November 2009. Saya yakin dan percaya bahawa para pelajar saya yang akan menduduki peperiksaan tersebut telah melakukan persiapan yang rapi. Mereka juga diharapkan telah menfaatkan cuti umum sempena Hari Raya Aidil Adha dengan sebaik mungkin untuk melakukan persiapan terakhir menjelang peperiksaa tersebut.

Bagi membantu anda semua, berikut saya senaraikan beberapa topik penting yang perlu diberikan perhatian. Namun begitu para pelajar dinasihatkan tidak terlalu bergantung kepada soalan-soalan ‘spot’


Malaysia:

Tema 1
a. Peranan raja
b. Perkembangan Islam

Tema 2
a. Getah

Tema 3
a. Gagasan Malaysia

Tema 4
a. Sistem pemerintahan Malaysia
b. Rancangan pembangunan ekonomi


Asia:

Tema 1
a. Pembesar
b. Adat ( India, China dan Thailand )
c. Ekonomi ( sara diri dan komersil)

Tema 2
a. Perang
b. Perjanjian

Tema 4
a. Dasar luar


Contoh-contoh soalan Bahagian A (Malaysia):

1. Jelaskan peranan raja (sultan) sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

2. “Islam menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sebelum campur tangan British”. Bincangkan

3. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

4. Bincangkan sebab-sebab kejatuhan harga getah dan langkah-langkah mengatasinya sehingga pertengahan abad ke-20.

5. Huraikan faktor-faktor pembentukan Gagasan Malaysia pada tahun 1963.

6. Jelaskan sistem pentadbiran Malaysia selepas merdeka sehingga tahun 1963.

7. Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari tahun 1957 hingga tahun 1963.



NOTA:

Bahan-bahan yang berkaitan dengan tajuk dan soalan-soalan di atas telah dibekalkan kepada para pelajar. Para pelajar juga diminta merujuk semula ‘Modul Gemilang Sejarah 2 STPM’ dan ‘Soalan Perbincangan’ yang telah di’upload’ pada bulan Oktober 2009.


Semoga tabah menghadapi peperiksaan dan selamat berjaya.

Selasa, 24 November 2009

KULIAH 3 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 3 [24 November 2009]:
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN PERUSAHAAN GETAH DI TANAH MELAYU PADA AKHIR ABAD KE-19 DAN AWAL ABAD KE-20.


DISEDIAKAN OLEH:

AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:
1. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800-1963), Pelangi, Bangi, 2005. Muka surat: 106-110.

2. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 140-149.
3. Norizan Yusof, Teks Lengkap STPM Sejarah Malaysia, Federal, Shah Alam, 2002. Muka surat: 209-221.


Pendahuluan

Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain. Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu



Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu

Peranan H. N. Ridley

Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley Getah atau Ridley Gila”.

Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas. Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun 1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930 getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

Kemerosotan harga kopi.

Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000 biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.

Permintaan terhadap getah yang meningkat.

Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B. Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan 500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali “Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam, paip air dan lain-lain.

Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope), Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400 tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

Tenaga buruh yang murah

British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908 sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah yang lebih besar.

Penyelidikan getah secara saintifik

Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926 kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.

Galakan daripada Kerajaan

Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10 sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.

Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain. Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

Penglibatan pelabur Eropah

Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan

Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.


Latihan:

Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

KULIAH 2 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 2 [24 November 2009]:
PERLUASAN KUASA BRITISH DI SABAH DARI TAHUN 1865 HINGGA 1888

DISEDIAKAN OLEH:
AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:
1. Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Shah Alam, 2006. Muka surat: 231-236
2. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 56-58
3. Kementerian Pelajaran Malaysia, Sejarah Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998. Muka surat: 67-80.



Pengenalan

Sebelum kedatagan Barat, Sabah atau Borneo Utara berada di bawah pentadbiran Kesultanan Brunei. Namun begitu selepas 1674, Sabah ditadbir pula oleh tiga kuasa yang berlainan. Kawasan pantai antara Pandasan hingga Kimanis terletak di bawah kekuasaan Brunei. Kawasan pantai dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuku berada di bawah kekuasaan Kesultanan Sulu. kawasan pantai dari Pandasan hingga ke Teluk Marudu dikuasai oleh para pembesar bebas bergelar ‘Syarif’ manakala kawasan pedalamannya pula dikuasai oleh penduduk peribumi. Perluasan kuasa asing di Sabah bermula dari tahun 1865 dan pihak British mulai berjaya menguasai Sabah menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada 1881 dan seteusnya mengukuhkan kekuasaanya pada 1888 apabila Sabah menjadi negeri naungan British.


