Masyarakat
Melayu tradisional amat terikat dengan adat. Adat merupakan peraturan yang
diamalkan secara turun temurun sehingga ianya merupakan hukum yang dipatuhi
oleh semua. Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri
Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
Adat ini tidak pernah ditulis tetapi dihafal sahaja oleh Ketua Adat. Ia
memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu
tradisional.
Kawasan dan Pengasasan
Kedua-dua
adat ini berasal dari Utara Sumatera. Menurut Terombo atau "Lagu asal usul
adat", Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera, diasaskan oleh
Datuk Ketemenggungan, menjaga kawasan pesisiran pantai dan laut. Adat ini
dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 lagi. Diamalkan oleh semua negeri-negeri
Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat
Perpatih pula berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk
Perpatih Nan Sebatang, menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di
negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat ini dibawa oleh orang
Minangkabau ke negeri Sembilan pada kurun ke-17.
Bentuk dan Pelaksanaan
Adat
Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali di negeri
Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu; adat ini mempunyai
pengaruh agama Hindu terutama dalam Undang-undang Manu. Apabila Islam
berkembang, adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mengikut mazhab
Shafie. Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama yang
berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenal sebagai
Undang-undang Johor, di Kedah sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai
Undang-undang Pahang, dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak. Adat Temenggung dihafal dan diingati serta
dilaksana oleh Tok Sidang, Penghulu atau Penggawa.
Adat
Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan
secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan
adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun
yang diwarisi dan hukum syarak yang dipatuhi dari mazhab Shafie. Adat ini
dihafal oleh Ketua Adat.
Kekeluargaan
Adat
Temenggung bersifat patriarchal,
iaitu kaum lelaki lebih diutamakan. Ini
adalah kerana kaum lelaki dianggap melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini
sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua
keluarga. Dalam Adat Temenggung, kaum
lelakilah yang menjadi ketua keluarga. Jadi, nasab keturunan dikira daripada
sebelah bapa.
Adat
Perpatih bersifat matriarchal, iaitu
kaum wanita mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat. Hanya kaum wanita yang
mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Ini bermakna mereka
mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Anak perempuan menjadi asas
wujudnya suku. Suku bermaksud keluarga,
oleh itu hidup secara bersuku-suku bermaksud hidup secara berkeluarga dan semua
ahli-ahli suku dianggap sebagai saudara .
Susunan keluarga masayarakat adat Perpatih berdasarkan 'matrilineal' yang disusurgalurkan
kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga
sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu
perempuan, cucu lelaki dan seterusnya.
Perkahwinan
Adat
Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja kecuali dengan orang
yang mempunyai pertalian darah atau muhrim sebagaimana yang telah ditetapkan
oleh agama Islam. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga
suami.
Adat
perpatih pula tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Oleh itu perkahwinan
mestilah dengan suku yang berbeza - disebut eksogami. Perkahwinan sesama suku
tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan. Apabila
seseorang anak perempuan kahwin, suaminya digelar 'orang semenda'. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa
suaminya tinggal di rumah pusaka (rumah
gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya.
Pemerintahan
Adat
Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di
tangan pemerintah atau raja. Adat ini
mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Di puncak struktur
politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat diraja bergelar yang
berhak, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu, dan pembesar
wilayah atau jajahan. Di lapisan bawah ialah ketua kampung yang mentadbir
kampung. Sultan merupakan ketua negara, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat.
Seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung. Gelaran
pengganti raja ialah Raja Muda. Jika tiada anak lelaki , hakpewarisan takhta
jatuh kepada adik lelakinya pula. Jika kedua-dua tiada, barulah musyawarah dan
permuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam
melaksanakan sistem pentadbiran.
Dari
segi pentadbiran, Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah terletak
bukan pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan di antara pemerintah,
Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat
dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas.
Orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang
memilih dan melantik Yang Dipertuan
Besar atau Yamtuan. Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip permuafakatan.
Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali
sebagai Undang. Walaupun dari segi bidang kuasa, Yamtuan Besar merupakan
pemerintah yang tertinggi, namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal
perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut
dibuat oleh para pembesar yang berada pada hierarki yang lebih ke bawah
daripada Yamtuan Besar.
Pembahagian Harta
Mengikut
Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita
kerana pengaruh daripada hukum Islam. Pemberian harta lebih kepada anak lelaki
kerana dalam Islam, lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan
perempuan. Jika berlaku perceraian, lazimnya cara pembahagian harta suami
isteri mengikut hukum syarak. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa
perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri
yang diceraikan dibahagi dua sama banyak, dan jika isteri yang diceraikan itu
tidak bekerja, berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Harta asal suami atau isteri dikembalikan kepada suami atau isteri
berkenaan.
Undang-undang
mewarisi harta dalam Adat Perpatih diberatkan kepada kaum perempuan. Harta
pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak ibu sebagai
pengasas keluarga kepada anak perempuannya. Dalam keadaan tertentu, adat
Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta
pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan
diwariskan kepada adik perempuannya atau anak adik-adiknya dan cucu-cucunya.
Pada
umumnya harta pasangan dapat dikumpulkan kepada tiga jenis iaitu ; Harta carian - merupakan harta yang
diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup, Harta dibahagi dua apabila
bercerai;
Harta dapatan - harta sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin,
jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri; dan Harta pembawaan - harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia
berkahwin, jika bercerai bekas isteri tidak boleh tuntut harta itu.
Pelaksanaan Undang-undang
Adat
Temenggung bentuk hukumannya keras dan bertujuan menghukum dan berpegang kepada
prinsip pembalasan. Oleh itu pelaksanaan
sesuatu hukuman dibuat dengan tegas, bertujuan memberi iktibar kepada orang
lain. Secara umumnya adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan
peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana
difikirkan dapat memberi kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan
pengajaran. Hukuman yang paling berat ialah membunuh dan menderhaka kepada
raja. Dari segi kuasa, kesemua pembesar termasuk sultan dan penghulu mendapat
mandat dalam melaksanakan hukuman.
Dalam
adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan
bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan
kesalahannya dan mangsa diberi gantirugi. Contohnya seseorang yang cedera akan
diberi gantirugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan
lukanya. Mangsa kecurian boleh mendapat balik barang-barangnya. Sekiranya
berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati.
Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan.
Hukum bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Undang atau Yamtuan Besar sahaja.
Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.
Kesimpulannya, walaupun
Adat Perpatih dan AT menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pelbagai aspek
kehidupan masyarakat Melayu, tetapi kedua-dua adat ini telah dapat mengawal
tingkah laku masyarakat. Malangnya selepas campur tangan British adat semakin
diketepikan dan tidak mustahil adat akan hanya menjadi kenangan dalam lipatan
sejarah.