Proses perluasan kuasa British di Sabah

Perluasan pengaruh asing di Sabah melibatkan beberapa tokoh pedagang bermula apabila pada tahun 1865 seorang warga Amerika iaitu Claude Lee Moses mendapatkan dua konsesi pajakan beberapa kawasan di Sabah daripada Sultan Abdul Mu’min (Brunei) selama sepuluh tahun dan tempoh konsesinya boleh diperbaharui. Konsesi pajakan pertama meliputi kawasan dari Sungai Sulaman di pantai barat hingga Sungai Paitan di timur laut. Manakala kensesi pajakan kedua pula meliputi kawasan Benoni, Kimanis, Paitan, Sugut, Bongaya, Babuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan dan Muning.

Namun begitu bagi mendapatkan keuntangan segera, Moses telah menjual hak pajakannya kepada pedagang Amerika di Hong Kong diketuai oleh Joseph William Torrey dan Thomes B. Haris serta seorang pedagang Cina, Wo Hang. Torrey kemudian menubuhkan The American Trading Company untuk memajukan kawasan tersebut. Pemindahan milikan pajakan tersebut telah disahkan oleh Sultan Abdul Mu’min pada 24 November 1865. Sebagaimana Moses, Joseph Torrey juga gagal untuk mengaut keuntungan terhadap pajakan tersebut lalu menjual konsesinya kepada Gustavus Baron de Overback iaitu Konsul-Jeneral Austria di Hong Kong pada tahun 1875.

Disebabkan kekurangan modal, Overback telah menjalankan usahasama dengan syarikat British yang dimiliki oleh Dent Brothers pada tahun 1877. Kerjasama ini telah mencetuskan satu perjanjian baru antara Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min dengan Syarikat Overback dan Dent. Mereka berjaya memperbaharui pajakan sebagaimana yang telah diperolehi oleh Moses tetapi kali ini tanpa had tempoh pajakan. Sultan Abdul Mu’min turut bersetuju menyerahkan semua hak pertuanan dan kedaulatan ke atas kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Sabah kepada Overback dan Dent manakala Sultan Brunei pula telah memperolehi ganjaran $12,000 setahun.

Bagi mengatasi masalah pertindihan kuasa dengan Kesultanan Sulu kerana Sultan Sulu juga dikatakan mempunyai kuasa ke atas Sabah, Overback dengan diiringi oleh Pemangku Gabenor Labuan, Willian Hood Treacher telah menemui dan mengadakan rundingan dengan Sultan Sulu. Hasil rundingan tersebut mereka telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Sulu pada 22 Januari 1878 di Meimbong, selatan Kepulauan Sulu. Menurut perjanjian tersebut, Sultan Sulu iaitu Sultan Jamal Al-Alam bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan hak pertuanan meliputi kawasan dari Sungai Sibuku hingga Sungai Padasan kepada Syarikat Overback dan Dent.

Setelah gagal mendapatkan bantuan kewangan daripada pemodal dan kerajaan Austria, pada tahun 1880, Overback pula telah menjualkan hak miliknya kepada Alfred Dent menyebabkan Dent mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Sabah. Namun begitu Dent pula berhadapan dengan masalah untuk mentadbir Sabah akibat kekurangan modal. Walau bagaimanapun menerusi bantuan beberapa orang pedagang British akhirnya Dent telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Dent telah menjual saham syarikat untuk medapatkan modal di samping memohon untuk mendapatkan piagam diraja. Piagam ini sangat penting bagi meningkatkan nilai perdagangan syarikat serta mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan British serta dapat manghalang kuasa-kuasa Barat yang lain daripada bertapak di Sabah.

Pada 1 November 1881, kerajaan British telah memberikan piagam diraja dan nama syarikat telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Alfred Dent telah dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat yang manakala Willian Hood Treacher pula telah dilantik sebagai Gabenor British yang pertama di Sabah. Melalui pemberian piagam diraja, secara tidak langsung kerajaan British telah berjaya meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Sabah. Pada Mei 1888, penguasaan British di Sabah semakin kukuh apabila Sabah telah dijadikan negeri naungan British (British protectorate state) sebagaimana negeri Sarawak dan Brunei.


Kesimpulan

Penghujung abad ke-19, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah kehilangan hak, kepentingan dan dan ketuanan di wilayah Sabah apabila British melalui SBBU berkuasa sepenuhnya terhadap wilayah tersebut pada 1888. SBBU telah memajukan Sabah demi kepentingan mereka dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan sosial tetapi pada hakikatnya pembaharuan tersebut tidak menguntungkan penduduk tempatan. Campurtangan British dalam politik Sabah akhirnya telah mencetuskan penentangan di kalangan rakyat tempatan.


Latihan:

1. Bagaimanakah British berjaya bertapak di Sabah dari tahun 1865 hingga tahun 1888.

2. Bincangkan perluasan pengaruh asing di Sarawak dari tahun 1841 hingga 1910 dan di Sabah dari tahun 1881 hingga tahun 1888.

Ahad, 22 November 2009

KULIAH 1 SEJARAH 940/2 : TG 6RK1/4 2009

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.
SEJARAH 940/2 STPM
TG 6RK1/4 2009

KULIAH 1 [23 November 2009]:
PERLUASAN KUASA BROOKE DI SARAWAK DARI TAHUN 1841-1910

DISEDIAKAN OLEH:
AZMI BIN AHMAD

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:

1. Jayaudin Mahaudin, Sejarah Malaysia STPM, Eastwiew, Seri Kembangan, 1999. Muka surat: 63-73
2. Kementerian Pelajaran Malaysia, Sejarah Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998. Muka surat: 49-51.



Pengenalan
Perluasan kuasa Brooke di Sarawak dilakukan oleh James Brooke dan Charles Brooke dengan mengambil wilayah-wilayah milik Kesultanan Brunei. Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin telah melantik Pangeran Mahkota sebagai wakil pemerintahan Brunei di Sarawak. Tempoh antara 1837-1839, telah berlaku penentangan terhadap pentadbiran Brunei di Sarawak yang mana penentangan ini diketuai oleh Datu Patinggi Ali. Sultan Brunei telah menghantar Pangeran Muda Hashim untuk memulihkan keamanan di Sarawak tetapi gagal dan beliau telah meminta bantuan James Brooke dengan janji menjadikan James Brooke sebagai Rajah Sarawak jika Berjaya memulihkan keamanan Sarawak.

Pada 24 Julai 1841, Pangeran Muda Hashim telah mengisytiharkan James Brooke sebagai Rajah Sarawak bertaraf gabenor tetapi kawasannya terhad di antara Tanjung Datu sehingga ke Sungai Sadong. Akibat tekanan daripada James Brooke, pada 1842 Sultan Brunei telah mengiktiraf James Brooke sebagai pemerintah Sarawak yang sah..

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak
Sepanjang abad ke-19, berlaku beberapa peringkat perluasan kuasa keluarga Brooke di Sarawak yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Brooke telah mendesak Sultan Brunei supaya melepaskan beberapa wilayah yang masih dimiliki baginda. Selepas selesai proses pengambilan wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1905, wujudlah negeri Sarawak seperti yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1846, James Brooke hanya berkuasa di wilayah Sarawak yang meliputi kawasan dari Tanjung Datu sehingga ke kawasan yang terletak di antara Sungai Samarahan dan Sungai Sadong. Wilayah-wilayah lain masih berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei.

James Brooke berusaha untuk memperluaskan lagi kawasannya di Sarawak. Pada Ogos 1853 Sultan Abdul Mu’min telah membuat perjanjian dengan James Brooke dan telah menyerahkan kawasan-kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas, Sungai Kerian dan Kalaka. Melalui perjanjian ini James Brooke bersetuju membayar $1,500 setahun kepada Sultan Brunei.

Perluasan kuasa Brooke berterusan di Sarawak apabila pada Ogos 1861, Sultan Abdul Mu’min yang didesak oleh Brooke terpaksa menyerahkan beberapa lagi kawasan. Sultan Brunei tersebut bersetuju menyerahkan kawasan-kawasan pinggir pantai di antara Sungai Rajang dengan Tanjung Kidurong. Dengan itu Brooke turut menguasai Mukah dan mendirikan kubu-kubu di Kanowit dan Sarikei.

Selepas kamatian James Brooke pada tahun 1868, pentadbiran Sarawak telah diambilalih oleh Charles Brooke. Beliau telah meneruskan usaha-usaha untuk memperluaskan wilayah Sarawak. Pada 1883, beliau telah mengambil wilayah dari Tanjung Kidurong hingga ke Baram. Penyerahan wilayah ini berlaku akibat kegagalan Sultan Brunei mengawal pemberontakan Orang Kayan. Dengan pemgambilan ini, kawasan-kawasan di bahagian pantai dari Tanjung Kidurong hingga ke Sungai Baram termasuk Similajau, Suai, Niah dan Sibuti jatuh ke bawah kekuasaan kerajaan Brooke.

Setelah penyerahan kawasan Sungai Baram kepada Sarawak, pergaduhan telah berlaku di di kawasan Sungai Trusan. Akibatnya Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min telah menyerahkan daerah Sungai Trusan kepada Brooke.

Penduduk Limbang di sempadan Brunei-Sarawak telah melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Brunei sejak 1884. Pemberontakan ini berpunca daripada kezaliman pembesar-pembesar Brunei yang memerintah daerah tersebut. Pada Mac 1890, ketua penduduk-penduduk di Limbang telah mengibarkan bendera kerajaan Sarawak untuk mendapatkan perlindungan. Pada Mac 1890, Charles Brooke telah mengambil daerah Limbang untuk membantu para penduduk yang tertindas. Tindakan tersebut mendapat kebenaran pemerintah Kesultanan Brunei iaitu Sultan Hashim.

Perluasan kuasa Brooke di Sarawak bertambah luas apabila berlakunya masalah sempadan di antara Sarawak dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ). Charles Brooke telah membeli daerah Lawas daripada SBBUpada 1905. Dengan pembelian Lawas, wujudlah negeri Sarawak seperti mana yang ada sekarang.

Kesimpulan
Proses perluasan kuasa dan wilayah Sarawak telah dimulakan oleh James Brooke pada tahun 1841
dan telah dilenggapkan oleh anak saudaranya Charles Brooke pada 1905 melalui pembelian Lawas.
Sarawak di bawah pentadbiran keluarga Brooke telah berkembang pesat dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.


Latihan: Esei

Soalan:

1. Bincangkan tahap-tahap perluasan kuasa Brooke di Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1905.

2. Charles Brooke telah melengkapkan pembentukanan negeri Sarawak pada1905. Bincangkan.

Sabtu, 31 Oktober 2009

DASAR LUAR INDIA, MYANMAR, FILIPINA DAN JEPUN

DASAR LUAR INDIA, MYANMAR, FILIPINA DAN JEPUN

A.India ( 1946 – 1963 )

Pengenalan:

1. India merupakan bekas tanah jajahan British. Mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.
2. Dipengaruhi oleh sistem pemerintahan British malah banyak unsur-unsur pentadbiran British diterapkan dalam pentadbiran India.
3. India dibawah kepimpinan Nehru mengamalkan dasar luar yang berkecuali. Dasar ini dapat mengelak persengketaan.
4. Merupakan anggota PBB dan Komanwel.
5. Menjalin hubungan dengan kebanyakkan negara di dunia termasuk kuasa-kuasa Besar.

Isi:
1. Menjalin hubungan dagang dengan banyak negara. Rakan dagang utama ialah Jepun, Amerika Syarikat dan Britain.
2. Menjadi anggota PBB sejak 1946.
3. Menyertai banyak jawatankuasa PBB.
4. Tuan rumah Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi rantau Asia pada 1957.
5. Melaksanakan perjanjian damai dan gencatan senjata di Vietnam, Laos dan Kemboja.
6. Pada 1956 menghatar pasukan keselamatan PBB ke Mesir dan Conggo
7. 1961, seramai 700 orang pakar dari India dihantar ke 24 buah negara di bawah Program Bantuan Teknikal PBB.
8.. India turut membantu melaksanakan perjanjian damai di Korea.
9. Merupakan bekas tanah jajahan British dan menjadi anggota penting Komanwel dan menyertai Rancangan Colombo.
10. India mengamalkan dasar berkecuali terutama dalam krisis antara Blok Barat dengan Blok Komunis.
11. Mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China dan tidak menyertai SEATO.
12. Menjalin hubungan dagang dengan banyak negara. Rakan dagang utama ialah Jepun, Amerika Syarikat dan Britain.

Kesimpulan:

1. India mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan tidak memihak.
2. Dasar luar ini bertujuan mengelakkan persengketaan dan mengekalkan keamanan sejagat khususnya di rantau Asia Selatan.




B.Myanmar ( 1948 – 1963 )

Pengenalan:

1. Myanmar ataupun dahulu dikenali dengan Burma mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.
2. Mengamalkan dasar luar yang hampir sama dengan negara jirannya India dengan mengamalkan dasar berkecuali.
3. Menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Komanwel.

Isi:
1. Menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
2. Dalam Perang Korea, Myanmar turut memainkan peranan dan bekerjasama dengan PBB tetapi Myanmar tidak menghantar tenteranya ke Korea.
3. Dalam menyelesaikan masalah sempadan dengan China, Myanmar telah mendapatkan bantuan PBB untuk memindahkan tentera-tentera Kerajaan Nasionalis China di sempadan Myanmar kembali ke China.
4. Polisi luar negara Myanmar adalah dasar berkecuali terutama dalam menghadapi pertelingkahan Blok Barat dengan Blok Komunis.
5. Myanmar di bawah Perdana Menteri U Nu telah menjalinkan hubungan erat dengan banyak negara terutamanya negara-negara jiran.
6. Myanmar turut mengambil beberapa langkah perdamaian:
a. Mengakui kedaulatan / mengiktiraf Republik Rakyat China pada tahun 1949.
b. Membuat perjanjian persahabatan dengan Indonesia, India dan Pakistan.
c. Membuat lawatan muhibbah ke Bangkok pada 1954 dan turut meminta maaf kepada Thailand atas sikap agresif Myanmar dahulu.
7. Menjalinkan hubungan perdagangan dengan Negara China, India, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara.
8. Merupakan bekas tanah jajahan British dan dengan itu Myanmar turut menyertai pertubuhan Komanwel.

Kesimpulan:

1. Dasar luar Myanmar bersifat berkecuali untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau.
2. Myanmar tidak memihak kepada mana-mana negara yang bersengketa teutamanya ketika perbalahan Blok Barat dan Blok Komunis.



C.Filipina ( 1946- 1963 )

Pengenalan:

1. Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol dan Amerika Syarikat. Jepun turut menduduki Filipina sewaktu Perang Dunia ke-2.
2. Sepuluh bulan selepas kekalahan Jepun, Republik Filipina dibentuk pada
Julai 1946 dengan Manual Roxes sebagai presiden pertama.
3. Keadaan di Filipina selepas kemerdekaan agak tidak stabil akibat tekanan komunis melalui Hukbalahap dan pembaharuan tanah.
4. Filipina menjalin hubungan luar dengan banyak negara di dunia dan menganggatai pelbagai pertubuhan antarabangsa dan serantau.

Isi:

1. Filipina menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan semua agensi-agensi khasnya.
2. Mendapat bantuan teknikal daripada PBB dibawah Program Bantuan Teknikal PBB.
3. Filipina merupakan salah sebuah Negara anggota Majlis Pemegang Amanah Bersatu PBB pada 1949.
4. Filipina telah memperjuangkan tuntutan Negara-negara kecil untuk menghadkan kuasa pembatal yang dipegang oleh kuasa-kuasa besar.
5. Filipina turut mengambil bahagian sebagai tentera pengaman PBB dalam krisis Perang Korea.
6. Filipina turut memainkan peranan dalam Pertubuhan Perjanjian Asia Timur (SEATO) tetapi beranggapan SEOTA tidak mempunyai kuasa yang kuat seperti NATO.
7. Pada tahun1961, Filipina bersama-sama Thailand dan Tanah Melayu membentuk Pertubuhan Asia Tenggara atau ASA.
8. Filipina turut mengetuai MAPHILINDO yang terdiri daripada Malaysia, Filipina dan Indonesia tetapi gagal akibat pembentukan gagasan Persekutuan Malaysia.
9. Filipina memutuskan hubungan diplomatic dengan Malaysia pada 1963kerana membantah pembentukan Malaysia dengan dakwaan Sabah adalah sebahagian daripada Filipina. Hubungan ini dipulihkan pada tahun1966.
10. Filipina turut mengambil bahagian dalam Perjanjian Gula Antarabangsa dan Perjanjian Gandum Antarabangsa.

Kesimpulan:
1. Filipina menjalin hubungan diplomatik dengan banyak sama ada negara- negara besar mahupun negara serantau.
2. Hubungan ini membawa banyak kesan positif kepada Filipina dari pelbagai aspek termasuklah politik, ekonomi dan sosial.
MODUL GEMILANG
SEJARAH 2 STPM 2009
SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.

----------------------------------------------------------------------------------

MODUL I:
PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 6AK 2009


BAHAGIAN A:

1. Jelaskan sistem pentadbiran Malaysia selepas merdeka sehingga tahun 1963.

2. Bincangkan dasar-dasar ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kemunduran ekonomi di luar bandar dari tahun 1957 hingga 1963.

BAHAGIAN B:

3. Bincangkan sistem pembesar di Myanmar dan Jepun pada awal abad ke-19.

4. Huraikan kegiatan ekonomi yang dijalankan di India dan China sebelum kedatangan kuasa Barat.

5. Jelaskan dasar tutup pintu yang diamalkan di Thailand dan Jepun pada abad ke-19.

6. Huraikan faktor-faktor campur tangan Barat di Asia pada abad ke-19.

7. Huraikan kesan-kesan Perjanjian Bowring (1855) dan Perjanjian Kanagawa
(1854) ke atas eknomi, sosial dan politik di Thailand dan Jepun.

8. Bincangkan faktor-faktor yang membawa kepada meletusnya Perang Inggeris – Myanmar II ( 1852 – 1853 ) dan Perang Inggeris – China II ( 1856 – 1860 ).

9. Bincangkan proses penglihakan pihak Barat di India dan Vietnam pada abad ke-19.



MODUL II:
KEM SEJARAH NEGERI PERAK 2009


BAHAGIAN A:

1. Mengapakah gerakan penentangan terhadap Malayan Union lebih berjaya berbanding dengan Gerakan AntiPenyerahan di Sarawak.

2. Bincangan sistem pendidikan pelbagai aliran di Tanah Melayu pada zaman penjajahan British.

3. Bincangkan kesan-kesan pelaksanaan Sistem Residen ke atas Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 hingga tahun 1896.

4. Jelaskan aliran perjuangan dalam gerakan nasionalisme di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

5. Pada separuh kedua abad ke-19, Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar lebih stabil berbanding Negei-negeri Melayu pantai barat seperti Selangor dan Parak. Bincangkan.

6. Huraikan sistem ekonomi sara diri yang dijalankan di India dan Filipina sebelum kedatangan Barat.


BAHAGIAN B:


7. Huraikan perubahan sistem pentadbiran di Myanmar dan Vietnam akibat campur tangan Barat.

8. Bincangkan sistem pemerintahan di Jepun dan India pasca Perang Dunia Kedua.

9. Huraikan kesan-kesan Perjanjian Kanagawa tahun 1854 (Jepun) dan Perjanjian Bowring tahun 1855 (Siam) ke atas kedua-dua negara.

10. Jelaskan gerakan nasionalisme di Filipina dan Myanmar pada era pendudukan Jepun.



MODUL III:
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SELARAS SEJARAH 2 STPM NEGERI PERAK 2009


BAHAGIAN A:

1. Huraikan peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.

2. Bincangkan kegiatan ekonomi di Malaysia sebelum campur tangan British.

3. Bincangkan perluasan pengaruh asing di Sarawak hinga tahun 1841 dan di Sabah sehingga tahun 1881.

4. Jelaskan perubahan-prubahan politik, ekonomi dan sosial di Negeri-Negeri Melayu dar tahun 1874 hingga 1896.

5. Huraikan langkah-langkah ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dari tahun 1949 hingga 1957.

6. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan dasar luarMalaysia dari tahun 1957 hingga ke tahun 1963.


BAHAGIAN B:


7. Huraikan sistem pembesar Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat.

8. Bincangkan perjuangan Jose Rizal di Filipina dan Ho Chi Minh di Vietnam dalam gerakan nasionalisme di Negara masing-masing.

9. Bincangkan kesan-kesan perjanjian Yandabo di Myanmar ( 1826 ) dan Perjanjian Nanking di China ( 1842 ).

10. Bincangkan dasar pengilhakan kuasa Barat di India dan di Indo-China pada abad ke-19.

11. Mengapakah perjuangan Parti Komunis China (PKC) lebih berjaya berbanding perjuangan Parti Komunis Indonesia (PKI) pada pertengahan abad ke-20.

12. Bincangkan dasar luar Myanmar dan Thailand selepas Perang Dunia Kedua.



MODUL IV:
SABAH DAN SARAWAK.


1. Ekonomi tradisional Sabah.

2. Ekonomi tradisional Sarawak.*

[ Bincangkan kegiatan ekonomi tradisional di Sarawak pada abad ke-19. ]
* Rujuk buku Sejarah Tingkatan Satu ms 187-189


3. Ekonomi komersil Sabah. [ 2008 ]

4. Ekonomi komersil Sarawak. [ 2005 ]

5. Perluasan kuasa asing di Sarawak dari tahun 1841-1910.*

6. Perluasan kuasa asing di Sabah dari tahun 1865 -1881.)*

[ Bincangkan proses perluasan kuasa asing di Sarawak dari tahun 1839-1841 dan di Sabah dari tahun 1865 – 1881. ]
* Peperiksaan Percubaan Selaras Negeri Perak 2009


7. Penentangan terhadap pentadbiran Brooke di Sarawak. [ 2007 ] [ 2001 ]

8. Penentangan terhadap pentadbiran SBBU di Sabah.* [ 2001 ]

[ Bincangkan reaksi penduduk tempatan terhadap campur tangan barat di Sabah dari tahun 1850an hingga 1915.]

9. Perubahan pentabdiran di Sarawak*

10. Perubahan pentadbiran di Sabah.*

[ Jelaskan perubahan pentadbiran di Sarawak semasa pemerintahan Brooke dan di Sabah semasa pemerinahan SBBU.]
*Peperiksaan Percubaan Selaras Negeri Kelantan 2009


11. Gerakan anti-penyerahan Sarawak. [ 2006 ]

12. Sabah dan Sarawak menolak Gagasan Malaysia. [ 2003 ]



MODUL V:
DASAR LUAR NEGARA-NEGARA ASIA


1. India [ 2002 ] *

2. Pakistan [ 2007 ]

3. Myanmar *

4. Thailand [ 2006 ]

5. Vietnam [ 2004 ] *

6. Filipina *

7. Indonesia [ 2006 ] [ 2004 ]

8. China [ 2007 ] [ 2002 ]

9. Jepun *

Soalan:

1. Bincangkan dasar luar Myanmar dan Thailand selepas Perang Dunia Kedua.
[ Peperiksaan Percubaan Selaras Negeri Perak 2009 ]

2. Bincangkan dasar luar India, Myanmar, Filipina dan Jepun selepas
Perang Dunia Ke-2.
[ Nota Sejarah Cikgu Azmi / Rujuk www. Lepaksejarah.blogspot.com]

3. Huraikan dasar luar India dan Pakistan dari tahun 1949 hingga 1963.
[ Pecutan Bestari A JPN Perak Set B ]

4. Huraikan dasar luar Indonesia dan India sebelum Perang Dunia kedua.
[ Pecutan Bestari A JPN Perak Set A ]



MODUL VI:
SOALAN TAMBAHAN


1. Islam menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sebelum campur tangan British. Bincangkan. [Kem Sejarah Negeri Perak 08]

2. Sejauhmanakah sistem ekonomi masyarakat Melayu sebelum campur tangan British pada 1874 bersifat sara diri. [ Bengkel Galus 08]

3. Huraikan tindak balas masyarakat Melayu terhadap pentadbiran British di
Perak dan Pahang pada akhir abad ke-19. [ Pep. Percubaan Kelantan 2009 ]

5. Sistem pentadbiran yang kemas dan tersusun bertanggungjawab terhadap
kestabilan Johor pada separuh kedua abad ke-19. Bincangkan. [ Pep. Percubaan Terengganu 2009 ]

5. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. [ Kem Sejarah Negeri Perak 08 ]

6. Huraikan adat yang diamalkan di India dan Thailand sebelum perluasan kuasa Barat pada abad ke-19. [Pep. Percubaan Selaras Perak 08]

7. Bandingkan dasar luar Filipina dan India dari tahun 1945 hingga tahun 1963.
[ Peperiksaan Percubaan Perak 2008 ]